TERDAPAT sebuah kisah dongeng yang disampaikan oleh Aesop, seorang penglipur lara Greek yang terkenal. Inilah kisah ‘Musang dan Anggur.’ Pada suatu tengah hari yang panas, seekor musang melewati sebuah dusun buah-buahan. Ia terhenti apabila terpandang segugus anggur yang terjuntai dari pohonnya. Dek kerana kehausan, si musang teringin memamah anggur-anggur itu untuk menghilang dahaga.
Setelah berundur beberapa langkah, si musang terus melompat untuk menyauk gugusan anggur itu. Kali pertama tidak berjaya, lalu ia mencuba beberapa kali, namun tidak berjaya juga.
Akhirnya, musang itu keletihan, berasa putus asa dan berlalu pergi tetapi musang itu melangkah dengan wajah sombong sambil berkata: "Aku pasti anggur-anggur itu rasa masam!” Kisah dongeng itu mempunyai pengajaran iaitu terdapat dalam kalangan kita yang memperlekeh sesuatu yang dia tidak berjaya peroleh, padahal sebelum itu dia yang kemaruk inginkan sesuatu.
Begitulah manusia. Dengan mengatakan sesuatu yang terlalu diinginkan itu tidak bagus, dia sebenarnya membina defense mechanism agar berupaya memujuk diri tidak berasa kempunan.
Dalam Islam yang indah pula, seseorang itu digalakkan bersangka baik dengan ALLAH apabila tidak berjaya mendapat apa yang diinginkan sambil memasang keyakinan bahawa apa yang tidak berjaya diperoleh itu adalah takdir. Dan ALLAH sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik buatnya.
Jika dalam situasi seseorang itu berkata buruk mengenai sesuatu yang tidak berjaya dirangkulnya, ada satu lagi situasi sebaliknya. Ia adalah keadaan apabila seseorang berkata buruk tentang apa yang pernah dikecapnya semata-mata setelah dia tidak lagi memerlukan sesuatu itu.
Banyak contoh situasi di mana kita sendiri mungkin pernah alami. Terdapat kes-kes perceraian rumah tangga dengan segala keburukan pasangan dikirai di kamar mahkamah. Padahal rumah tangga itu sudah menjangkau belasan tahun dan anak-anak pula ada yang sudah remaja.
Dalam perbicaraan, bekas pasangan saling kata mengata dan tuduh menuduh, seolah-olah tiada langsung kebaikan yang selama ini dikecapi bersama.
Kita juga biasa mendengar bebelan kawan-kawan yang mengutuk tempat kerjanya terdahulu. Ada kompelin majikan memeras, kuku besi, tiada perikemanusiaan, malah menipu. Padahal sebelum itu mereka mendapat rezeki daripada ALLAH apabila bertugas di syarikat atau jabatan berkenaan.
Ada juga kawan yang sudah berhenti merokok mengutuk mereka yang masih menghisapnya. Dengan tidak berlapik kata, dia berkata orang yang merokok itu membazir, teman syaitan, malah berkata ia tindakan membunuh diri. Padahal, kawan yang terkebil-kebil memandangnya mengutuk itu mula belajar menghisap rokok hasil ajakan dia! Sama ada kita memperlekeh sesuatu sebelum mendapatnya mahupun memperlekeh sesuatu setelah mendapatnya – kedua-dua pendirian itu tidak bagus.
Kita tidak adil kepada diri sendiri apabila berkata buruk mengenai sesuatu yang tidak kita alami. Malah, ia merugikan kerana sikap begini boleh membuat kita terlepas peluang seandainya ia datang buat kali kedua.
Tamsilannya, dahan anggur yang lembut itu boleh sahaja tunduk menyembah bumi. Musang yang lalu di dusun itu pada keesokan hari mungkin terlepas peluang merasai kemanisan anggur seandainya haiwan itu tidak melewati pohon anggur itu buat kali kedua.
Kita juga tidak adil apabila memburuk-burukkan apa juga kesukaan yang sekian lama dinikmati semata-mata apabila tidak mahu sesuatu itu lagi. Semakin kita memburuk-burukkannya, semakin terserlah kebodohan diri kerana menyesal sesudah sekian lama.
Semua kebaikan dan keburukan yang terjadi sama ada kita pernah alami mahupun disisihkan daripada terjadi kepada diri sarat dengan hikmah. Baik atau buruk itu hanya pada pandangan kita, sedangkan bagi ALLAH, itulah terbaik buat kita yang jahil mengenai sesuatu yang baharu.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca