KRISIS kejatuhan syarikat Sapura Energy Berhad, sebuah syarikat perkhidmatan minyak dan gas bumiputera yang pernah mempunyai modal pasaran sebanyak RM28.5 bilion dan diiktiraf antara terbaik di dunia, kini kembali menjadi tumpuan umum sejak... Klik di sini untuk terus membaca

KRISIS kejatuhan syarikat Sapura Energy Berhad, sebuah syarikat perkhidmatan minyak dan gas bumiputera yang pernah mempunyai modal pasaran sebanyak RM28.5 bilion dan diiktiraf antara terbaik di dunia, kini kembali menjadi tumpuan umum sejak minggu lalu.

Berita kegawatan Sapura Energy yang bermula sejak tahun kewangan 2018 apabila syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM2.5 bilion susulan kejatuhan mendadak harga minyak mentah Brent, secara tiba-tiba menjadi perdebatan rakyat.

Semua ini gara-gara cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan menyelamatkannya, atas pertimbangan keputusan itu bakal mengelakkan lebih 6,000 kakitangan majoriti terdiri kaum bumiputera hilang pekerjaan.

Selain itu, Najib menegaskan usaha itu secara tidak langsung dapat membantu ribuan vendor bumiputera yang terlibat dalam pakej kerja dilaksanakan syarikat itu, daripada gulung tikar selain menyelamatkan pelaburan 40 peratus syer pegangan saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan bank-bank.

Dengan liabiliti hampir RM16 bilion dan kini merekodkan kerugian bersih sebanyak RM8.9 bilion untuk tahun kewangan berakhir 2022, masa depan Sapura Energy yang merupakan salah satu syarikat kebanggaan negara suatu ketika dahulu kini menjadi tanda tanya.

Nasib lebih 6,000 kakitangan Sapura Energy, majoriti terdiri kaum bumiputera akan terkesan sekiranya syarikat itu tidak diselamatkan kerajaan dalam masa terdekat.

Hal itu dibuktikan melalui harga saham Sapura Energy yang kini hanya tinggal 3.5 sen seunit, 88 peratus lebih rendah berbanding harga saham pada awal tahun 2019 iaitu sekitar 29 sen sesaham. Modal pasaran Sapura Energy juga merudum kepada RM559 juta.

Justeru, timbul persoalan adakah pertimbangan cadangan kerajaan menyelamatkan atau ‘bailout’ Sapura Energy satu pembaziran dana rakyat atau peluang keemasan untuk meningkatkan keuntungan PNB pada masa hadapan?

Hakikatnya kisah kejatuhan Sapura Energy agak menyedihkan dan seolah-olah memberi isyarat sebilangan besar syarikat bumiputera di Malaysia tidak memiliki rekod urus tadbir korporat yang baik.

Perkara itu diperkuatkan lagi dengan situasi sebuah lagi syarikat bumiputera terkenal, Serba Dinamik Holdings Berhad kini disahkan bermasalah kewangan dan tersenarai sebagai syarikat terkesan di bawah Nota Amalan (PN17) mengikut keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Berikutan itu, apabila cadangan ‘bailout’ Sapura dikemukakan Najib, perkara itu sukar diterima sebahagian rakyat yang cakna, dengan tangan terbuka.

PAMPASAN RM432.7 JUTA

Selain reputasi Najib sendiri yang terpalit dengan skandal 1MDB, isu penerimaan pampasan gaji terlalu tinggi mencecah RM432.7 juta oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin sekitar tahun 2014 hingga 2020, menyebabkan ramai berpendapat langkah ‘bailout’ itu hanya menguntungkan golongan elit.

Secara purata, Shahril yang juga anak kepada pengasas Kumpulan Sapura Holdings, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir menerima gaji tahunan sebanyak RM61.8 juta sejak tahun 2014, RM71.9 juta (2018), RM12.8 juta (2019) dan RM9.6 juta (2020) susulan memiliki pegangan saham 12.8 peratus (kini berkurangan kepada 10 peratus).

Menyingkap punca kejatuhan Sapura Energy, CEO baharunya, Datuk Mohd Anuar Taib menjelaskan ia disebabkan masalah kecairan yang semakin meningkat selain kerugian projek akibat kontrak warisan, diperoleh daripada pengurusan terdahulu.

Mohd Anuar

Jelas beliau dalam satu kenyataan, kekangan kewangan semasa adalah kemuncak kepada banyak faktor, termasuk kontrak diterima atas terma membebankan dan isu peningkatan mendadak kos operasi yang diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19.

"Ini telah mengakibatkan kerugian besar dalam banyak projek, menjejaskan kedudukan kewangan kami.

"Cabaran mudah tunai kumpulan juga disebabkan oleh paras hutang yang tidak mampan dan hutang tertunggak yang tinggi kepada vendor kami, dan cabaran ini menjadi lebih meruncing dengan kemudahan modal kerja kami digantung sejak Oktober 2021,” katanya.

BANYAK KONTRAK

Mengupas lanjut isu ‘kontrak warisan’ dibangkitkan Anuar, seorang lagi bekas Pengerusi dan CEO Sapura Energy, Abdul Jalil Abdul Rasheed membidas strategi perniagaan pengurusan lama syarikat itu yang menfokuskan usaha memenangi sebanyak mungkin kontrak kerja walaupun pada nilai bidaan sangat rendah.

Jelas Abdul Jalil yang juga bekas Pengerusi dan CEO PNB, formula memenangi kontrak dengan nilai bidaan rendah tidak berbaloi sekiranya syarikat itu kemudiannya berdepan kesukaran memperoleh keuntungan.

Seorang lagi bekas Pengerusi dan CEO Sapura Energy, Abdul Jalil Abdul Rasheed turut mengkritik strategi perniagaan regim pengurusan lama syarikat itu yang disifatkannya seumpama menggali lubang sendiri.

"Apabila formula perniagaan anda adalah kena menang seberapa banyak kontrak bagi meneruskan hayat syarikat, anda sebenarnya berdepan masalah besar. Saya sudah sebutkan perkara ini banyak kali sebelum ini.

"Syarikat membida projek bagi tujuan mendapatkan ‘upfront cash’, ia kemudiannya akan digunakan bagi membayar hutang vendor. Kemudiannya nilai kontrak menjadi negatif disebabkan proses penilaian kos operasi kerja yang sewajarnya tidak dibuat.

"Jangan bimbang, bida lebih banyak kontrak untuk tutup lubang. Hakikatnya anda akan menggali lubang anda sendiri,” ujar Abdul Jalil menerusi ciapan Twitter baru-baru ini.

Di sebalik isu kekangan kewangan dan kesilapan strategi perniagaan, pensyarah kewangan, Shahir Adnan menyifatkan pengurusan baharu Sapura Energy diterajui dua bekas orang kuat Petronas dan Shell iaitu Tan Sri Shamsul Azhar Abbas selaku Pengerusi dan Anuar sendiri, berjaya mempamerkan prestasi kewangan lebih baik.

Shahir

Prestasi kewangan terkini itu turut menunjukkan Sapura Energy masih memiliki potensi besar dan hanya memerlukan tadbir urus korporat yang lebih telus untuk kembali berdaya saing sebagaimana zaman kegemilangannya.

"Setelah pertukaran pengurusan pada tahun 2020, prestasi kewangan Sapura bertambah baik, daripada kerugian RM252 juta (tahun 2020), kepada pendapatan RM810 juta (tahun 2021) berdasarkan margin EBITDA.

"Namun begitu, ditegaskan, PNB, melalui Sapura, perlu mengehadkan pengagihan pendapatan kepada individu-individu berkepentingan dalam syarikat itu.

"Berdasarkan Laporan Kewangan 2021, sebanyak RM10.5 juta diagihkan kepada 18 orang ahli-ahli lembaga pengarah dan pengarah eksekutif. Ini tidak masuk akal di kala PNB sebelum ini terpaksa menyuntik dana rakyat sebanyak RM4 bilion untuk menyelamatkan syarikat negara,” kata Shahir.

Bagi seorang bekas jurutera Sapura Energy yang identitinya enggan dikenali, beliau percaya syarikat itu mampu dipulihkan apabila tiga perkara dilaksanakan.

Jelas beliau, perkara pertama adalah bank-bank perlu menamatkan sekatan kemudahan pembiayaan kewangan selain memudahkan proses penstrukturan semula hutang Sapura Energy bagi memberi sedikit kelegaan kepada syarikat itu.

"Kedua, PNB selaku pemegang syer terbesar Sapura Energy perlu menambah suntikan dana dan mengambil peluang daripada kadar nilai saham sangat rendah untuk meningkatkan ekuiti milikan saham.

"Suntikan dana itu sangat penting bagi membantu Sapura Energy membayar hutang vendor dan menggerakkan operasi projek yang banyak tergantung ketika ini.

"Ketiga, Petronas selaku pelanggan terbesar di Malaysia wajar mempertimbangkan penawaran kontrak-kontrak bernilai tinggi. Sekiranya tiga langkah ini dilaksanakan secara serentak, saya percaya syarikat itu mampu mengembalikan kegemilangannya sewaktu sebelum tahun 2014,” ujar sumber syarikat berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca