SAYA baru lepas menonton filem dokumentari jenayah The Tinder Swindler di Neflix dan ia mengilhamkan saya untuk sekali lagi menulis tentang flexing, budaya memperaga dan menunjuk-nunjuk. Budaya yang baru-baru ini menyebabkan seorang sahabat... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA baru lepas menonton filem dokumentari jenayah The Tinder Swindler di Neflix dan ia mengilhamkan saya untuk sekali lagi menulis tentang flexing, budaya memperaga dan menunjuk-nunjuk.

Budaya yang baru-baru ini menyebabkan seorang sahabat saya berperang besar dengan isterinya. Saya akan ceritakan sebab musababnya nanti.

The Tinder Swindler’ ialah kisah benar seorang pemuda Israel bernama Simon Hayut yang menggunakan aplikasi Tinder – satu aplikasi untuk mereka yang mencari pasangan – bagi menjerat wanita-wanita cantik dan kemudian memanipulasi wanita-wanita itu untuk kepentingan peribadinya.

Menggemari gaya hidup mewah, modus operandi Simon adalah dengan menggunakan nama Simon Leviev dan menyamar sebagai anak kepada bilionair Rusia-Israel, Lev Leviev.

Kepada wanita yang termasuk ke dalam jebaknya, Simon mengada-adakan cerita bahawa dia hidup dalam bahaya dan perlukan bantuan kewangan untuk menyelamatkan diri daripada ‘musuh-musuhnya’.

Atas sebab-sebab keselamatan, dia tidak lagi boleh menggunakan kad kreditnya, manakala sumber kewangannya terbatas buat sementara.

Cinta itu buta. Keinginan untuk dicintai pula menyebabkan orang rela dibutakan. Begitu jugalah dengan wanita-wanita yang termakan umpan Simon. Mereka bersimpati kepadanya, sanggup membuat pinjaman bank atau mendapatkan kad kredit bagi membantunya.

Yalah, apalah sangat dengan wang ringgit jika dibandingkan dengan kejayaan menakluki hati anak seorang bilionair terkenal.

Lagipun, Simon berjanji akan membayar balik. Yang berjanji bukannya tukang sapu di Vyasarpadi, Chennai atau penjual apam manis di Kali Baru, Jakarta Utara. Bukan. Ini anak orang super have-have yang hidupnya berlegar di hotel-hotel lima enam bintang di merata tempat di Eropah.

Begitulah cara Simon mencari rezeki. Menunjuk-nunjuk kemewahan bagi meyakinkan mangsa, kemudian memperalatkan mereka bagi meminjamkan wang untuk membiayai gaya hidupnya.

Dianggarkan dari tahun 2017 hingga 2019, dia berjaya mengaut lebih AS$10 juta daripada wanita-wanita malang atau yang memalangkan diri sendiri itu.

Lama sebelum Simon, dunia Barat pernah digemparkan dengan kisah Ruben Oskar Auervaara (1906-1964), seorang lelaki Finland yang mencari mangsa dalam kalangan wanita yang menyiarkan iklan mencari pasangan di akhbar-akhbar dan majalah.

Dia akan menulis kepada mereka, mengadu orang berada yang mencari my other half, mengajak berjumpa, berpura-pura jatuh hati, berjanji akan berkahwin dan meminjam wang sebanyak yang boleh. Kemudian dia menghilangkan diri dan mencari mangsa lain pula.

Sejarah sarat dengan watak-watak seperti Simon dan Ruben. Alfredo Sáenz Abad, John Bodkin Adams, Mehmet Aydin, Jordan Belfort, Edward Davenport dan Benard Madoff hanyalah sebahagian kecil daripada sekian banyak nama orang yang memperagakan kehebatan mereka bagi tujuan memperdaya orang lain.

Dan bukan lelaki sahaja yang melakukan jenayah itu. Perempuan juga apa kurangnya. Tiga nama yang cukup popular ialah Bertha Heyman, Barbara Ermi dan Elizabeth Bigley.

Bertha tersohor pada abad ke-19 dengan taktik menyamar sebagai janda kaya yang mengaku berdepan masalah untuk mengakses harta kekayaan atas pelbagai sebab.

Dia meminta bantuan lelaki-lelaki kaya yang berjaya dipikatnya, mengumpan mereka dengan cinta palsu dan janji untuk berkongsi kekayaan yang akan diperolehnya nanti. Selepas berjaya memperdaya mangsanya, dia berpindah mencari mangsa baharu.

Barbara Erni juga memperagakan kekayaan palsunya sebagai umpan. menyamar sebagai wanita kaya, mengembara ke sana ke mari, tinggal di hotel-hotel mewah, memikat lelaki kaya dan kemudian mencopet dompet mereka.

Elizabeth Bigley pula mendakwa dirinya sebagai anak yang sah kepada industrialis dan bilionair terkenal, Andrew Carnegie. Bermodalkan penyamaran itu, dia menipu beberapa buah bank dengan melibatkan jumlah jutaan dolar.

Persamaan di sebalik semua kisah di atas dan kisah-kisah lain seumpamanya adalah semua itu melibatkan perbuatan menunjuk-nunjuk.

Satu pihak menjadikan menunjuk-nunjuk itu sebagai cara meyakinkan golongan yang menjadi sasarannya, pihak yang satu lagi pula menjadi korban kerana mudah terpesona dengan apa yang ditunjuk.

Memang benar, ada juga orang menunjuk-nunjuk kesusahan dan kemiskinannya bagi meraih simpati. Contohnya, pengemis dan orang yang liat hendak membayar hutang.

Tetapi golongan itu tidaklah terlalu berbahaya kerana tidak ramai orang terpengaruh untuk menjadi seperti mereka. Mereka juga selalunya tidak menyebabkan kerugian besar pada pihak yang mereka sasarkan.

Sebaliknya, yang menunjuk-nunjuk kekayaan, kemewahan dan kemegahan kerap membawa kesan bersifat berantai.

Jangan silap, saya tidaklah menganggap menunjuk-nunjuk akan menyebabkan seseorang itu menjadi jahat. Bukan begitu. Yang saya maksudkan, ia mudah dijadikan modal untuk melakukan kerja-kerja tidak baik.

Ia bukan sahaja tentang bagaimana apa yang ditunjuk itu boleh memperdaya orang lain tetapi juga tentang bagaimana ia mempengaruhi sebahagian orang sehinggakan yang berkeadaan tidak mampu terpaksa meminjam dan berhutang bagi memenuhi keinginan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bila terjadi hal demikian, yang susah bukan sahaja dia, tetapi juga orang lain.

Itulah yang terjadi kepada sahabat saya yang berperang dengan isterinya. Ia berpunca daripada sekeping gambar yang dihantar ke WhatsApp isteri sahabat saya itu oleh adiknya.

Gambar seorang gadis cantik berposing sakan di depan sebuah kereta mewah yang sama jenis dan sama warna dengan kereta kenalan saya.

Walaupun nombor pendaftaran kereta itu dikaburkan, namun si isteri cam itu kereta suaminya berdasarkan tanda calar kecil pada sebelah kiri bumper dan kedudukan cukai jalan pada cermin depannya.

Sahabat saya berkeras mengatakan dia tidak tahu apa-apa tentang gambar itu. Isterinya tidak percaya. Akhirnya mereka menghubungi pemilik akaun yang menyiarkan gambar berkenaan.

Dia mengaku merakamkan gambarnya tanpa izin di tepi kereta sahabat saya sewaktu kereta itu di parkir di depan sebuah bangunan. Gambar itu kemudiannya di muat naik bagi tujuan menarik perhatian kawan-kawan dan pengikutnya.

Apa yang terjadi itu memberi ilham kepada sahabat saya untuk memulakan perniagaan menyewa barangan mewah dan eksklusif secara atas talian.

Saya menyokong idea itu. Ia sebetulnya bukanlah sesuatu yang baharu. Perniagaan menyewa barangan berjenama seperti aksesori wanita, fesyen berjenama sehinggalah kepada telefon bimbit kelas kayangan, kereta mewah dan jet peribadi telah lama muncul dan ia antara cabang perniagaan yang memberikan pulangan besar.

Senario itu menunjukkan bahawa perangai menunjuk-nunjuk itu juga ada kebaikannya.

Ia merancakkan aktiviti ekonomi di satu sisi dan di sisi yang lain meningkatkan taraf sosial sebilangan orang.

Soal sama ada peningkatan taraf itu bersifat realistik atau pun tidak, jangan fikirkan sangat.

Sesekali kita kena tengok dari sudut positif. Bukankah perjalanan ke bulan bermula dengan angan-angan? Pesan saya cuma satu, jangan bulan demi bulan demi bulan berangan.#dush! Selamat menyambut Ramadan.

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca