SHAH ALAM - Sikap peniaga bumiputera yang kurang berminat menyertai persatuan menjadi faktor perniagaan golongan itu lemah dan tidak mempunyai kelantangan dalam menyuarakan sesuatu pandangan.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, situasi itu berbeza dengan ‘keutuhan’ persatuan peniaga bagi kaum-kaum lain.
Malah katanya, wujud juga segelintir peniaga bumiputera yang menyertai persatuan semata-mata ingin mendapatkan kontrak kerajaan.
"Kita banyak persatuan (tetapi) semua hendak kontrak kerajaan. Itulah masalahnya dan satu masalah juga kita tidak rasa persatuan itu penting.
"Sebagai contoh saya sebagai Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, kalau kita panggil mesyuarat dan kalau ada makan-makan dan seorang kena bayar contohnya RM50, mereka tidak akan datang tetapi kalau kata tidak payah bayar ramai pula yang datang.
"Situasi ini berbeza dengan kaum-kaum lain yang mana mereka meletakkan persatuan itu penting kerana dengan persatuanlah mereka boleh menyuarakan apa sahaja dan suara mereka akan lebih didengari.
"Kita (peniaga bumiputera) mesti jadi lebih agresif (dalam berpersatuan),” katanya pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiar secara langsung di Facebook Sinar Harian di sini pada Rabu.
Tambahnya, peniaga bumiputera perlu segera mengubah persepsi bahawa persatuan tidak penting sekiranya mereka ingin lebih maju pada masa akan datang.
"Bagaimanapun, saya lihat sejak akhir-akhir ini sudah ramai dalam kalangan peniaga kita (bumiputera) yang sudah mula berminat menyertai persatuan dan kita harap perubahan positif ini akan terus berkembang,” katanya.