KITA tidak dapat menafikan tahun ini adalah tahun pertandingan atau pemilihan.
Katalisnya ialah Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor) yang baru sahaja selesai pada 12 Mac lalu.
Kemudian diikuti oleh pemilihan pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat atau DAP.
DAP secara teknikalnya mendapat ketua baharu iaitu Anthony Loke kerana ketua lama, Lim Guan Eng sudah tidak boleh lagi mempertahankan jawatan Setiausaha Agung yang disandangnya.
Perlembagaan DAP yang dipinda tidak lagi membenarkan seseorang itu memegang jawatan utama melebihi tiga penggal.
Ia adalah satu langkah yang bagus dan baik untuk mengelak seseorang itu terlalu lama duduk di tampuk kuasa dan pada masa yang sama membuka peluang kepada muka baharu untuk memimpin.
Selepas raya, kita bakal menyaksikan pula pemilihan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Setakat ini kita tidak mendengar sebarang pencalonan untuk jawatan tertinggi iaitu Presiden. Jika itu berlaku, penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mengepalai PKR.
Walaupun terdapat suara dan gesaan agar beliau berundur dan memberi peluang kepada muka baharu untuk memimpin setelah PKR gagal dalam beberapa PRN seperti di Sarawak, Melaka dan Johor namun ia adalah urusan rumah tangga PKR untuk menentukan hala tuju mereka sendiri.
Jika ahli-ahli merasakan Anwar adalah orang yang patut terus memimpin parti itu, maka tidak ada siapa yang berhak mempertikaikannya kerana itu adalah urusan rumah tangga mereka.
Orang luar hanya sekadar boleh bersuara atau memberi pandangan tetapi yang akan membuat penentuan adalah ahli-ahli.
Maka atas sebab itu jugalah, apabila bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli membuat kenyataan terbuka yang beliau berhasrat untuk kembali aktif dan kali ini sebagai Timbalan Presiden, ia mencuri perhatian ramai kerana orang dahagakan kemunculan kepimpinan baharu yang lebih dinamik, peka dan bercakap mengikut lenggok dan bahasa suara rakyat.
Lebih-lebih lagi, apabila beliau menyatakan hasrat tersebut ketika kerusi itu masih kosong.
Penyandang sebelum ini, Datuk Seri Azmin Ali, sudah tidak lagi bersama PKR untuk mempertahankannya. Jadi ia terbuka untuk semua.
Tetapi sekali lagi, ia bukanlah laluan mudah untuk Rafizi kerana seorang lagi pemimpin PKR yang turut sama menyatakan hasrat ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
ASET PKR
Sepertimana Rafizi, beliau juga seorang orator yang hebat - bercakap dan berhujah dalam bahasa orang kebanyakan yang mudah difahami tanpa kata-kata bombastik atau berfalsafah.
Oleh itu, kedua-duanya adalah aset untuk PKR maju ke hadapan dan siapa sahaja di antara mereka yang berjaya terpilih nanti adalah jelas sekali bakal ‘ditunjukkan’ sebagai pengganti Anwar - mengambil kira faktor umur dan juga situasi politik semasa.
Namun sekali lagi yang akan menentukannya ialah ahli-ahli PKR itu sendiri.
Dengan mengambil kira prestasi semasa semua parti politik dan senario politik tanah air, Malaysia sepatutnya diambil alih oleh pemimpin generasi baharu.
Kita ini terlalu lama dibayangi oleh muka-muka yang sama.
Dalam konteks ini, kita patut memuji DAP. Walaupun Dinasti Lim masih lagi membayangi kepimpinan mereka namun pindaan kepada perlembagaan parti setidak-tidaknya telah membuka ruang dan peluang kepada generasi baharu untuk muncul dan menerajui parti.
Parti-parti lain pula macam mana? Kita tidak boleh bercakap perkara yang sama tentang Pejuang yang masih diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad; PKR masih Anwar; Amanah masih dengan Mohamad Sabu; Bersatu masih dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin; UMNO masih dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pas masih dengan Tan Sri Hadi Awang.
Nampaknya muka-muka lama masih lagi menongkat langit dan enggan berganjak.
Melangkah memasuki satu lagi pemilihan iaitu ibu kepada segala pemilihan - Pilihan Raya Umum - kita berharap dan berdoa agar orang-orang lama ini akan berundur dan memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia memilih pemimpin baharu.
*Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca