BAGI seorang ahli perniagaan Rusia yang dikenali sebagai Marat dan menjalankan perniagaan di Shanghai, sekatan ke atas negara asalnya telah memberi peluang bisnes yang tidak dijangkakannya di China.
Ini kerana beliau yang berusia 42 tahun telah dihubungi oleh sebuah syarikat komponen yang 'memburunya' untuk dijadikan sebagai rakan kongsi perniagaan di China.
Keadaan itu berlaku setelah syarikat tersebut tidak lagi boleh berurusan dengan pihak pembekal barangan di Eropah dan Amerika Utara.
"Bersedia sahaja," kata Marat.
Ia adalah mesej yang diterimanya daripada firma yang berpejabat di Belarus iaitu sekutu Rusia yang turut dikenakan sekatan ekonomi kerana menyokong pencerobohan ke atas Ukraine.
"Ia akan menjadi beban kerja yang lebih besar untuk saya. Hasilnya adalah ganjaran yang lebih besar," kata Marat yang hanya memberikan satu namanya kerana kepekaannya mengulas tentang Perang Ukraine yang masih berlaku.
Sejak Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan serangan ke atas Ukraine, Barat telah membekukan Moscow daripada sistem kewangan global yang menyebabkan ekonominya terjejas.
Bagaimanapun, China yang merupakan sekutu lama Rusia enggan mengikuti langkah negara-negara Barat itu.
Ia menyebabkan Moscow mendapat 'talian hayat' ekonomi yang menyamai dengan perlindungan diplomatik disediakan China untuk Rusia.
China juga enggan mengutuk pencerobohan yang dilakukan Moscow ke atas Ukraine.
Beijing sudah pun menjadi rakan dagangan terbesar Moscow dengan jumlah dagangan pada tahun lepas mencecah AS$147 bilion (RM619.38 bilion) menurut data kastam China.
Jumlah itu meningkat lebih 30 peratus pada tahun 2019.
Terdapat tanda-tanda awal yang menunjukkan aktiviti ekonomi Rusia kembali melonjak sejak perang di Ukraine meletus pada 24 Februari lalu dengan para pedagang rentas sempadan memberitahu AFP bahawa mereka menjangkakan permintaan Rusia untuk mendapatkan barangan akan condong ke arah timur.
"Krisis ini adalah peluang untuk syarikat Rusia di China," kata seorang lagi usahawan Rusia yang menjalankan perniagaannya di Beijing kepada AFP dan beliau hanya mahu dikenali dengan nama samaran iaitu Vladimir.
"China terbuka. Jika anda mahu membeli, kami ada,'" katanya.
Namun, kebanyakan perniagaan masih menghadapi kesukaran di China ketika berurusan dengan pelanggan dari Rusia.
Para peniaga yang berurusan dalam pelbagai jenis perniagaan dari racun perosak sehingga kepada alat ganti kereta berkata, turun naik nilai mata wang Rusia iaitu ruble telah mendorong ramai pelanggan Rusia untuk berhenti menerima tempahan baharu.
Yang lain pula dibiarkan berlumba-lumba untuk mencari cara untuk menyelesaikan akaun dalam mata wang China iaitu yuan selepas bank Rusia dikecualikan daripada sistem transaksi pembayaran kewangan yang dikenali sebagai SWIFT menyebabkan pembayaran menerusi mata wang dolar tidak dapat dilakukan.
Sementara itu, penghantaran telah dibelenggu oleh kelewatan kerana kurier utama enggan menerima barang-barang yang dikirim ke Rusia manakala beberapa laluan ke negara terbesar di dunia itu telah disekat.
"Semua orang sedang menunggu sesuatu yang boleh dijangkakan. Semua orang berfikir sekatan (mungkin) dibatalkan jika perang tamat tidak lama lagi," kata Vladimir yang menjalankan perniagaan di Beijing dan pakar dalam mengimport bahan makanan Rusia ke China.
China dan Rusia telah menjadi lebih rapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan Putin pernah menghadiri upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing baru-baru ini.
Rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping pula mengisytiharkan hubungan negaranya dengan Rusia adalah tanpa had.
Terdapat juga perjanjian yang dipersetujui China untuk membeli minyak dan gas dari Rusia.
Bagaimanapun, kemungkinan terdapat faedah jangka panjang bagi China kerana Rusia terdesak untuk mencari rakan kongsi.
"Sudah pasti baik bagi China (setelah Rusia jatuh di bawah sekatan Barat)," kata Chi Dashuai iaitu seorang pengendali platform e-dagang yang berusia 38 tahun kepada AFP dari di Moscow.
Syarikat China boleh bergegas mendirikan kilang pemprosesan untuk barang separuh siap di Rusia jika Moscow mempermudah urusan, katanya.
"Keuntungan untuk China akan mengatasi kerugian dalam jangka masa panjang," katanya. - Agensi
> Klik di sini untuk terus membaca