SHAH ALAM - Marah adalah emosi biasa yang dirasai oleh semua manusia namun sekiranya kita gagal menguruskan kemarahan yang keterlaluan, ia akan menjadi sifat pemusnah yang memakan diri sendiri dan orang berhampiran.
Pensyarah Kanan Psikologi Klinikal, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Roseliza Murni Ab Rahman berkata, marah adalah sifat yang normal namun ia boleh menjadi destruktif sekiranya seseorang itu tidak mampu mengawal emosi.
"Saya hendak tegaskan marah adalah satu sifat yang normal. Ia merupakan satu bentuk komunikasi apabila seseorang itu merasakan haknya dicabar, maruah dipijak atau undang-undang yang dibuat tidak dihormati.
"Namun, apa yang menjadikannya tidak normal adalah apabila mereka tidak boleh mengendalikan emosi sehingga marah itu dilepaskan kepada orang lain atau benda. Ia sudah tidak konstruktif lalu menjadi sifat pemusnah kepada harta benda atau manusia,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Tambahnya, seseorang yang mempunyai isu menguruskan kemarahan akan memberikan kesan terhadap hubungan mereka dengan individu yang lain.
"Sekiranya kita mempunyai isu dalam menguruskan kemarahan, kita akan menjadi individu yang suka merengus dan tidak bahagia. Kita juga boleh dikenali sebagai seseorang yang panas baran dan cepat melatah dalam sesuatu perkara.
"Perkara ini boleh memusnahkan hubungan dengan orang lain. Apabila kita mempunyai masalah dengan orang lain kerana tidak dapat mengawal marah, mereka akan menjauhkan diri lalu reputasi serta nama kita akan tercalar,” katanya.
Roseliza Murni turut berpandangan bahawa usia tidak begitu memainkan peranan dalam pengurusan emosi namun ia lebih bergantung kepada personaliti seseorang itu.
"Pada kebiasaannya, jika seseorang itu mempunyai sifat panas baran di awal usianya, mereka akan lebih tenang apabila masuk kepada usia yang lebih matang.
"Umur bukan isu namun ia bergantung pada personaliti dan pembawaan kita yang konsisten,” katanya.
Baru-baru ini, tular kes seorang pensyarah universiti awam menghina seorang pelajar B40 kerana tidak mempunyai komputer riba yang diperlukan untuk subjek yang diajar.
Sebelum ini juga seorang artis barat yang terkenal telah menampar pelawak kerana dia seolah-olah menghina isteri beliau di sebuah anugerah berprestij tinggi.
Kedua video tersebut telah mendapat perhatian rata-rata netizen yang kurang bersetuju dan menganggap individu seperti mereka mempunyai isu menguruskan kemarahan yang sangat rendah.
Dalam pada itu, Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, banyak punca yang boleh menyebabkan seseorang itu hilang kawalan apabila marah seperti faktor personaliti dan masalah kesihatan mental.
"Ia bergantung sama ada seseorang individu itu memang ada masalah kesihatan mental yang menyebabkan dia bertindak agresif di dalam sesuatu situasi.
"Banyak perkara yang boleh mempengaruhi tahap mengawal kemarahan seseorang iaitu faktor personaliti, persekitaran dan cara mereka dibesarkan,” katanya.
Fauziah berkata, terdapat beberapa cara untuk mengawal emosi marah apabila seseorang itu di provokasi secara bertalu-talu.
"Sekiranya itu berlaku, kita harus tarik nafas dan bertenang. Cuba untuk ubah pandangan dan berfikiran positif agar keadaan menjadi reda dan melepaskan tekanan agar kita tidak mengamuk secara tiba-tiba.
"Seterusnya, amalkan meditasi untuk menyerap nilai sabar dalam diri. Bagi orang Islam, banyak kan berzikir untuk lebih tenang,” katanya.
Namun begitu, Fauziah berkata, teknik untuk individu yang mempunyai isu kesihatan mental sehingga tercetusnya kemarahan yang melampau adalah berbeza terutamanya apabila mereka berada di tahap Neurosis.
"Sekiranya kita mempunyai masalah kesihatan mental yang tidak dapat mengawal kemarahan lalu bersifat agresif seperti membaling benda atau membahayakan orang lain, kita perlu segera berjumpa dengan pakar psikologi untuk mendapat intervensi modifikasi tingkah laku dan pengurusan agresif," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca