SHAH ALAM - Kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini bukan saja didapati mengamalkan cara hidup tidak sihat, malah makan terlalu berlebihan sehingga mengundang pelbagai masalah kesihatan, termasuk sakit buah pinggang. Pakar Nefrologi Fakulti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini bukan saja didapati mengamalkan cara hidup tidak sihat, malah makan terlalu berlebihan sehingga mengundang pelbagai masalah kesihatan, termasuk sakit buah pinggang.

Pakar Nefrologi Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz berkata, boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia makan tidak kurang daripada lima kali dalam sehari.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, individu terbabit turut mengambil makanan yang mengandungi kadar lemak, pengambilan garam, gula yang tinggi termasuk makanan yang telah diproses.

"Pengambilan pemakanan ideal adalah sebanyak tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan malam dengan mengikut piramid makanan yang betul.

"Tapi makan tiga kali sehari pun tidak semestinya kena makan makanan berat. Tidak perlulah makan nasi lemak setiap pagi, tengah hari pula makan nasi campur yang akan menambahkan kalori.

"Kena kurangkan pengambilan makanan segera, makanan berminyak, kandungan garam yang tinggi dan pengambilan gula yang berlebihan yang boleh menyebabkan penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tabiat pemakanan yang baik mengurangkan risiko menghidap penyakit buah pinggang. - Foto Bernama

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Iqbal berkata, sebanyak 60 peratus penyakit buah pinggang berpunca daripada kencing manis, selain disebabkan oleh darah tinggi dan obesiti yang mana buah pinggang perlu menampung kerja lebih kerana berat badan berlebihan.

"Faktor yang amat signifikan dalam negara kita pula adalah pengambilan suplemen yang kerap tanpa mendapatkan pemeriksaan atau nasihat pakar terlebih dahulu. Mereka lebih percaya testimoni daripada media sosial atau penjual produk.

"Faktor lain adalah seperti batu karang dan radang buah pinggang, keadaan di mana badan tiba-tiba menyerang buah pinggang,” jelas beliau.

Dr Muhammad Iqbal berkata, data Sistem Data Renal Amerika Syarikat (USRDS) pada tahun 2020 menunjukkan rakyat Malaysia berumur lingkungan 45 hingga 64 tahun merupakan golongan kedua tertinggi di dunia yang menghidap kegagalan buah pinggang.

"Ketika ini, sekitar 50,000 pesakit buah pinggang sedang menjalani dialisis di negara ini dan angka ini dijangka meningkat kepada 106,000 pada tahun 2040,” katanya.

RAWATAN DIALISIS

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berkata, kerajaan perlu melihat kepada bahagian pencegahan untuk memastikan punca utama penyakit buah pinggang dapat dikurangkan.

"Kita perlu siasat apakah punca penyakit buah pinggang dan mewujudkan kesedaran tentang bagaimana penyakit ini boleh dielakkan.

"Jika ia berkaitan dengan masalah gaya hidup, orang ramai harus dididik untuk memasukkan perubahan gaya hidup yang sesuai.

"Sebagai contoh, beberapa masalah buah pinggang adalah berkaitan dengan diabetes dan tekanan darah tinggi. Dalam kes ini, punca utama harus disasarkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bilangan rakyat Malaysia menderita penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat saban tahun apabila terdapat hampir 50,000 pesakit sedang menjalani rawatan dialisis.

Makanan berminyak dan kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi yang merosakkan buah pinggang. - Foto Bernama

Berdasarkan angka pertambahan bilangan pesakit baharu pula, jumlah pesakit memerlukan rawatan dialisis dijangka mencecah 106,000 orang pada 2040.

Sementara itu, Nambiar berkata, tabiat pemakanan rakyat Malaysia juga harus diubah untuk memastikan gaya sihat dapat diaplikasikan, sekali gus mengelak berlaku masalah peningkatan kes buah pinggang.

Menurutnya, unjuran juga menunjukkan bahawa kos perubatan kesihatan meningkat kerana negara merekodkan populasi penduduk yang semakin tua.

"Oleh itu, kerajaan harus memberi perhatian lebih kepada aspek-aspek ini. Ini juga akan mengurangkan kos penjagaan dan perbelanjaan kesihatan sama ada kepada rakyat atau ekonomi negara,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menyediakan satu skim insurans kepada semua rakyat walaupun tidak bekerja dalam sektor kerajaan.

"Mereka boleh mengadakan model potongan, misalnya potongan gaji setiap bulan seperti syarikat insurans swasta bagi yang mampu bayar.

"Yang mampu bayar tidak ada masalah tetapi kebanyakannya tidak mampu. Sebagai contoh, mereka yang tidak bekerja seperti suri rumah, kerajaan perlu menanggung sepenuhnya beban kos.

"Jadi, kerajaan perlu memikirkan cara bagaimana membiayai penjagaan kesihatan,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan harus memberi lebih peruntukan dan perhatian untuk kesihatan dan bukannya perbelanjaan tidak perlu.

Klik di sini untuk terus membaca