SHAH ALAM - Terdapat dua kekangan dihadapi pesakit buah pinggang iaitu masalah kewangan dan kurangnya kesedaran untuk mengendalikan penyakit mereka. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Khor Xin Yun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Terdapat dua kekangan dihadapi pesakit buah pinggang iaitu masalah kewangan dan kurangnya kesedaran untuk mengendalikan penyakit mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Khor Xin Yun berkata, ramai yang mengalami penyakit buah pinggang terpaksa berhenti kerja.

"Mereka perlu menjalani rawatan dialisis empat jam sehari dan tiga kali seminggu. Mereka juga akan mudah rasa letih, lesu dan tidak bermaya untuk pergi kerja.

"Selain masalah kewangan, mereka juga tidak tahu cara mengendalikan penyakit sehingga memudaratkan kesihatan, khususnya bagi pesakit kategori tahap lima yang memerlukan rawatan dialisis.

"Kita dapati kebanyakan pesakit memulakan dialisis tanpa persediaan. Kalau ada tahap seperti ini, mereka akan mengalami risiko komplikasi seperti risiko jangkitan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dari kiri: Xin Yun bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) ketika Majlis Perasmian Duta Ginjal dan Program Pendidikan Pra-Dialisis di Putrajaya, pada Sabtu.

Sementara itu, Xin Yun berkata, NKF melaksanakan saringan penyakit buah pinggang secara percuma kepada orang awam sebagai langkah pengesanan awal bagi penyakit berkenaan.

Jelasnya, ramai rakyat Malaysia yang menghidap penyakit buah pinggang tidak mempunyai sebarang simptom, malah lebih membimbangkan apabila ada antara mereka terus mengalami kegagalan buah pinggang secara mengejut.

"Justeru, kita menggalakkan orang ramai menjalani saringan kesihatan secara percuma pada program saringan kesihatan NKF untuk kita mengenal pasti sama ada mereka mengalami masalah buah pinggang atau tidak.

"Sejak 2008, kita berjaya menyaring lebih daripada 600,000 komuniti,” katanya.

Xin Yun berkata, pihaknya turut menyediakan rawatan hemodialisis di 28 pusat hemodialisis di bawah NKF.

Menurutnya, rawatan hemodialisis itu adalah untuk membersihkan darah dengan mengeluarkan sisa toksin dan lebihan garam daripada badan pesakit, selain membantu keseimbangan kimia seperti kalium, natrium dan klorida serta memastikan tekanan darah terkawal.

"Setakat ini kita sudah ada lebih kurang 1,700 pesakit yang mendapat rawatan hemodialisis. Ini adalah pesakit yang mengalami penyakit buah pinggang tahap lima.

"Kita juga bakal melaksanakan program intervensi tahun ini dengan menyasarkan golongan berisiko tinggi seperti obesiti.

"Di bawah program ini, kita akan memberikan bimbingan dari segi penjagaan pemakanan, aktiviti fizikal dan juga motivasi supaya mereka dapat mengubah gaya hidup lebih baik,” katanya.

Dari segi kos operasi pula, Xin Yun menjelaskan, ia melibatkan belanja hampir RM55 juta setiap tahun.

Daripada jumlah tersebut, katanya, NKF memerlukan kira-kira RM26.5 juta daripada penderma untuk menampung kos perbelanjaan bagi rawatan dialisis dan program pendidikan serta kesedaran kepada orang awam.

"Kami berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (APM) kerana ada memberikan subsidi untuk kita melaksanakan program ini,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca