SHAH ALAM - Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi tidak bersetuju dengan cadangan agar kerajaan menggunakan kaedah ‘bailout’ untuk menyelesaikan masalah aliran tunai syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Berhad (SEB).
Beliau berkata, Permodalan Nasional Bhd (PNB) adalah pemegang saham terbesar SEB yang sudah pun mengalami kerugian besar akibat penurunan harga saham.
"Nak suruh dana lain atau PNB suntik lebih banyak dana? Saya tidak setuju dengan pendekatan kerajaan atau mana- mana dana berkanun digunakan untuk ‘bailout’ SEB.
"Kerajaan sanggup membenarkan lebih RM100 bilion wang persaraan individu diguna tanpa mengeluarkan satu sen dana kerajaan dan sekarang ini mahu menolong hanya sebuah syarikat dan pemegang sahamnya?" katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini meminta kerajaan membantu SEB menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.
Mengulas lanjut, Shazali berkata, dalam keadaan sekarang, lebih baik dana kerajaan digunakan untuk membantu lebih ramai rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
"Kerajaan sedang kesuntukan dana dan hutang hampir RM1 trilion. Sepatutnya utamakan kebajikan kerana ramai yang hidup dalam kedaifan dan memerlukan bantuan, bukan mereka yang sudah pun menikmati ratusan juta ringgit pada masa lalu,” tegasnya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi daripada University College i CATS, Kuching, Sarawak, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, kenyataan Najib yang menggesa kerajaan menyelamatkan SEB ada relevannya.
Menurut Shazali, SEB wajar diselamatkan asalkan dibuat dengan kaedah dan kajian yang betul serta tanpa melibatkan arahan atau tekanan politik.
"Ada relevan komen Najib kerana kepentingan SEB kepada ekonomi negara. Jika syarikat ini tidak diselamatkan, implikasi lebih buruk akan berlaku dan merugikan syarikat seperti PNB dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).
"Kerajaan boleh bantu dengan syarat hak milik syarikat berkenaan hendaklah dikuasai oleh kerajaan, mungkin Petronas yang mempunyai kemahiran dalam bidang minyak dan gas boleh ambil alih,” katanya.
Tambahnya, Bursa Malaysia juga harus memainkan peranan untuk memantau syarikat-syarikat mengenai pembayaran gaji dan kedudukan hutang supaya tidak timbul lagi isu seperti ini.
"Ini hutang banyak tapi bayar dividen tinggi, macam mana? Patut bayar hutang dulu,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca