SHAH ALAM - Apabila cadangan kerajaan menyelamatkan syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Sapura Energy Berhad yang kini mengalami krisis kewangan tenat, dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ramai pihak skeptikal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Apabila cadangan kerajaan menyelamatkan syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Sapura Energy Berhad yang kini mengalami krisis kewangan tenat, dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ramai pihak skeptikal terhadap idea itu.

Lebih-lebih lagi setelah pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli turut tampil menyatakan lebih baik kerajaan menggunakan dana itu untuk membantu rakyat.

Alasan Rafizi yang baru mengumumkan kemunculan semula beliau dalam dunia politik baru-baru ini adalah langkah menyelamatkan Sapura Energy hanya akan menguntungkan golongan elit dan tidak adil untuk kerajaan membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk firma itu pada saat kedudukan perniagaan dan nasib pekerja di seluruh negara sedang berdepan tempoh sukar.

Sebelum itu, Najib mencadangkan dua langkah terbaik untuk membantu Sapura Energy iaitu dengan pemegang saham terbesar syarikat itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) memberi pinjaman mudah atau memohon kerajaan menjamin pinjaman tersebut.

Ataupun yang kedua adalah dengan mengarahkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atau Khazanah Berhad untuk mengambil alih syarikat yang kini menanggung liabiliti keseluruhan RM16 bilion itu.

KEJATUHAN HARGA MINYAK

Cadangan 'penyelamatan Sapura' oleh Najib itu nampaknya turut dipersetujui Pakar Kewangan Islam, Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Razli Ramli.

Beliau berpendapat Sapura Energy perlu diselamatkan atas faktor reputasi besar syarikat itu yang diiktiraf antara syarikat perkhidmatan petroleum terbaik dunia selain kepakaran dimiliki kakitangannya.

Jelas beliau, faktor utama kejatuhan syarikat itu tidak boleh dibebankan sepenuhnya atas kelemahan pengurusan tertinggi memandangkan krisis kejatuhan mendadak harga minyak mentah Brent dunia pada tahun 2015 dan 2018 juga memberi kesan langsung.

Dr Razli Ramli

"Ya, tidak dinafikan Sapura Energy berdepan masalah pengurusan tidak cekap dan bermasalah dengan krisis keyakinan terhadap syarikat itu semakin memuncak setelah bekas ketua pegawai eksekutifnya diberikan bayaran pampasan gaji terlalu tinggi.

"Namun kalau kita lihat balik dari sudut sumbangan dan pencapaian Sapura Energy di peringkat antarabangsa, namanya sudah gah di persada dunia dan mempunyai rating perkhidmatan tinggi.

"Sekiranya Sapura Energy dilupuskan, kita akan kehilangan satu syarikat bumiputera yang penuh dengan pengalaman dan kisah kejayaan luar biasa," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Tambah Razli lagi, perkara penting perlu dilakukan oleh entiti kerajaan yang bakal mengambil alih Sapura Energy kelak adalah dengan menstruktur semula organisasi pentadbiran syarikat dan meletakkan pemimpin yang ada nilai tinggi, kredibiliti, akauntabiliti dan integriti di tempat sepatutnya.

"Saya nampak kebanyakan syarikat berkaitan kerajaan atau berkepentingan kerajaan berdepan masalah kelemahan urus tadbir korporat yang tidak telus. Kita boleh lihat senario sama berlaku terhadap Kumpulan Serba Dinamik Holdings Berhad ketika ini.

"Saya fikir perkara ini perlu diperbaiki sepenuhnya dengan entiti kerajaan yang bakal mengambil alih Sapura Energy, perlu mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memantau operasi syarikat itu secara keseluruhan. Ini penting bagi membolehkan pengurusan kembali efektif dan berdaya saing," ujarnya.

DILINDUNGI DARIPADA MUFLIS

Sementara itu, pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emiritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pengambilalihan itu perlu dilakukan kerana majoriti pemegang saham pengurus unit amanah PNB, telah jelas menunjukkan mereka kekurangan pengalaman melabur dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, Sapura mesti dilindungi daripada muflis kerana ia telah memperoleh banyak teknologi baharu dan mempunyai kontrak dan operasi antarabangsa di lebih 20 negara.

Dr Barjoyai Bardai

"Bagaimanapun, saya tidak nampak kewajaran Petronas mengambil alih Sapura Energy kerana syarikat petroleum negara itu juga merupakan pelanggan terbesar Sapura dan langkah itu pastinya akan mewujudkan konflik berkepentingan.

"Selain itu, Petronas masih memerlukan perkhidmatan Sapura untuk projeknya dengan syarikat itu mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai sektor itu.

"Berikutan itu, Sapura Energy perlu diambil alih oleh entiti kerajaan lain dengan Khazanah Nasional Bhd adalah calon terbaik," tegas Barjoyai.

Klik di sini untuk terus membaca