SHAH ALAM - Aktivis sosial, Adam Adli Abdul Halim, 33, dijangka bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada pemilihan PKR, pada bulan Mei depan.
Selain itu, Adam Adli dijangka bergandingan dengan peguam, Kamil Munim yang akan berentap dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat untuk merebut jawatan Timbalan Ketua AMK.
Manakala, bagi jawatan Naib Ketua AMK pula akan ditandingi oleh Timbalan Ketua AMK Shah Alam, Muhammad Izuan Kasim dan bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, B Prasant Kumar.
Adam Adli dijangka mengadakan sidang media bagi membuat pengumuman rasmi mengenai pencalonannya untuk bertanding jawatan Ketua AMK dalam satu sidang media khas, pada petang ini.
Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, difahamkan Adam Adli dijangka bertanding dan menyertai kumpulan penyokong, pro Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution, yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, pada pemilihan kali ini.
Justeru itu, Rafizi meramalkan bahawa Adam Adli akan menghadapi saingan sengit daripada calon kumpulannya iaitu Fahmi Zainol, yang telah pun mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua AMK.
"Saya melihat pertembungan Adam Adli dan Fahmi adalah satu persaingan sihat dan amalan demokrasi yang subur dalam PKR sejak dari dulu lagi," katanya kepada Sinar Premium.
Nama Adam Adli mula meniti di bibir anak muda 10 tahun lalu selepas beliau menganjurkan tunjuk perasaan secara aman bagi membantah isu penempatan bakal guru ketika menjadi pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau juga pernah terpalit dalam beberapa kontroversi, termasuk disiasat polis kerana insiden cuba menurunkan bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melakukan bantahan bersama pelajar lain di Ibu Pejabat UMNO, pada Disember 2011.
Manakala Fahmi Zainol, yang berusia 31 tahun, merupakan pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) dan berdepan tindakan tatatertib selepas menjemput Anwar Ibrahim berucap pada 2014.
Fahmi menyertai PKR pada 2015 dan merupakan Ketua AMK Pulau Pinang ketika ini.
Klik di sini untuk terus membaca