PADA 15 Mac 2019, seorang penjenayah bersenjata api telah menyerang jemaah Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand; mengakibatkan 51 orang terkorban dan 40 yang lain tercedera. Pengisytiharan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 15 Mac 2019, seorang penjenayah bersenjata api telah menyerang jemaah Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand; mengakibatkan 51 orang terkorban dan 40 yang lain tercedera.

Pengisytiharan Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah dipersetujui secara konsensus di Persidangan PBB di New York pada Rabu 15 Mac lepas. Ia adalah hasil inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam persidangan itu untuk menangani peningkatan diskriminasi dan keganasan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Umat Islam berasa ‘izzah (mulia) kerana menghayati agama yang diredai ALLAH Tuhan Maha Esa. "Sesungguhnya agama di sisi ALLAH ialah Islam...” Surah Ali ‘Imran (Keluarga Imran) 3:19.

Kepada mereka yang tidak menerima ALLAH dan Rasul-Nya SAW, Quran juga jelas memberi pendirian yang tegas. "Untuk kalian agama kalian, untukku agamaku”. Surah al-Kafirun (Orang-orang Kafir) 109:6.

Namun, dalam interaksi harian dengan umat manusia berbagai-bagai agama dan anutan, al-Quran mengingatkan kita untuk menyimpan amanah dan berlaku adil.

"Sesungguhnya ALLAH menyuruh kalian supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH dengan itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, Maha Melihat.” Surah an-Nisa’ (Wanita-wanita) 4:58.

PUAK TERORIS

Kita tidak mestilah berlaku adil kepada mereka yang kita suka atau sebaliknya yang kita sayang.

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian menegakkan kebenaran kerana ALLAH, lantas menyaksikan keadilan; dan janganlah kebencian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian tidak berlaku adil. Berlaku adil kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Menyedari apa yang kalian lakukan.” Surah al-Ma’idah (Hamparan Makanan) 5:8.

"ALLAH tidak melarang kalian daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap mereka yang tidak memerangi kalian kerana agama, dan tidak mengeluarkan kalian dari kampung halaman kalian; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” Surah al-Mumtahanah (Perempuan Yang Diuji) 60:8.

Antara sifat terulung Nabi Muhammad SAW ialah sifat rahmah Baginda sebagai Nabi ALLAH.

"Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmah bagi sekalian alam”. Surah al-Anbiya’ (Para Nabi) 21:107.

Sebagai hamba ALLAH, kita tidak mengetahui semua hikmah serta rahsia ALLAH Tuhan al-Hakim, termasuk kita tidak dicipta-Nya sebagai satu ummah.

"...Bagi semua, Kami jadikan suatu syariat dan minhaj. Dan kalau ALLAH menghendaki Dia menjadikan kamu satu ummah, tetapi Dia hendak menguji kamu dalam apa yang telah disampaikan kepada kamu. Maka berlumba-lumbalah membuat kebaikan. Kepada ALLAH tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” Surah al-Ma’idah (Hamparan Makanan) 5:48.

Sebuah Hadis Rasulullah yang diriwayatkan at-Tabrani (No: 13474) pula menjelaskan bagaimana manusia yang berbuat baik menjadi kesayangan Tuhan: "Manusia yang paling dicintai ALLAH taala ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” Realiti di dunia menunjukkan sering kali seluruh umat Islam disalahkan apabila puak teroris melakukan pelbagai jenis kezaliman yang tidak ada kena mengena langsung dengan Islam. Ini semata-mata kerana teroris ini mendakwa mereka adalah dari umat Islam.

Kita rakyat Malaysia berbilang agama perlu terus saling menghormati dan tidak melampaui batas dalam tindakan serta bicara. Kedamaian yang kita nikmati bersama dalam negara ini jauh lebih berharga daripada kekayaan material yang banyak negara lain megahkan.

* Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca