PERLU diingat aliran kenaikan inflasi menjelang bulan Ramadan bukanlah satu perkara baru yang berlaku dalam sesebuah negara yang mengamalkan pasaran terbuka.
Malah kenaikan inflasi telah berlaku dari semasa ke semasa dan paling ketara kenaikan sejak dua tahun lalu apabila bermula penularan wabak Covid-19 pada awal tahun 2020.
Terbaharu Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia meningkat 2.2 peratus pada Februari lalu, sekali gus melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Februari 2022 iaitu 1.9 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan IHP Februari 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini.
Punca kenaikan inflasi, seperti biasa menurut laporan media massa ia disebabkan sesuatu di luar kawalan pihak berkuasa dan lebih banyak disebabkan faktor global.
Bagi pengguna, sementara menunggu atau mengharap apa-apa tindakan ajaib oleh pihak berwajib dalam mengawal kadar inflasi, adalah wajar jika kita semua dapat berjimat cermat dan mengawal perbelanjaan ketika Ramadan ini.
Kita sebagai pengguna ibarat tidak ada pilihan melainkan terpaksa melakukan kawalan kendiri terhadap perbelanjaan isi rumah walaupun pada hakikatnya tidak ada apa hendak dijimatkan kerana gaji bulanan sedia ada hanya cukup untuk perbelanjaan harian.
Mungkin kebanyakan daripada kita akan memilih untuk mengikat perut atau hanya berbelanja untuk barangan yang mustahak sahaja ketika berbelanja di bulan Ramadan.
Kita semua pernah lalui atau mempunyai pengalaman berpuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Namun, itu tidak bermakna pihak berkuasa tidak perlu berbuat apa-apa. Pihak berwajib masih perlu mengekalkan ketersediaan barangan di pasaran dan memantau harga pasaran dengan betul.
Sehubungan itu pastinya rakyat ingin tahu apakah tindakan atau usaha Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi membendung peningkatan ketara atau kenaikan harga yang tidak munasabah oleh para peniaga.
Atau apakah tindakan menyeluruh yang terbaharu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengawal kenaikan harga barangan asas contohnya harga telur, ayam, ikan bahkan sayur-sayuran.
Kenaikan harga sebelum ini seharusnya telah menjadi panduan kepada pihak berkuasa menyusun strategi mengenai apa yang sedang dihadapi sekarang dan apa yang bakal dihadapi pada masa hadapan.
Mungkin mekanisme penetapan harga untuk mencegah kenaikan harga barang dilihat tidak praktikal atau pendek kata ‘gagal’.
Sebaliknya pihak berkuasa perlu berusaha melakukan intervasi melalui mekanisme lain yang dilihat adil baik kepada peniaga dan waktu sama menjaga atau menjamin kemaslahatan rakyat agar terbela.
Tiada jawapan mudah untuk semua, penyelesaian akan mengambil masa. Namun pendekatan atau formula berkesan perlu dicari demi menjaga kebajikan semua pihak atas nama ‘Keluarga Malaysia’.
* Meor Shahrom, Ketua Unit Bisnes
Klik di sini untuk terus membaca