SHAH ALAM - Pengurusan institut pengajian tinggi (IPT), pusat zakat perlu bekerjasama dengan pimpinan pelajar dalam mengenal pasti mahasiswa yang memerlukan bantuan untuk pembelajaran mereka.
Presiden Kelab Mahasiswa UMNO, Mubarak Kunyi berkata, ia bagi memastikan tiada seorang pun pelajar daripada golongan B40 yang ketinggalan dalam menerima sebarang bantuan kerajaan.
Dakwanya, terdapat mahasiswa yang berkelayakan dan tidak mempunyai keperluan seperti komputer riba adalah disebabkan pihak pengurusan yang tidak memandang serius berkaitan perkara itu.
"Bagi saya, kita perlu cari solusi yang tuntas. Perlu ditegaskan, pengurusan universiti kena kenal pasti mahasiswa ini dan bantu mereka dengan sesegera mungkin agar mereka tidak ketinggalan.
"Apa yang berlaku ini, beri pengajaran kepada kita semua termasuk pengurusan universiti. Ini kerana kalau kita sedia maklum, di IPT ada pusat zakat, ada puluhan juta bantuan yang boleh diberikan. Jadi, bagaimana boleh berlaku keadaan seperti ini?
"Sepatutnya pusat zakat, pengurusan universiti perlu bekerjasama dengan pimpinan pelajar untuk mengenal pasti rakan-rakan mahasiswa yang mungkin berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan.
"Mahasiswa pula kena jadi perantara, maklumkan kepada pengurusan, pimpinan pelajar untuk permudahkan urusan pelajar ini. Pusat zakat bagi saya banyak dana bantuan yang boleh diberikan. Kadang-kadang ada dalam kalangan mereka yang malu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sinar Live yang bertajuk Mendidik vs Menghina yang dikendalikan oleh Fahiz Ariff pada Khamis.
Pada Rabu, tular satu video yang mendapat perhatian umum mengenai seorang pensyarah memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.
Menerusi rakaman satu minit 45 saat itu, pensyarah wanita berkenaan turut meminta kakak pelajar itu menjual gelang emas bagi membeli komputer riba.
Mengulas mengenai rakaman tersebut, Mubarak berkata, tiada sebarang masalah untuk seseorang pensyarah memarahi pelajarnya, namun ia perlu menjurus kepada mendidik dan menyedarkan pelajar berkenaan.
"Pendidik ini yang akan membentuk jati diri seseorang mahasiswa itu. Lahirkan mahasiswa yang berakhlak tinggi. Jadi, janganlah menghina seseorang itu,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap agar pihak pengurusan universiti memandang berat berkenaan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli komputer riba sebagai peralatan pembelajaran.
Jelasnya, ini kerana golongan tersebut bukan sahaja perlu fokus terhadap pembelajaran, bahkan mereka juga terpaksa berfikir mengenai kelangsungan dirinya dan juga keluarga.
"Mereka bukan malas, mereka bukan manja. Mereka ada usaha mereka sendiri. Namun dalam keadaan seperti ini, kalau ada sokongan ia akan lebih memudahkan kehidupan dan kelangsungan mereka.
"Saya boleh beri jaminan, kalau pergi ke universiti, majoriti rakan mahasiswa ini mereka belajar sambil bekerja sambilan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca