BEIRUT - Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah memburukkan lagi krisis makanan di rantau Afrika dan Asia Barat sekali gus menjejaskan persiapan untuk menyambut ketibaan bulan Ramadan yang mungkin bakal menyaksikan langkah ‘berjimat cermat’ perlu diamalkan pada tahun ini.
Dari Lubnan hingga ke Somalia, umat Islam yang biasanya berbuka puasa dengan menu hidangan yang mewah kini bergelut untuk mendapatkan bekalan asas berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api sejak beberapa minggu lalu.
"Peningkatan harga melunturkan semangat kami untuk meraikan ketibaan bulan puasa,” kata penduduk di Genting Gaza, Sabah Fatoum, 45, yang mendakwa harga barangan telah melonjak sehingga 11 peratus.
Menurutnya, harga tersebut dijangka meningkat lagi dan bakal membebankan pengguna.
Krisis itu berlaku kerana Moscow dan Kiev menyumbang sebahagian besar eksport global dalam beberapa komoditi utama seperti gandum, sayur-sayuran dan jagung.
Gangguan dalam aliran eksport yang juga disebabkan sekatan antarabangsa telah mencetuskan kebimbangan terhadap krisis kelaparan global terutamanya di seluruh rantau Asia Barat dan Afrika yang sudah mula terkesan.
Ketika ini, Yemen yang merupakan negara termiskin di rantau Arab adalah yang paling teruk terjejas kerana konflik berlarutan sejak 2014 hingga mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Harga makanan dikatakan meningkat sebanyak dua kali ganda di Sanaa sejak tahun lalu dan ia semakin meruncing memandangkan Ukraine membekalkan hampir satu pertiga import gandum ke negara bergolak tersebut.
Seorang penduduk di ibu kota Yemen, Mohsen Saleh berkata, harga meningkat pada setiap tahun terutamanya menjelang Ramadan.
"Tetapi, kenaikan harga agak melampau pada tahun ini. Penduduk sudah tidak lagi dapat menghadapinya. Situasi ekonomi di negara ini sangat sukar dan kebanyakan penduduk ialah orang miskin,” ujarnya dengan nada kesal.
Di Syria yang terjerumus konflik sejak 2011 turut menyaksikan hampir 60 peratus populasi berdepan krisis makanan dan ia dijangka semakin memuncak pada Ramadan kali ini.
Harga minyak masak dilaporkan telah meningkat lebih dua kali ganda sejak krisis Rusia-Ukraine dan terpaksa dijual pada kuantiti yang terhad selain mencatu bekalan gandum, gula dan beras.
"Saya sangka Ramadan pada tahun lalu lebih ‘berjimat cermat’ kerana pandemik Covid-19. Tetapi, rupa-rupanya keadaan masih sama.
"Kami tidak mampu menyediakan lebih daripada satu menu hidangan untuk berbuka puasa. Saya bimbang jika satu hidangan juga kami tidak mampu sediakan pada masa akan datang,” kata Basma Shabani, 62.
Di ibu kota Tunisia, tradisi ketika bulan Ramadan nampaknya tidak lagi dapat dilakukan.
IMPORT GANDUM
Sumbangan makanan untuk berbuka puasa yang menjadi amalan biasa sewaktu bulan suci itu dilaporkan semakin berkurangan berikutan penyumbang juga bergelut mendapatkan sumber asas untuk diri mereka sendiri.
Di Beirut, rangkaian badan amal tempatan turut terkesan akibat perang Rusia-Ukraine setelah negara itu dilanda krisis ekonomi tidak pernah berlaku sejak 2019.
"Hiperinflasi dan kenaikan harga makanan di pasaran tempatan menjadikan ketibaan bulan suci tersebut adalah sesuatu yang mencabar buat penduduk.
"Sudah pasti kebanyakan penduduk berdepan kesukaran untuk menyediakan menu berbuka puasa kali ini,” kata Pengarah Care International di Lubnan, Bujar Hoxha.
Mesir yang merupakan pengimport utama gandum dari Ukraine juga mula menerima impak krisis Moscow-Kiev.
Presiden Abdel Fattah al-Sisi terpaksa mengarahkan had harga roti tanpa subsidi selepas pencerobohan Rusia mencetuskan lonjakan sebanyak 50 peratus selain mata wang negara itu susut 17 peratus daripada nilainya pada awal bulan lalu.
"Kini, pembeli hanya membeli sekilo sayur-sayuran jika mereka biasanya membeli tiga kilogram sebelum ini,” ujar penjual, Om Badreya di barat Kaherah.
Somalia yang bergelut dengan ancaman pemberontakan dan kemarau terburuk dalam tempoh 40 tahun juga bersiap sedia untuk menghadapi Ramadan yang suram kerana tidak terkecuali berdepan kenaikan harga yang mengurangkan kuasa pembeli di negara berpopulasi 15 juta orang itu.
"Ramadan agak berbeza pada tahun ini kerana kenaikan harga bahan api dan bekalan makanan,” kata penduduk di Mogadishu, Adla Nur.
Selain itu, Arab Saudi yang merupakan negara kaya minyak juga menghadapi situasi serupa.
"Harga kebanyakan barang semakin mahal. Saya terpaksa membayar lebih 20-30 riyal (RM22-34) untuk produk yang sama,” jelas kakitangan sektor swasta, Ahmad al-Assad, 38.
Qatar bagaimanapun bertindak menurunkan harga makanan menjelang Ramadan sebagai langkah simbolik untuk meringankan beban kepada penduduk.
"Harga lebih 800 komoditi telah diturunkan dengan penyelarasan bersama cawangan utama di Doha bermula Rabu lalu hingga ketibaan Ramadan,” menurut Kementerian Perdagangan dan Industri dalam satu kenyataan. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca