SHAH ALAM - Kenaikan harga makanan di bazar pada Ramadan kali sememangnya sudah dijangka dan tidak boleh dielakkan lagi memandangkan kos bahan mentah yang mahal. Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenaikan harga makanan di bazar pada Ramadan kali sememangnya sudah dijangka dan tidak boleh dielakkan lagi memandangkan kos bahan mentah yang mahal.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman bagaimana pun berharap peniaga tidak menaikkan harga makanan terlalu tinggi hingga membebankan pelanggan.

"Kita telah berbincang dengan peniaga. Harga bahan mentah meningkat dan kita nampak banyak barang mentah yang diperlukan peniaga untuk buat kuih dan sebagainya.

"Maka, kita memang menggalakkan mereka untuk menaikkan harga barang jualan. Contohnya ayam sekarang masih mahal. Kalau mereka yang jual nasi berlauk guna banyak ayam dan sebagainya, sememangnya harga akan naik.

"Saya bersetuju mereka naikkan harga dengan keadaan bahan mentah mahal, minyak naik harga, bahan keperluan juga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peniaga tidak digalakkan untuk mengecilkan saiz hidangan memandangkan ia tidak memberi kepuasan kepada pembeli.

"Kita tidak mahu mereka beri harga sama tetapi kecilkan barangan. Contohnya karipap, dia nak kecilkan lagi untuk beri harga yang sama. Ia tidak sesuai.

"Apa yang boleh buat, kuih itu besarkan sedikit dan harga boleh kita naikkan namun janganlah terlalu tinggi.

"Kita kena fikir juga keperluan pembeli pada Ramadan ini supaya mereka puas hati, peniaga juga dapat untung,” ujarnya.

Tambah Rosli, peniaga bazar tidak digalakkan untuk menaikkan harga yang terlampau tinggi memandangkan mereka bukan seperti peniaga di restoran yang perlu menyewa kedai.

"Mereka hanya bayar lesen penjaja sahaja. Jadi, tidak perlu menaikkan harga terlalu mahal. Biar berpada-pada,” katanya.

Beliau turut berharap agar peniaga dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar tiada sebarang kluster baharu berlaku.

"Kita kena jaga kebersihan dan patuh arahan kementerian. Beli barangan dengan selesa dan berniaga tanpa jangkitan Covid-19,” jelasnya.

JANGAN MELAMPAU

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Seri Dr Jacob George berkata, peniaga bazar Ramadan disaran untuk menaikkan harga jualan makanan mengikut kadar bersesuaian dan tidak melampau.

Katanya, kenaikan harga barangan asas di pasaran sememangnya menjadi faktor terhadap peningkatan harga jualan, namun peniaga perlu memberi ‘keadilan’ kepada pengguna.

"Kita faham harga barangan di pasaran sekarang meningkat dan oleh sebab itu para peniaga menaikkan harga juadah berbuka puasa yang dijual.

"Namun harga yang mahu dinaikkan itu perlulah realistik dan munasabah kepada pengguna, pengguna mahu menyokong peniaga kecil tetapi kalau harga yang diletakkan terlalu mahal, macam mana kita nak bantu (dengan membeli),” katanya.

Jacob berkata, pengguna mempunyai pilihan sama ada untuk terus membeli juadah lebih mahal atau memilih untuk mendapatkan di tempat yang lebih murah.

Justeru katanya, kuasa beli masih terletak di tangan pengguna.

Klik di sini untuk terus membaca