TANGGAL 21 Mac diraikan bagi sambutan Hari Hutan Sedunia. Hutan ditakrifkan sebagai kawasan yang ditumbuhi pokok-pokok liar terbiar dan rimba yang menjadi habitat semula jadi flora dan fauna. Setiap spesies yang wujud memainkan peranan... Klik di sini untuk terus membaca

TANGGAL 21 Mac diraikan bagi sambutan Hari Hutan Sedunia. Hutan ditakrifkan sebagai kawasan yang ditumbuhi pokok-pokok liar terbiar dan rimba yang menjadi habitat semula jadi flora dan fauna.

Setiap spesies yang wujud memainkan peranan penting memastikan kestabilan ekosistem. Paling utama, kewujudan hutan juga diakui sebagai kunci mencegah perubahan iklim.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekitar 1.6 juta orang bergantung kepada hutan untuk mencari nafkah, ubat-ubatan, bahan bakar, makanan sehinggalah kepada tempat tinggal. Malangnya, kita gagal melihat dan menilai kepentingan fungsi serta peranan kepelbagaian biologi dalam hutan demi menjaga kemakmuran dan kesejahteraan manusia sejagat.

Bagi memahami kepentingan hutan, Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong milik Universiti Putra Malaysia (UPM) boleh dijadikan contoh. Hutan itu berfungsi untuk aktiviti pengajaran, penyelidikan dan latihan kepada mahasiswa, staf serta penyelidik UPM. Hutan berkeluasan 1,176.1 hektar itu didiami 430 spesies tumbuhan bunga, 33 spesies paku-pakis, 127 spesies balak dan 99 spesies herba.

Di sini turut terdapat fauna, antaranya lima daripada 10 spesies mamalia besar di Semenanjung Malaysia, 208 spesies burung termasuk 35 spesies terancam dan 30 spesies berhijrah, 14 spesies mamalia kecil termasuk kongkang, 13 spesies kelawar, 18 spesies katak, dua spesies reptilia dan 10 spesies ikan.

Kepelbagaian spesies itu menjadi daya penarik dalam kalangan penyelidik melakukan kajian saintifik terhadap hutan simpan berkenaan. Malah, hutan itu bertindak sebagai carbon sequestration iaitu penyerap karbon dan gas beracun sambil membekalkan oksigen kepada penduduk, selain sebagai punca air dengan kualiti air Sungai Rasau sejauh dua kilometer bermula daripada puncanya, adalah air Kelas 1 dan sangat jernih.

Namun, seiring masa, ekosistem hutan berdepan ancaman kemerosotan fungsi dan integritinya akibat tuntutan pembangunan serta ekonomi. Merujuk ekosistem hutan paya bakau yang mengalami kemerosotan drastik, kesan-kesan negatifnya telah kelihatan, antaranya kemerosotan hasil tangkapan nelayan merangkumi ikan, ketam dan kerang yang sebahagiannya berpunca daripada kehilangan kawasan hutan paya bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut.

RANCANG FIZIKAL NEGARA

Pada masa sama, ia turut mengakibatkan masalah hakisan pantai disebabkan kehilangan penahan ombak semula jadi. Pemendapan sedimen di muara sungai kesan daripada kemusnahan kawasan hutan paya bakau pula menjejaskan kawasan muara sungai dan mengakibatkan banjir terutama selepas hujan lebat dan semasa air pasang besar.

Kegiatan meneroka Hutan Simpan Kekal dengan ghairah turut mengakibatkan konflik antara manusia dan haiwan liar. Pada Oktober 2019, dilaporkan terdapat lebih 180 kes gajah keluar daripada habitat asal bagi mencari makanan. Kebanyakan gajah itu dilaporkan keluar dari hutan simpan sekitar Pahang seperti Hutan Simpan Kemasul (Temerloh), Hutan Simpan Kota Gelanggi (Jerantut) dan Hutan Simpan Lesong di Rompin.

Justeru, pihak berkuasa di peringkat negeri dan daerah perlu memastikan setiap perancangan pembangunan membabitkan penukaran guna tanah hutan tidak bercanggah dengan pelan perancangan fizikal terutama Rancangan Fizikal Negara (RFN). RFN mengenal pasti fragmentasi (pemecahan) hutan sebagai ancaman kepada pemeliharaan hutan dan kepelbagaian hayat.

Tidak dinafikan sektor pembalakan penting sebagai sumber pendapatan kerajaan negeri, namun sudah tiba masanya pelaksanaan bayaran perkhidmatan ekosistem (PES) bagi melestarikan sumber hutan dilaksanakan demi kelestarian hutan, masyarakat dan negara.

Konsep forest beyond timber memberi penekanan pembalakan bukan salah satu punca utama hasil kepada kerajaan negeri, sebaliknya melihat perkhidmatan hutan dalam memainkan peranan dari segi ekopelancongan, biodiversiti dan perubatan bagi menjana pendapatan untuk negeri pada masa hadapan.

Hakikatnya, hanya perancangan dan pengurusan lestari dapat meminimumkan kadar kehilangan kawasan berhutan dan mengelak berlakunya fragmentasi hutan.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca