BUMBUNG merupakan salah satu elemen utama pada sesebuah bangunan. Bumbung yang terletak di permukaan paling atas bangunan berfungsi untuk melindungi bangunan daripada faktor luaran seperti sinaran terik mentari, kelajuan angin dan hujan.... Klik di sini untuk terus membaca

BUMBUNG merupakan salah satu elemen utama pada sesebuah bangunan.

Bumbung yang terletak di permukaan paling atas bangunan berfungsi untuk melindungi bangunan daripada faktor luaran seperti sinaran terik mentari, kelajuan angin dan hujan.

Oleh kerana kedudukannya berada di bahagian paling atas bangunan, kewujudannya hampir tidak diberi perhatian dan sering kali diabaikan.

Tahukah anda bahawa kawasan hijau yang telah diambil untuk membina bangunan boleh dikembalikan dengan perlaksanaan bumbung hijau? Bumbung hijau atau lebih dikenali sebagai taman atas bumbung bukanlah sesuatu yang baharu di dalam dunia alam bina apabila Taman Tergantung Babylon dipercayai merupakan taman atas bumbung yang pertama dibina pada tahun 700 Sebelum Masihi.

Di Malaysia, di antara bangunan yang melaksanakan bumbung hijau ialah bangunan Ibu Pejabat PKNS di Shah Alam dan bangunan Heriot-Watt University di Putrajaya.

Terdapat tiga jenis bumbung hijau iaitu jenis ekstensif, intensif dan semi ekstensif, dan jenis ini bergantung kepada penyelenggaraan yang diperlukan dan kegunaannya. Bumbung hijau ekstensif terdiri daripada tumbuh-tumbuhan kecil seperti rumput dan sedum.

Bumbung hijau intensif pula mirip kepada taman semula jadi yang terdiri daripada pokok-pokok besar seperti pokok landskap dan hutan, manakala bumbung hijau jenis semi ekstensif adalah terdiri daripada kombinasi kedua-dua jenis ekstensif dan intensif.

TANGANI PERUBAHAN IKLIM

Namun begitu, pelaksanaan bumbung hijau itu perlu mengambil kira beberapa aspek penting seperti beban dan struktur bangunan, kos, penyelenggaraan, keselamatan dan lain-lain sepertimana yang digariskan di dalam Garis Panduan Perancangan Taman Atas Bumbung yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun tahun 2012. Kebaikan bumbung hijau merangkumi tiga aspek utama iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Dari aspek sosial, bumbung hijau digunakan sebagai ruang rekreasi bagi penghuni bangunan terutamanya bangunan tinggi berbilang tingkat.

Banyak kemudahan dan fasiliti boleh disediakan untuk kegunaan penghuni, secara tidak langsung ia turut menambah nilai kualiti kehidupan di samping memberi nilai estetika kepada bangunan.

Dari aspek ekonomi pula, banyak kajian yang dilakukan di dalam dan luar negara menunjukkan pelaksanaan bumbung hijau dapat menambah jangka hayat bumbung apabila ia bertindak sebagai pelindung daripada persekitaran luar seperti cuaca yang ekstrem, di samping penjimatan tenaga apabila bumbung hijau yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan komponen boleh mengurangkan pengaliran haba ke dalam bangunan.

Akhir sekali, kebaikan bumbung hijau yang paling signifikan adalah aspek alam sekitar memandangkan komponen utama bumbung hijau ialah tumbuh-tumbuhan.

Bumbung hijau berupaya untuk mengurangkan kesan pulau haba bandar, melambatkan kadar pengaliran air hujan, mengurangkan pencemaran bunyi, meningkatkan kualiti udara dan biodiversiti, di samping membantu meningkatkan kadar penyerapan karbon dioksida oleh tumbuh-tumbuhan yang terdapat di bumbung hijau.

Bagi menangani perubahan iklim yang semakin ketara sekarang ini seperti pemanasan global, pelaksanaan bumbung hijau adalah relevan kerana sumbangannya terhadap alam sekitar.

Oleh yang demikian, perlaksanaan bumbung hijau perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa tempatan dan penggubal polisi negara sebagai salah satu strategi di dalam menangani perubahan iklim dan menuju ke arah pembangunan yang lebih mampan, berdaya tahan dan terangkum.

* Dr Wan Zuriea Wan Ismail ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ukur Bangunan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA

Klik di sini untuk terus membaca