SHAH ALAM – Pelbagai perkara menggembirakan bakal dinikmati rakyat Malaysia bermula 1 April ini apabila lebih banyak kelonggaran diberikan selepas lebih dua tahun negara bergelut dengan pandemik Covid-19. Antara yang ditunggu-tunggu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Pelbagai perkara menggembirakan bakal dinikmati rakyat Malaysia bermula 1 April ini apabila lebih banyak kelonggaran diberikan selepas lebih dua tahun negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

Antara yang ditunggu-tunggu adalah pembukaan semula sempadan negara yang membolehkan rakyat Malaysia keluar masuk seperti sebelum pandemik khususnya untuk pergi ke negara yang telah membuka pintu sempadan mereka.

Pembukaan sempadan ini juga membolehkan pelancong memasuki Malaysia yang diyakini dapat membantu pemulihan ekonomi negara dengan lebih pantas.

Bagi meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat wabak pula, permohonan pengeluaran khas RM10,000 wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula dibuka pada 1 April.

Selain itu, kebanyakan negeri turut mengumumkan kebenaran solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di semua surau dan masjid selaras dengan negara memasuki fasa peralihan endemik.

Kerajaan mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula fasa peralihan ke endemik mulai 1 April depan. - Foto Bernama

Negeri terbabit ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Sarawak manakala Johor membenarkan sejadah dirapatkan tanpa bersentuhan antara jemaah.

Bagaimanapun, di sebalik perkara menggembirakan ini, terdapat lebih dua juta penerima vaksin Sinovac dan warga emas berusia 60 tahun ke atas berisiko 'hilang' status vaksinasi lengkap pada 1 April jika tidak mendapatkan suntikan dos penggalak.

Mengulas mengenai perkara menggembirakan, pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, 1 April merupakan satu paradigma baharu kepada corak kehidupan masyarakat Malaysia tetapi pada masa sama mereka harus menjalaninya dengan penuh tanggungjawab dan berdisiplin.

"Kita perlu sentiasa ingat bahawa Covid-19 masih belum terhapus. Apa yang dibuat kerajaan pada hari ini adalah untuk memberikan keselesaan dan kelonggaran kepada masyarakat yang sudah begitu lama tertekan.

"Dengan kelonggaran sedemikian, ia secara tidak langsung meningkatkan perjalanan ekonomi negara,” jelasnya.

Menurut beliau, masyarakat negara ini perlu mengimbangi antara kebebasan dan kelonggaran yang diberikan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kalau kita terleka dengan kelonggaran ini sehingga kita mengambil mudah SOP, misalnya pemakaian pelitup muka dan bersesak-sesak di tempat yang tidak perlu, itu akan memberi implikasi yang negatif.

"Jika itu berlaku saya yakin negara tidak mampu kembali ke situasi atau suasana sebelum Mac 2020,” ujar Mohammad Shatar.

Menyentuh mengenai status vaksinasi penerima vaksin Sinovac yang bertukar menjadi tidak lengkap dalam aplikasi MySejahtera, Mohammad Shatar berkata, sebagai rakyat Malaysia mereka harus akur dengan keputusan kerajaan kerana ia dibuat demi kesejahteraan rakyat.

"Jangan kita begitu mudah terpedaya dengan kenyataan-kenyataan individu tertentu yang menghasut masyarakat supaya tidak mengikut arahan kerajaan.

"Satu dunia telah melaksanakan dos penggalak. Kalau ikut logik, sudah pasti dunia tidak akan melakukannya jika kalau ia memberi implikasi buruk,” tegas beliau.

PERISTIWA PENTING 1 APRIL 2022

1. Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik, sempadan negara dibuka semula.

2. Had operasi bagi premis perniagaan dimansuhkan, pelanggan dibenarkan makan di kedai selepas 12 tengah malam.

3. Solat jemaah di masjid dan surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

4. Permohonan pengeluaran khas RM10,000 wang KWSP dibuka 1 April.

5. Lebih dua juta penerima vaksin Sinovac dan warga emas berusia 60 tahun ke atas akan 'hilang' status vaksinasi lengkap jika tidak ambil dos penggalak.

Klik di sini untuk terus membaca