SHAH ALAM - Pada saat cadangan menyelamatkan syarikat Sapura Energy Berhad semakin hangat diperdebatkan, seorang ketua pusat penyelidikan dasar dan sosioekonomi negara berpandangan solusi ‘bailout’ itu tidak wajar dilaksanakan kerajaan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pada saat cadangan menyelamatkan syarikat Sapura Energy Berhad semakin hangat diperdebatkan, seorang ketua pusat penyelidikan dasar dan sosioekonomi negara berpandangan solusi ‘bailout’ itu tidak wajar dilaksanakan kerajaan.

Sebaliknya, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff menegaskan satu bentuk penyiasatan forensik menyeluruh perlu dilakukan ke atas syarikat itu bagi mengenal pasti punca ia berdepan krisis kejatuhan terburuk ketika ini.

Jelas beliau lagi, pemberian pakej gaji terlalu tinggi dan tidak masuk akal kepada sebilangan besar pegawai pengurusan kanan syarikat itu terutama terhadap golongan ekspatriat, amat mengejutkan pada saat Sapura Energy berdepan kerugian berbilion-bilion ringgit.

"’Bailout’ tidak sewajarnya dipertimbangkan langsung, tidak kira atas alasan apa sekali pun. Langkah itu akan mengenepikan keperluan syarikat bersikap akauntabiliti terhadap prestasi lemahnya dan yang paling buruk, akan berterusan cuai.

"Jangan gunakan politik identiti sebagai alat melobi dana kerajaan untuk dana kebajikan demi kepentingan pihak tertentu.

"Bagi saya, biarlah ia tersenarai sebagai syarikat terkesan di bawah Nota Amalan (PN17) mengikut keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. Selepas itu barulah satu pelan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh dan mengutamakan prinsip tadbir urus korporat telus dan berintegriti, mampu dilaksanakan,” ujar Rais Hussin kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kewajaran syarikat perkhidmatan minyak dan gas terkemuka negara, Sapura Energy Berhad diselamatkan kerajaan bagi mengelakkannya diisytihar muflis.

Dengan liabiliti hampir RM16 bilion dan kini merekodkan kerugian bersih sebanyak RM8.9 bilion untuk tahun kewangan berakhir 2022, masa depan Sapura Energy yang merupakan salah satu syarikat kebanggaan negara suatu ketika dahulu kini menjadi tanda tanya.

PEMBAZIRAN DANA RAKYAT

Mengulas lanjut, Rais Hussin yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjelaskan krisis kewangan Sapura Energy mampu dielakkan sekiranya cadangan pelan penstrukturan semula secara menyeluruh dikemukakan bekas Presiden dan CEO syarikat itu, Abdul Jalil Abdul Rasheed sebelum ini, dilaksanakan.

"Cadangan saya mudah, kembali semula kepada cadangan penstrukturan semula syarikat sebagaimana dikemukakan Abdul Jalil sebelum ini.

"Tambahan pula, dengan nilai pasaran modal Sapura Energy terus merudum kepada RM423 juta, adakah satu langkah pengisytiharan segala bentuk kerugian syarikat (kitchen-sink exercise) sudah dilaksanakan sepenuhnya? Jika tidak, langkah 'bailout' akan menjadi peluang keemasan kapitalis 'kejam' untuk meraih keuntungan berlipat ganda," ujarnya.

Rais Hussin

Rais Hussin turut menganggap langkah 'bailout' akan mengulangi pembaziran dana rakyat yang pernah dilakukan kerajaan terhadap beberapa syarikat atau projek mega negara sebelum ini.

Jelas beliau, satu bentuk penilaian profesional perlu dilaksanakan terhadap aset-aset Sapura Energy yang bermasalah untuk mendapatkan nilai pelupusan yang sewajarnya.

"Sebaiknya semua pemegang saham tidak perlu memperolehi apa-apa hasil daripada keputusan penjualan aset-aset Sapura Energy bermasalah.

"Bagi pemberi hutang atau bank, mereka perlu bantu dengan mengurangkan kadar faedah pinjaman, sekali gus mengurangkan potensi 'untung jangka pendek. Ini kerana kemandirian (survival) Sapura Energy sebenarnya akan menguntungkan bank untuk jangka masa panjang.

"Satu struktur pengurusan baharu haruslah terdiri daripada ahli-ahli teknokrat yang berdaya saing untuk memulihkan semula imej Sapura Energy. Proses penstrukturan semula itu haruslah secara menyeluruh," tegas Rais Hussin lagi.

Klik di sini untuk terus membaca