SHAH ALAM - Campur tangan urusan profesional dan politik perlu dielakkan agar tidak menimbulkan konflik yang boleh menjejaskan dan menimbulkan masalah kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini. Presiden Majlis Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Campur tangan urusan profesional dan politik perlu dielakkan agar tidak menimbulkan konflik yang boleh menjejaskan dan menimbulkan masalah kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, di peringkat institusi seharusnya mengutamakan keharmonian ‘mutual respect’ (saling menghormati) dalam komuniti ahli akademik itu sendiri.

Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose.

Namun katanya, di Malaysia, semua orang termasuk pelajar dan kakitangan akademik dibenarkan untuk menyertai politik.

"Ini kita tidak boleh nafikan hak mereka. Bagaimanapun, berpolitik secara aktif atau membawa politik sehingga menjejaskan dan memporak-perandakan universiti adalah satu perkara yang sangat tidak dibenarkan berlaku kepada mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan ahli politik.

"Itu perkara yang kita perlu jelas sebab kita tidak mahu mencampurkan urusan profesional dengan urusan kepartian, supaya ia tidak menimbulkan konflik yang boleh menjejaskan atau menimbulkan masalah kepada institusi kita,” katanya dalam Wacana Sinar Edisi Ke-333 bertajuk Autonomi Universiti: Antara Impian dan Realiti pada Selasa.

Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Pengerusi Majlis Profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr Ramlee Mustapha dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) Universiti Selangor, Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan Naib Canselor, beliau berkata, ia merupakan satu proses yang sangat panjang dan apabila setiap jawatan itu kosong atau direncana untuk dikosongkan, pihak institusi biasanya akan membuat iklan terbuka.

Pihak pendaftar atau pihak pejabat Naib Canselor akan membuat iklan terbuka dan mempelawa warga akademik seluruh negara, tetapi kebiasaannya keutamaan akan diberikan kepada orang dalam universiti itu.

"Saya percaya, calon-calon yang dipilih seharusnya mereka yang benar-benar melepasi kriteria ataupun harapan pihak-pihak yang berkredibiliti dalam memilih calon-calon itu.

"Bagaimanapun, ada kalanya calon yang diumumkan sebagai Naib Canselor itu tersasar daripada calon-calon yang dikemukakan. Perkara ini (pemilihan) agak terbuka, siapa yang disaring, siapa yang dicadang dan sebagainya dan ia bukan rahsia besar.

"Jadi, ia menjadi gempar kepada warga universiti atau akademik secara keseluruhannya apabila calon-calon yang tidak diduga atau calon-calon yang didapati terpilih, tersasar daripada kriteria,” ujar beliau.

Tambahnya, akademik ada hierarkinya dan apabila ia jauh daripada apa yang dijangka itu, akan ada satu tanggapan oleh pihak dalam atau luar universiti bahawa ia merupakan campur tangan pihak-pihak luar atau ‘tangan ghaib’.

Klik di sini untuk terus membaca