SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya merangka dasar yang lebih serius untuk membantu perniagaan bumiputera agar lebih berdaya tahan dan mampu mendepani cabaran pada masa akan datang. Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya merangka dasar yang lebih serius untuk membantu perniagaan bumiputera agar lebih berdaya tahan dan mampu mendepani cabaran pada masa akan datang.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, ini kerana dasar yang ada ketika ini dilihat tidak memberi kesan besar untuk membantu golongan tersebut.

Malah katanya, kerajaan juga perlu menilai kembali agenda bumiputera yang dilaungkan sebelum ini sama ada ia benar-benar membantu golongan itu atau sekadar retorik semata-mata.

"Sekarang ini kita lihat pemimpin sibuk (dengan agenda masing-masing) tetapi ada juga pemimpin yang betul-betul hendak tolong (peniaga bumiputera). Jadi (bagi saya) kalau betul-betul hendak tolongan tidak payah (semata-mata) bagi geran (bantuan kewangan sahaja).

"Sebaliknya kerajaan kena melihat apa keperluan yang dikehendaki golongan peniaga bumiputera ini. Kita bagi apa yang mereka kurang. Sebagai contoh sekarang ini adalah pekerja asing, kita tidak cukup (tenaga kerja asing). Kekurangan tenaga kerja asing ini berlaku kerana kerajaan membuat dasar hanya bawa masuk maksimum 100,000 orang, contoh. Jadi di sinilah kerajaan perlu dahulukan peniaga bumiputera.

Program Bersama Tan Sri Johan Jaaffar menampilkan tetamu undangan, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.

"Jangan kita guna (formula) 30 peratus pekerja asing diberikan kepada peniaga bumiputera tetapi kita kena ambil kira jumlah populasi (bumiputera) yang ada kerana kuota 30 peratus untuk lebih 60 populasi (bumiputera) itu satu logik yang saya tidak faham,” katanya pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiar secara langsung di Facebook Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ameer Ali yang juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera berkata, ketiadaan polisi yang jelas daripada kerajaan khusus untuk membantu peniaga bumiputera merupakan satu perkara yang perlu dipandang serius.

Katanya, jika perkara itu tidak ditangani segera ia akan mewujudkan jurang yang lebih ketara antara peniaga bumiputera dan kaum-kaum lain.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ameer Ali turut menggesa supaya kerajaan mewujudkan ruang konsultasi yang lebih kerap dengan golongan peniaga supaya setiap prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan kerajaan lebih difahami.

"Apa yang kita lihat konsultasi sangat berkurangan. Sebagai contoh SOP untuk 1 April (fasa endemik) (dan tiada) konsultasi dibuat bersama dengan industri, lepas itu buat pengumuman, lepas itu kita marah (dan akan) berlaku penangguhan dan sebagainya,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca