SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Naib Canselor dan Jawatankuasa Kenaikan Pangkat di setiap universiti disarankan supaya menempatkan wakil daripada Majlis Profesor di universiti berkenaan.
Pengerusi Majlis Profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Ramlee Mustapha berkata, ia kerana pandangan daripada wakil Majlis Profesor universiti juga perlu diambil kira bagi memastikan keputusan yang dibuat itu telus dan tepat.
"Salah seorangnya mesti daripada Majlis Profesor di universiti tersebut supaya jawatankuasa itu dapat juga memberi input kerana Jawatankuasa Majlis Profesor di universiti ini mereka dipilih secara undian.
"Jadi mereka yang dipilih itu, biasanya dalam kalangan orang yang dikira layak untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa Majlis Profesor.
"Itu saya ingat perlu diambil kira oleh pentadbiran universiti supaya memasukkan Jawatankuasa Majlis Profesor ataupun wakilnya dalam Jawatankuasa Pemilihan Naib canselor dan juga jawatankuasa kenaikan pangkat dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-333 bertajuk ‘ Autonomi Universiti: Antara Impian dan Realiti’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Wacana itu turut menampilkan Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose; Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Universiti Selangor (Unisel), Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Ramlee berkata, kriteria calon-calon yang ingin menjawat pimpinan tertinggi di universiti perlu dilihat dari segi sanjungan akademiknya.
Menurutnya, aspek tersebut merupakan ‘wow faktor’ yang penting dalam proses pemilihan jawatan pimpinan tertinggi supaya dapat memastikan hala tuju dan objektif pembangunan sesebuah universiti itu tidak tersasar.
"Maknanya sesiapa yang ingin jawatan tersebut mestilah merasakan bahawa dirinya itu telah mencapai satu tahap yang pencapaian akademik yang tinggi, dihormati dan juga cemerlang.
"Adakah dia itu diiktiraf oleh bukan sahaja di peringkat Profesor di dalam negara tetapi juga di luar negara?
"Jadi kita nak lihat sama ada Profesor yang layak untuk memohon itu adalah disanjungi oleh pihak-pihak yang dipanggil sebagai 'peers' ataupun dia punya (kenalan) Profesor lain di dalam dan juga di luar negara. Itu sanjungan akademik penting yang perlu dipenuhi.
Tambahnya, kriteria itu juga akan dinilai oleh pihak Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Kepimpinan Akademik (ACAP) dan juga pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Klik di sini untuk terus membaca