SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi penjelasan secara lebih terperinci berhubung mekanisme pemberian gaji minimum RM1,500 berikutan masih wujud kekeliruan pelbagai pihak berkenaan pelaksanaannya. Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi penjelasan secara lebih terperinci berhubung mekanisme pemberian gaji minimum RM1,500 berikutan masih wujud kekeliruan pelbagai pihak berkenaan pelaksanaannya.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin mendakwa, sebaliknya kerajaan ketika ini dilihat masih lagi memberi penjelasan yang bersifat retorik.

"Pelaksanaan gaji minimum satu lagi subjek sensitif, saya setuju gaji minimum naik daripada RM1,200 kepada RM1,500 kerana ini semua (melibatkan) orang Melayu, budak-budak kita. Jadi, kalau kita tidak bayar lebih, macam mana mereka nak bertahan?

"Tetapi mana penjelasan daripada kerajaan kenapa ini patut kita buat? Tidak ada penjelasan. Penjelasan adalah sangat retorik.

"Semua ini orang susah, kita naikkan gaji, kita meniaga pun orang susah. Sebenarnya majikan mana yang tidak mahu naikkan gaji pekerja? Kalau boleh saya nak bagi semua orang RM10,000 sebulan.

"Tetapi produktiviti mana? Penjanaan mana? Naik harga tidak boleh, naik minyak lima sen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masuk (premis) esok dan tanya kenapa nak untung lebih. Jadi harga susah nak naik, tapi gaji kena naik,” katanya ketika program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Program tersebut dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.

Johan (kiri) bersama Ameer Ali ketika program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID


Mengulas lanjut, Ameer Ali berkata, isu penggajian di Malaysia sebenarnya telah berlanjutan semenjak sekian lama.

"Tapi gaji di Malaysia sebetulnya salah dasar kerajaan sejak zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Contohnya, apabila saya belajar di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1976 dahulu, gaji minimum di sana RM2.10 sejam, bila saya balik (Malaysia) tahun 1981, gaji minimum RM3 sejam dan ketika bekerja di Arab Bank dahulu, gaji saya RM1,200.

"Graduan sekarang kalau di Mydin, kita bayar RM1,500 hingga RM1,800 saja, tetapi di luar ada yang bayar RM2,000.

"Gaji minimum di AS sekarang RM12 hingga RM13, 4.5 kali naik gaji. Di Malaysia dulu bayar RM1,200, namun sekarang saya sendiri pun tidak bayar RM2,400, tidak naik dua kali,” jelasnya.

Beliau juga mengakui rakyat Malaysia sering ditindas semata-mata untuk menjaga kepentingan syarikat multinasional (MNC).

"Kita ini golongan ditindas untuk multinasional. Mereka kata jangan naik gaji, (mereka) tidak mahu melabur kalau naik gaji. Kita takut dan dengar sangat (arahan) mereka,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca