BIARPUN tarikh pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum diumumkan secara rasmi, namun kemajuan dan masa depan negara kini terletak di tangan lebih 12.6 juta pengundi atas pagar dan pengundi muda berusia antara 18... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN tarikh pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum diumumkan secara rasmi, namun kemajuan dan masa depan negara kini terletak di tangan lebih 12.6 juta pengundi atas pagar dan pengundi muda berusia antara 18 hingga 40 tahun.

Ini kerana mereka adalah 'kingmaker' dan penentu gabungan parti mana sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) mahu pun Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk kerajaan baharu dan mentadbir Malaysia atau tidak selepas PRU15 nanti.

Manakan tidaknya ini kerana mereka adalah sebahagian besar atau 58 peratus daripada lebih 21.1 juta pengundi yang tersenarai dalam daftar sebagai pemilih sah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat, Disember 2021.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk lebih 8.48 juta penyokong tegar dan ahli pelbagai parti politik yang wujud di seluruh negara ketika ini.

Mendahului senarai parti yang mempunyai bilangan penyokong tegar dan ahli teramai sudah pastinya, UMNO dengan 3.35 juta ahli, diikuti PKR (1.2 juta ahli); MCA (1.1 juta ahli) dan Pas (lebih sejuta ahli).

Selebihnya ialah parti lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), MIC, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan DAP.

Justeru itu, mana-mana parti atau gabungan parti yang bercita-cita membentuk kerajaan selepas PRU15 mestilah memberikan tumpuan penuh untuk menarik dan merayu sokongan daripada 58 peratus pengundi muda berusia 40 tahun ke bawah terbabit.

Malah, tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa mana-mana gabungan parti BN, PN mahu PH mengabaikan keluh kesah dan tuntutan pengundi muda ini bermakna mereka sengaja mencari nahas dan membunuh masa depan serta sudah pasti akan menemui kekalahan teruk dalam PRU15 nanti.

Lantaran itu tidak hairanlah, dua pemimpin parti PKR melancarkan satu gerakan khas dikenali sebagai Ayuh Malaysia yang memberi fokus dan cuba memikat pengundi-pengundi atas pagar ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, antara punca utama sebahagian besar daripada lebih 12.6 juta pengundi memilih untuk menjadi pengundi atas pagar adalah kerana mereka suka mengambil sikap tunggu dan lihat susulan situasi politik negara tidak menentu dan pertukaran tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan sebanyak tiga kali selepas PRU14 iaitu dari PH ke PN dan sekarang PN 2.0.

DR JENIRI

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan mereka sukar membuat pilihan dan enggan menyokong mana-mana gabungan politik sama ada BN, PN mahu pun PH sebagai satu tanda protes senyap.

Oleh itu, Jeniri berkata, beliau tidak terkejut dengan laporan SPR menunjukkan bahawa ramai pengundi muda enggan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu sebagai tanda bantahan kepada situasi politik negara sekarang.

"Ramai pengundi muda enggan keluar mengundi kerana sudah berasa muak dan kecewa dengan perkembangan politik semasa yang berlaku dalam tempoh kira-kira empat tahun selepas PRU14 lalu termasuklah peristiwa kejatuhan PH dan penubuhan kerajaan campuran PN dan PN 2.0 yang menyaksikan mereka kalah kembali berkuasa.

"Ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa tiada makna mereka mengundi dalam PRU atau PRN kerana mandat diberikan rakyat begitu senang dikhianati oleh pemimpin politik," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, antara faktor kedua punca pengundi muda terutama berusia 18 hingga 21 tahun memilih untuk menjadi golongan atas pagar adalah kerana mereka kurang faham kepentingan politik dan pilihan raya serta kesannya kepada mereka, penduduk setempat dan negara.

Berikutan itu, semua pihak termasuk SPR dan parti politik perlu memainkan peranan lebih berkesan bagi meningkatkan kesedaran dan kadar literasi atau pendidikan politik dalam kalangan anak muda di negara ini.

"Malah, satu kesilapan atau generalisasi yang salah jika kita menganggap pengundi muda akan terus menyokong parti pembangkang kerana kita boleh melihat pengundi muda tidak bersifat setia dengan mana-mana parti.

"Sebenarnya sokongan pengundi muda adalah bergantung kepada kaum, taraf pendidikan dan sosio-ekonomi, selain pengaruh ibu bapa dan rakan sebaya terhadap sikap politik," katanya.

ISU-ISU PIKAT HATI PENGUNDI ATAS PAGAR

Dalam pada itu, Jeniri berkata beliau melihat antara isu yang dekat di hati pengundi atas pagar ialah soal pendidikan termasuk biasiswa dan pinjaman pelajaran; peluang pekerjaan, masalah pengangguran, gaji minimum dan pendapatan; perumahan dan tadbir urus negara yang baik.

"Saya juga menjangkakan kes 1MDB dan kes mahkamah membabitkan ramai pemimpin UMNO termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kurang memberikan impak terhadap sokongan pengundi pada PRU15 kerana sudah terlalu lama dimainkan di media arus perdana dan media sosial.

"Tambahan pula rakyat melihat isu 1MBD dan kes mahkamah Najib sebagai satu isu yang kompleks, malah kita boleh lihat dalam beberapa pilihan raya termasuk PRK Melaka dan Johor, mengenai maklum balas pengundi mengenai perkara berkenaan.

"Majoriti pengundi sudah tidak kisah dengan kes 1MDB dan Najib. Kalau isu berkenaan menjadi masalah utama rakyat maka BN dan UMNO sudah pasti akan kalah di PRN Melaka dan Johor, baru-baru ini. Malah, kita boleh lihat sambutan begitu hangat diterima oleh masyarakat akar umbi di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang sekarang," katanya.

Beliau berkata, ini bermakna jika PN dan PH serta pembangkang terus memainkan isu Najib dan 1MDB maka mereka akan tewas pada PRU15 nanti.

Berikutan itu, Jeniri berkata semua parti politik perlu mencari 'naratif' dan isu politik lain bagi memenangi dan menambat hati pengundi atas pagar pada PRU15 nanti terutama dengan memperjuangkan soal peningkatan kos sara hidup dan memastikan makanan sentiasa ada atas meja setiap Keluarga Malaysia.

"Saya juga yakin masalah inflasi dan peningkatan harga barang serta ekonomi negara akan beransur pulih selepas pembukaan semula pintu sempadan antarabangsa Malaysia dengan negara asing mulai 1 April ini," katanya.

Info Menarik:

# 21.1 juta pengundi berdaftar dengan SPR setakat Disember 2021

# 12.6 peratus pengundi berusia bawah 40 tahun

# 5.8 juta adalah pengundi baharu

# 1.2 juta pengundi berusia 18 hingga 21 tahun

Info 10 Parti Politik mempunyai jumlah keahlian dan penyokong tegar teramai:

1. UMNO - 3.35 juta ahli

2. MCA - 1.1 juta ahli

3. PKR - Lebih 1.2 juta

4. PAS - Lebih 1 juta

5. Bersatu - 500,000 ahli

6. MIC - 450,000 ahli

7. Amanah - 200,000 ahli

8. Warisan - 200,000 ahli

9. DAP - Lebih 200,000 ahli

10. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) - 300,000

Klik di sini untuk terus membaca