PAMERAN dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia yang lebih dikenali sebagai DSA di peringkat global kini berlangsung di sebuah pusat pameran terkemuka di Kuala Lumpur. Ia diadakan serentak dengan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia... Klik di sini untuk terus membaca

PAMERAN dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia yang lebih dikenali sebagai DSA di peringkat global kini berlangsung di sebuah pusat pameran terkemuka di Kuala Lumpur. Ia diadakan serentak dengan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022.

DSA dan NATSEC 2022 adalah pameran antarabangsa pertama serta terbesar selepas global dilanda pandemik. Kedua-duanya dijangka bakal menerima sehingga 25,000 pengunjung termasuk 4,800 pengunjung antarabangsa terdiri daripada delegasi, pakar bidang dan media antarabangsa.

Lebih 350 orang kenamaan (VIP) dari 45 negara yang mempunyai kepentingan dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara serta rantau masing-masing turut hadir. Secara terperinci, sebanyak 1,170 syarikat dari 54 negara mempamerkan pelbagai teknologi dan peralatan pertahanan yang canggih.

Ia merangkumi 20 kumpulan pavilion atau pempamer pelbagai, namun bernaung di bawah satu gerai utama. Lumrahnya, setiap kali DSA berlangsung, pemain industri tempatan diberikan tumpuan oleh media, agensi berkaitan keselamatan dan masyarakat yang ingin mengetahui apakah pada pameran kali ini mereka bakal menyaksikan satu ‘keajaiban’.

Apakah akan terdapat peralatan, kelengkapan atau sistem berkaitan pertahanan yang benar-benar dihasilkan oleh anak tempatan, setanding mutunya atau lebih baik daripada produk luaran atau firma tempatan akan terus bergantung atau menumpang nama pada syarikat pertahanan gergasi luar negara.

Pada pameran kali ini, satu pavilion khas atau reruai dikenali sebagai Malaysia Defence Security Innovation Pavilion telah diwujudkan untuk mengumpul pemain industri pertahanan tempatan.

Reruai itu bertujuan membuktikan keupayaan dan kebolehan pemain industri tempatan, selain mempamerkan produk dihasilkan dengan harapan menarik perhatian pemain industri antarabangsa untuk meneroka kerjasama produk pertahanan buatan Malaysia.

Kerjasama itu mestilah atas dasar kekuatan ilmu, keupayaan dan inovasi hakiki dan bukan berpaut semata-mata dengan firma terkemuka global seperti melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi.

Kritikan itu mungkin dianggap keterlaluan tetapi kita sepatutnya tidak lari dari realiti setelah 17 kali menganjurkan DSA. Walau kini dianggap antara pameran terkemuka di peringkat global, hasilnya terhadap produktiviti industri pertahanan dan keselamatan tempatan masih rendah serta kurang meyakinkan.

SISTEM KRIPTOGRAFI

Sememangnya terdapat kemajuan dalam bidang tertentu seperti automotif berkaitan platform ketenteraan dan kini terdapat banyak firma tempatan menawarkan pelbagai jenis kenderaan kepada Angkatan Tentera Malaysia serta agensi berkaitan keselamatan.

Perkara sama malangnya tidak berlaku pada cabang teknologi bidang lain yang mungkin dianggap satu keperluan kritikal diguna pakai dalam konflik yang menyumbang kepada kemampuan pertahanan negara. Ia termasuklah bidang teknologi persenjataan dan mungkin lebih penting dalam era Peperangan Generasi kelima hari ini iaitu komunikasi strategik serta keselamatan data.

Satu bidang pertahanan yang jarang diketengahkan peranannya sebagai keperluan dalam melindungi keselamatan negara oleh rakyat adalah sistem kriptografi – kaedah menyimpan atau menghantar maklumat dalam bentuk yang akan hanya boleh dibaca dan difahami pihak yang ditujukan sahaja.

Dalam perang moden, platform komunikasi elektronik pelbagai adalah kaedah utama kriptografi. Ia diguna bagi melindungi penyimpanan dan penghantaran data elektronik bernilai strategik dan jika berjaya dicerobohi, mampu melumpuhkan bukan sahaja sistem pertahanan ketenteraan tetapi juga sistem kewangan dan ekonomi sesebuah negara.

Di medan tempur, kriptografi digunakan sebagai kunci selamat kepada bank data berkaitan sebaran maklumat pergerakan peringkat taktikal dan strategik, jumlah dan kemampuan aset, sistem persenjataan berteknologi canggih, kemampuannya dan pelbagai lagi.

Kemampuan kriptografi sistem komunikasi medan dan strategik boleh dianggap sebagai benteng pertahanan terakhir keselamatan data negara sekiranya berjaya dikompromi musuh. Malangnya tumpuan serius jarang diberikan kepada bidang tersebut.

Pelawat lebih suka dan teruja melihat aset fizikal seperti senjata ringan, kereta perisai, kereta kebal atau peluru berpandu. Ia terbukti di dewan pameran, aset itu selalunya penuh dikerumuni pengunjung ketika DSA, berbanding gerai pameran sistem komunikasi dan kriptografi yang lazimnya lengang.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca