PERANG Dingin – persaingan sengit antara Blok Barat dan Blok Komunis – yang bermula tak lama selepas Perang Dunia Kedua, berakhir pada Disember 1991 dengan keruntuhan Kesatuan Soviet sendiri. Perang Dingin 2.0 kini kelihatan telah... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG Dingin – persaingan sengit antara Blok Barat dan Blok Komunis – yang bermula tak lama selepas Perang Dunia Kedua, berakhir pada Disember 1991 dengan keruntuhan Kesatuan Soviet sendiri.

Perang Dingin 2.0 kini kelihatan telah bermula dengan pencerobohan Ukraine oleh Rusia pada 24 Februari 2022 dengan wujudnya Blok China-Rusia yang menolak Blok Barat, kecuali jika perang Rusia-Ukraine mencetuskan Perang Dunia Ketiga yang kebarangkalian membinasakan planet Bumi atau berlangsung sehingga melesukan Rusia dan menjatuhkan Presiden Vladimir Putin.

Sekatan ekonomi yang dikenakan untuk menghukum Rusia mengganggu rantaian bekalan sedunia dan menyebabkan inflasi. Harga minyak RON97 yang melambung hampir berlipat ganda ialah contoh paling jelas.

Selain mengakibatkan kenaikan kos hidup, ramai di luar dunia Barat memihak Rusia kerana tidak puas hati dengan dwipiawaian (double standard) Amerika Syarikat di pelosok dunia lain, termasuk Palestin.

Ketidakpuasan ini begitu mendalam sampai ada orang Muslim sanggup membela pengeboman rakyat biasa Ukraine oleh Rusia yang telah melakukan kezaliman yang sama ke atas umat Islam di kota Aleppo, Syria pada 2016 dan Grozny, ibu kota Chechnya (wilayah Rusia yang cuba memerdekakan diri) pada 1990-an.

Sememangnya peraturan antarabangsa kurang adil dan sering memihak. Maka, apa mudaratnya kepada dunia di luar Barat kalau Putin akhirnya berjaya menundukkan Ukraine dan merampaskan wilayahnya?

Empat soalan penting dikemukakan dalam perang ini dan boleh mentakrifkan Perang Dingin 2.0.

ANCAMAN

Pertama, patutkah kuasa besar diberi hak mutlak untuk melanggar jiran-jiran kecil yang dikira telah mengancam keselamatannya?

Sebagai contoh, minggu lepas, ada penganalisis yang menyeru kerajaan Australia supaya menakluki jirannya, Kepulauan Solomon untuk mencegah penubuhan markas tentera China.

Kalau kita simpati dengan logik Putin bahawa perkembangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah mengancam Rusia dan Ukraine memang patut dilanggar Rusia, maka tidak salahlah untuk Australia menyerang Kepulauan Solomon!

Kedua, bolehkah mana-mana negara mengubah sempadan antarabangsa secara satu pihak dengan kekuasaan tentera? Kalau ya, wilayah Malaysia juga bahaya kerana wilayah kita dari Pulau Layang-Layang sampai Sabah juga dituntut negara lain.

Ketiga, bolehkah sesebuah negara membunuh rakyat biasa negara lawannya dengan begitu ramai semata-mata untuk mematahkan semangat penentangannya?

Pada kurun ke-13, tentera Mongol telah menggunakan taktik ‘menyerah atau dibunuh’ untuk menawan dunia Muslim dari kota Samarkand (di Uzbekistan hari ini) sampai ke Baghdad. Pengeboman rakyat biasa Chechnya, Syria dan sekarang Ukraine berdasarkan logik zalim yang sama. Patutkah dunia menutup mata sekali selepas Grozny dan Aleppo?

Keempat, Rusia memberi isyarat bahawa penggunaan senjata nuklear adalah satu pilihan dalam serangannya ke atas Ukraine yang menghadapi penentangan hebat. Ugutan ini berjaya mengkhuatirkan NATO dalam sokongannya terhadap Ukraine.

Rusia sehingga kini adalah kuasa nuklear pertama yang membuat ugutan demikian dalam peperangan konvensional. Adakah ini norma baharu yang kita harus terima?

Dunia perlu menghalang Rusia daripada mendefinisikan era Perang Dingin 2.0 ini dalam empat soalan ini.

Kalau Perang Dingin 2.0 tidak dapat dielakkan, peraturan asasnya tidak harus membenarkan pengubahan sempadan antarabangsa dengan peperangan dan ugutan penggunaan senjata nuklear dalam peperangan biasa.

Blok Barat dan Blok China-Rusia harus bersaing dalam kelebihan sistem politik, kemajuan teknologi dan kepimpinan mengatasi krisis dunia seperti wabak dan perubahan iklim, bukan dengan menggertak negara kecil.

* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Klik di sini untuk terus membaca