SHAH ALAM - Biarpun menghidap strok atau angin ahmar lebih dua tahun, Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir merekodkan kehadiran penuh di Dewan Rakyat sepanjang 60 hari persidangan sehingga berakhirnya Mesyuarat Pertama,... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Biarpun menghidap strok atau angin ahmar lebih dua tahun, Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir merekodkan kehadiran penuh di Dewan Rakyat sepanjang 60 hari persidangan sehingga berakhirnya Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas (2022) 24 Mac lalu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Mohd Anuar telah menunjukkan tauladan dan semangat juang yang tinggi terhadap rakyat Malaysia khususnya penduduk Parlimen diwakilinya.

"Saya sangat berbangga dengan Mohd Anuar. Seperti yang sedia maklum, beliau ada masalah penyakit strok tetapi setiap hari beliau hadir walaupun sekejap.

"Beliau bertanya soalan tambahan walaupun dalam keadaan pertuturannya ada masalah. Beliau telah menunaikan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Mohd Anuar sebelum ini menegaskan beliau akan terus berjuang dan bertahan sehingga hari terakhir Parlimen dibubarkan biarpun lebih dua tahun diserang strok.

Beliau yang diserang penyakit itu pada Oktober 2019 kini masih perlu menjalani terapi di sebuah hospital di Kuala Lumpur tetapi berjanji akan berkhidmat untuk pengundi di Parlimen itu sebaik mungkin.

Selain Mohd Anuar, Mahfuz, Khalid Abd Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Ahli Parlimen Tampin) kesemuanya dari Amanah merekodkan kehadiran penuh sepanjang persidangan berlangsung sejak tahun lalu.

Berdasarkan laporan sebuah portal, 26 ahli Parlimen tersenarai dengan kehadiran penuh iaitu sepanjang 60 hari dan Amanah yang mempunyai 11 ahli Parlimen merekodkan peratusan tertinggi kehadiran wakil mereka iaitu sebanyak 95 peratus.

Mengulas peratusan kehadiran tinggi itu, Mahfuz berkata, Amanah meletakkan kehadiran di Dewan Rakyat sebagai satu perkara yang wajib buat kesemua ahli Parlimen mereka melainkan ada keuzuran.

"Yang penting juga ahli Parlimen dari Amanah perlu mengambil bahagian dan peranan dalam setiap kali persoalan-persoalan tambahan ataupun perbahasan-perbahasan di dalam Dewan Rakyat.

"Kalau hadir dalam keadaan berdiam diri tanpa mengambil bahagian dalam perbahasan bermakna dia tidak dapat membawa suara hati nurani masyarakat dan rakyat khususnya yang berada di kawasannya,” katanya. Klik di sini untuk terus membaca