[WAWANCARA EKSKLUSIF] Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin mengakui kesan pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak lebih dua tahun lalu memberi kesan cukup besar kepada sektor perniagaan khususnya peniaga bumiputera.
Malah katanya, situasi terburuk itu tidak pernah disaksikan sepanjang dirinya terlibat dalam syarikat rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar di Malaysia itu, namun awal 2020 telah ‘melakar’ sejarah yang tersendiri.
Justeru katanya, peniaga bumiputera perlu belajar daripada sejarah Covid-19 dengan merangka strategi yang lebih agresif bagi memastikan perniagaan yang diusahakan lebih berdaya tahan dan mampu mendepani cabaran pada masa akan datang.
Ikuti lebih banyak kupasan dan luahan Ameer Ali yang juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
JOHAN JAAFFAR: Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan kita sekarang sedang berada dalam proses transisi ke arah frasa endemik. Apakah maknanya bagi perniagaan di negara kita?
AMEER ALI: Ini yang ditunggu-tunggu untuk industri perniagaan dan seluruh rakyat Malaysia. Bagi peniaga, semestinya ini yang kita tunggu sebab dah lama sangat terkurung, kerajaan masukkan kita dalam satu penjara, tetapi tidak beri makan. Bila masukkan orang dalam penjara, anda bertanggungjawab untuk pastikan dia dapat makan. Tapi ramai yang tidak cukup makan. Tapi tidak apalah, jadikan sejarah.
Sekarang insya-ALLAH 1 April ini dah buka semula sempadan. Bagi perniagaan memang bagus, tetapi saya ada satu soalan, lagi dua hari nak masuk 1 April, mana prosedur operasi standard (SOP)?
Ini adalah satu kelemahan di Malaysia, kerajaan buat pengumuman dan semua rakyat menunggu, lagi-lagi kita orang berniaga, kalau kata kena ada jarak, kita nak tahu apa jaraknya, tempat makan macam mana supaya boleh diselaraskan semula. Jika dah tak perlu jarak satu meter, kita boleh dekatkan meja. Selagi kita ada jarak satu meter dan bekerja dari rumah, kita tidak boleh balik pada paras prapandemik. Jadi, memang bagus kita buka sempadan pada 1 April ini, tetapi kita kena hentikan pelaksanaan bekerja dari rumah, barulah ekonomi akan pulih secara dasarnya seperti pada tahun 2019.
Dalam masa dua tahun kebelakangan ini, perniagaan tentu menghadapi banyak masalah. Apakah pengajaran daripada peristiwa yang dilalui oleh komuniti perniagaan sepanjang dua tahun ini?
Komuniti perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bergantung pada diri sendiri dan komuniti. Kitalah yang kena tolong, jangan harap sangat dengan kerajaan. Bukan saya kata kerajaan tidak menolong, tetapi apabila suasana menjadi sangat susah, keupayaan dan kapasiti untuk menolong tidak cukup dan selalunya lambat dari segi birokrasi. Kita sedar diri, apa-apa pun masalah, kita jaga kita. Akhirnya, rakyat Malaysia jaga rakyat Malaysia.
Tetapi bukankah pada waktu yang sama kerajaan mengumumkan pelbagai pakej bantuan?
Memang ada pakej bantuan seberapa banyak yang kerajaan boleh bantu kerana kerajaan mempunyai bajet yang terhad, tetapi semua orang nak (bantuan). Saya melihat, kerajaan tidak cukup data, sebab itu ada rumah dapat 10 pek beras dan 20 paket gula, tetapi malangnya ada juga orang yang tidak dapat. Saya bukan nak kata ia dibuat dengan sengaja. Misalnya, banjir besar yang terjadi baru-baru ini di Selangor, kita tidak biasa dengan situasi ini, jadi kerajaan lambat sedikit beri bantuan. Niat itu ada, tetapi mungkin mekanisme dan prosesnya agak birokratik.
Kadang-kadang tidak ramai (peniaga) yang turun padang. Kita sebagai peniaga kena belajar untuk turun padang. Tetapi jika hanya untuk ambil gambar sambil angkat bayi, itu bukan turun padang. Kalau kita betul-betul buat, baru kita rasa kesusahan (rakyat). Orang politik biasa pandai cakap dia faham, tapi nak faham macam mana sebab dia tidak susah. Kita susah apabila kelaparan. Kalau dia betul-betul susah, dia turun padang dan tengok dengan mata sendiri.
Kita juga perlu terima hakikat pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini. Maknanya, kita terpaksa melalui proses pembelajaran, tetapi setakat mana kita dapat memanfaatkan pengalaman itu untuk masa depan?
Kita kena belajar sejarah. Saya pun tidak pernah tengok situasi susah seperti ini termasuk dalam perniagaan. Orang kata Mydin jual makanan, semua orang kena makan. Tidak semestinya kerana saya banyak bangunan dan ramai tidak bayar sewa, jadi memang susah. Tapi yang betulnya kita kena buat, tabah dan jangan berputus asa. Ramai yang berputus asa dan tunggu kerajaan tolong. Kerajaan mempunyai sumber yang terhad. Tetapi pada masa ini semua orang pun tidak ada duit. Bagi saya kita kena ambil pengajaran.
Pengalaman itu yang penting. Kita dah jatuh, ramai termasuk Mydin sendiri dah tahu kesusahan. Kita dapat tahu dari segi logistik dan bekalan sangat susah sampai sekarang dalam pasaran banyak barang tidak ada. Negara belum pulih, ditambah dengan konflik antara Ukraine dan Rusia menyebabkan masalah ini tidak habis. Jadi, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sesiapa, kecuali diri sendiri.
Mydin sebuah perniagaan yang besar dan mantap, namun mungkin Datuk juga mempunyai masalah dari segi jumlah peratusan berapa banyak yang terjejas, tetapi bagaimana dengan syarikat-syarikat kecil yang terpaksa menghadapi krisis sewaktu pandemik?
Kasihan kerana sebesar-besar syarikat Mydin pun banyak bank tidak sokong, mereka tarik semula pinjaman walaupun dalam keadaan begini. Paling teruk, bank asing, dia tidak kisah langsung untuk tarik (pinjaman). Sekurang-kurangnya bank tempatan tarik secara perlahan sebab takut Bank Negara Malaysia (BNM) marah.
Saya merupakan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera dan kawan-kawan saya yang berniaga memang susah. Bank tarik pinjaman, mereka seolah-olah tidak ada perasaan atau hati batu. Sebab mereka tidak susah, gaji dapat, saya sendiri pun bekas jurubank, jadi saya tahu mereka ini pandai ceramah sahaja, mereka tidak tahu betapa susah (hidup) di bawah dengan tidak cukup makanan dan tidak ada orang yang nak bayar gaji. Mydin sahaja yang tidak buang pekerja, seberapa susah pun kita tanggung. RM15 juta gaji pekerja kita tanggung dalam sebulan. Kompleks dan kedai tutup, peniaga tidak bayar sewa. Sampai hati (bank tarik pinjaman).
Apakah Datuk pernah menyampaikan maklumat ini kepada kerajaan?
Sudah pernah cakap, tetapi sekadar meluahkan perasaan sahaja, tidak ada sesiapa dengar.
Jika Mydin menghadapi masalah begitu, bayangkan beratus ribu syarikat peruncitan yang terlibat dengan hal seperti ini?
Saya amat marah kerana kita tidak dapat sokongan. Tetapi melihat daripada perspektif bumiputera, golongan ini yang paling susah. Ini kerana kebanyakan mereka adalah generasi yang pertama kali nak berniaga. Baru sahaja naik, dah kena dan tidak ada orang nak tolong. Kita tidak ada sistem sokongan untuk bantu golongan bumiputera. Kita kata kerajaan yang akan sokong, namun kerajaan juga mempunyai keupayaan yang terhad dan banyak retorik.
Kaum Cina pula memang ada yang susah tetapi mereka mempunyai sistem sokongan yang kuat dari segi simpanan wang, berbeza dengan kaum Melayu yang sistem sokongannya tidak berapa kuat. Walaupun kerajaan kata mereka membantu, namun sebetulnya mereka bukan membantu, tetapi memberi pinjaman. Saya rasa kerajaan tidak faham, apabila dalam suasana biasa, kita boleh beri pinjaman, tetapi apabila berlakunya pandemik Covid-19, duit itu terbakar kerana kita tidak berniaga, sebaliknya berbelanja.
Jadi, perbelanjaannya hilang dan duit itu sudah terbakar. Justeru, sekiranya kerajaan beri pinjaman, peniaga akan mendapat lebih banyak masalah sebab mereka dapat pinjaman untuk bayar gaji dan sewa, tetapi tidak ada pendapatan kerana kedai tutup. Apabila kerajaan bagi, peniaga ambil sajalah. Tetapi bukan Mydinlah sebab kami tidak dapat (bantuan) dan kami juga tidak meminta pertolongan kerana lebih ramai peniaga yang memerlukan lebih bantuan.
Mydin sudah bertahun-tahun dalam industri ini, jadi insya-ALLAH kami boleh bertahan. Jadi saya rasa, mereka memerlukan geran. Saya dengar pengumuman Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini maklumkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan beri diskaun sebanyak 30 peratus. Tetapi lagi 70 peratus peniaga hendak dapatkan duit daripada mana? Kerajaan memberikan contoh yang tidak baik sebab kalau mereka bagi 30 peratus, kemudian misalnya peniaga nak minta diskaun sebanyak 50 hingga 80 peratus daripada swasta, mereka akan kata, sedangkan kerajaan pun beri 30 peratus, jadi cukup untuk mereka beri 20 peratus sahaja.
Pada pandangan Datuk, adakah mungkin ahli perniagaan Melayu kecewa dengan persatuan-persatuan perniagaan?
Boleh jadi. Sebab biasanya persatuan tersebut termasuk barisan Exconya adalah ahli perniagaan yang mahukan kontrak untuk perniagaan mereka sendiri. Sebab bila saya buat Persatuan Peruncit Bumiputera dalam exco ini semua yang sudah cukup duit orang kata, tidak payah projek. Jadi niat mereka ini hendak tolong orang sahaja. Itulah bezanya.
- Datuk pernah gagal dalam perniagaan?
Memang (pernah) gagal banyak kali. Maksud gagal di sini adalah kesusahan daripada segi aliran tunai dan yang paling susah sekali semasa pandemik Covid-19.
Macam mana hendak lahirkan lebih banyak Datuk Ameer?
Saya harap jangan ‘duplicate’ tapi jadikan lebih baik. Saya rasa formula perniagaan senang sahaja, formulanya tidak susah. Kita kerja kuat, tabah, kita makan duit halal. Kita tidak boleh mengejar duit, kejar kemasyhuran. Bila kita bersedia, duit akan datang kepada kita. Kita kena banyak bersabar. Kalau kita bermula saya hendak jadi kaya ni, tidak akan jadi kaya macam tu sebab fokus kita hendak jadi kaya.
Datuk bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Mydin tetapi juga menjadi ‘salesman’ kepada Mydin, maksudnya Datuk turun ke gelanggang, pegang ikan, sayur untuk menjual. Ertinya ini adalah salah satu daripada sifat yang ada pada jurujual yang kadang-kadang bagi orang Melayu budaya ini tidak berapa biasa. Apa nasihat Datuk kepada peniaga Melayu?
Kita kena ada semangat. Maknanya kita buat sesuatu itu kita suka, semangat itu ada. Kita turun padang sebab kita kena tahu apa yang jadi di bawah. Malah, nombor telefon saya bagi kepada semua orang, kad saya ada nombor telefon.
Tujuan saya berikan nombor itu adalah untuk membolehkan orang telefon kepada saya jika ada masalah. Perniagaan ini milik saya dan sayalah yang bertanggungjawab atas perniagaan. Apa-apa kesalahan saya bertanggungjawab.
Dalam konteks Mydin daripada sebuah syarikat atau kedai yang kecil, kemudian menjadi seperti sekarang dengan 67 ‘outlet’ dengan perolehan melebihi RM3 bilion setahun. Apa satu rahsia Datuk?
Sikap kemanusiaan. Jangan teragak-agak. Jangan kita ingat kita pandai sangat. Kita selalu kena belajar daripada orang, macam sekarang apabila saya buat Tik Tok contohnya kita kena tahu minat masyarakat sekarang, teknologi baharu.
Saya tidak biasa dengan bola, tapi saya ikut juga sebab hendak bersama anak saya kerana dia minat bola. Saya ada Facebook, Instagram, Tik Tok sebab bagi saya kita kena tahu teknologi terkini, baharulah faham perniagaan itu. Perniagaan berubah setiap hari, jangan kita ingat ia tidak berubah.
Klik di sini untuk terus membaca