KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad pada Selasa mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti tersebut pada Mei nanti.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu bersama gandingan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli untuk memperkukuhkan parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Tegasnya, ketika ini terdapat banyak lompong jawatan kepimpinan utama dalam parti itu terutama jawatan Timbalan Presiden yang ditinggalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan hanya tinggal tiga Naib Presiden daripada tujuh orang sebelum ini.
"Mahu tidak mahu dan sama ada suka atau tidak, parti akan melalui proses pemilihan. Kita juga dengar, misalnya, Rafizi telah umumkan nama beliau untuk bertanding sebagai jawatan Timbalan Presiden.
"Bagi saya, Rafizi memainkan peranan yang penting apabila umumkan dirinya bertanding jawatan Timbalan Presiden dan sebab itu saya menawarkan diri sebagai Naib Presiden. Ini adalah peluang untuk kita rejuvenasi parti,” katanya pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa di sini pada Selasa.
Rafizi yang juga Naib Presiden PKR pada 15 Mac lalu dilaporkan mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik selepas lebih dua tahun berehat dengan mengesahkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Menurutnya, keputusan diambil itu berdasarkan perkembangan terbaharu dan politik progresif pelbagai bangsa sedang berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.
Pemilihan PKR 2022 dijadual berlangsung bermula 13 hingga 18 Mei depan.
Mengulas lanjut, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu menjelaskan, bukan sahaja ahli PKR, bahkan rakyat daripada parti lain dan orang awam keseluruhannya memberikan reaksi yang sangat positif apabila Rafizi mengumumkan untuk bertanding jawatan nombor dua tersebut.
"Keperluan dilakukan pemilihan ini adalah peluang untuk memperkukuhkan struktur parti selepas peristiwa Langkah Sheraton dan keputusan-keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mengecewakan.
"Datuk Seri Anwar juga memerlukan satu pasukan yang kuat, muda dan berkebolehan di belakang beliau,” ujarnya.
Nik Nazmi memberitahu, beliau juga terpanggil untuk bertanding kerana melihat parti itu perlu menunjukkan hala tuju yang jelas kepada rakyat dan tidak meminggirkan suara orang muda.
"Alhamdulillah, parti dah banyak beri peluang kepada saya. Saya dah terlibat dengan parti sejak umur 19 tahun pada 2001.
"Saya telah diberi peluang menjadi wakil rakyat pada usia 26 tahun dan menjadi calon yang termuda dalam pilihan raya umum ketika itu. Sehingga kini banyak peluang telah diberikan parti kepada saya.
"Jadi bagi saya ini peluang untuk membantu parti dan saya merasakan dengan pengalaman yang saya ada sedikit sebanyak ia dapat wakili lebih banyak suara-suara anak muda (dalam parti) untuk melengkapkan suara-suara mereka yang berpengalaman,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca