GLOBALISASI yang mempunyai peminat dan pengkritik diuji berikutan Covid-19 dan Perang Ukraine. Pandemik itu telah menimbulkan persoalan tentang ketergantungan dunia terhadap model ekonomi tetapi ia membuatkan negara-negara sangat bergantung... Klik di sini untuk terus membaca

GLOBALISASI yang mempunyai peminat dan pengkritik diuji berikutan Covid-19 dan Perang Ukraine. Pandemik itu telah menimbulkan persoalan tentang ketergantungan dunia terhadap model ekonomi tetapi ia membuatkan negara-negara sangat bergantung antara satu sama lain apabila pengeluaran kilang-kilang dinyahlokasi selama beberapa dekad.

Syarikat telah berjuang untuk mengatasi masalah besar dalam rantaian bekalan global.

Perang Rusia di Ukraine telah menimbulkan ketakutan mengenai gangguan yang sedang berlaku iaitu dari bekalan tenaga sehingga kepada peralatan alat ganti dan eksport gandum serta bahan mentah terancam.

Larry Fink iaitu ketua syarikat gergasi kewangan BlackRock menyatakannya secara terang-terangan: "Pencerobohan Rusia di Ukraine telah mengakhiri globalisasi yang kita alami selama tiga dekad yang lalu.

"Kami telah melihat hubungan antara negara, syarikat dan malah penduduk yang mengalami ketegangan akibat pandemik selama dua tahun," tulis Fink dalam surat kepada para pemegang saham pada Khamis lalu..

Namun, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen, tidak bersetuju dengan pendapat Fink.

"Saya benar-benar perlu menolaknya," katanya kepada saluran televisyen CNBC dalam satu wawancara.

"Kami terlibat secara mendalam dengan ekonomi global. Saya menjangkakan ia (ekonomi global) akan kekal. Ia (ekononomi global) adalah sesuatu yang membawa manfaat kepada AS dan dan banyak negara di dunia," tambahnya.

KEKURANGAN BEKALAN MAKANAN

Kekurangan topeng muka pembedahan pada permulaan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 menjadi simbol pergantungan dunia terhadap kilang-kilang di China untuk semua jenis barangan.

Konflik antara Rusia dan Ukraine telah menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan makanan di seluruh dunia kerana kedua-dua kuasa besar pertanian itu adalah antara pengeluar makanan utama dunia.

Perang itu juga memberi kesan besar kepada Eropah terutama Jerman yang bergantung kepada bekalan gas dari Rusia yang kini berhadapan dengan sekatan ekonomi.

Beberapa kelemahan telah muncul yang menunjukkan had rantaian bekalan tersebar di lokasi yang berbeza, kata bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pascal Lamy kepada AFP.

Ketegangan perdagangan global telah mendorong Kesatuan Eropah (EU), misalnya, untuk mencari 'autonomi strategik' di sektor-sektor kritikal.

Pengeluaran semikonduktor iaitu cip mikro yang penting kepada industri daripada permainan video sehingga kereta kini menjadi keutamaan bagi Eropah dan AS.

"Pandemik ini tidak membawa perubahan radikal dari segi penyusunan semula (membawa kembali perniagaan dari luar negara)," kata Ferdi De Ville iaitu seorang profesor di Institut Ghent untuk Kajian Antarabangsa & Eropah.

"Bagaimanapun, kali ini mungkin berbeza kerana (konflik) akan memberi kesan kepada bagaimana perniagaan memikirkan keputusan pelaburan mereka, rantaian bekalan mereka," katanya.

Perjanjian AS-EU pada Jumaat lalu untuk mewujudkan satu pasukan petugas untuk menghentikan pergantungan Eropah kepada bahan api fosil Rusia adalah contoh terbaharu untuk mencari rakan baharu untuk menggantikan bahan tersebut.

Harga petrol meningkat disebabkan Rusia menyerang Ukraine sejak bulan lalu. - Foto AFP

Globalisasi telah menghadapi krisis eksistensial ketika bekas Presiden AS, Donald Trump melancarkan perang perdagangan dengan China pada tahun 2018.

PERBALAHAN AS - CHINA

Penggantinya, Joe Biden telah berkempen tentang perlunya membeli produk AS dalam rancangan pelaburannya yang besar untuk membangun kembali Amerika.

Satu konsep yang muncul semasa tahun-tahun Trump ialah menyahgandingkan iaitu idea untuk meleraikan ekonomi AS dan China.

Ancaman itu masih belum reda terutamanya dengan China enggan mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

AS telah memberi amaran bahawa China akan menghadapi akibat jika ia memberikan sokongan material kepada Rusia dalam perangnya di Ukraine.

Bagaimanapun, China sudah pun mempunyai isu perbalahan lain dengan Barat seperti Taiwan.

Taiwan mengamalkan demokrasi yang diperintah sendiri tetapi Beijing berikrar untuk merebut kepulauan itu suatu hari nanti secara paksa jika perlu.

Namun, perang di Ukraine adalah peluang untuk China mengurangkan pergantungan kepada dolar AS.

Akhbar Wall Street Journal baru-baru ini melaporkan bahawa Beijing sedang berbincang dengan Arab Saudi untuk membeli minyak dalam yuan dan bukannya dolar. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca