ISU pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang didakwa menghina golongan B40 menjadi topik hangat yang dibincangkan kelmarin. Macam-macam reaksi dapat dibaca di media sosial daripada netizen hinggalah ke peringkat menteri.
Saya tidak mahu mengulas apa yang berlaku kerana semua orang ada pandangan masing-masing. Biarlah mereka yang berkelayakan untuk membuat pertimbangan kemudaratan isu tersebut.
Setiap keputusan dan tindakan perlulah seimbang dengan kesannya dan janganlah berlebih-lebihan.
Apabila timbul isu seperti ini, maka ramai kawan saya yang berkongsi kisah mereka semasa menuntut di UiTM. Ada kisah yang lucu, sedih, mencabar dan macam-macam lagi kejadian yang cukup bermakna dalam hidup.
Menyingkap kembali ketika belajar dahulu, saya masuk ke UiTM Shah Alam bermula dengan Diploma Komunikasi Massa (Masscomm).
Semasa memilih pengajian tersebut, saya tidak tahu pun apakah subjek yang akan dipelajari dan apabila tamat pengajian, apa pekerjaan yang sesuai.
Saya hanya mengikut kawan sekampung yang mengatakan pengajian yang kami pilih mempunyai masa depan dan mudah untuk mendapat kerja.
Lagipun pada masa itu, tiada rujukan dalam kalangan saudara-mara atau adik-beradik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bidang Masscomm. Maklumat juga terhad kerana tiada Google.
Kebanyakan saudara terdekat dan orang kampung mengutamakan pengajian agama sekolah pondok dan belajar hingga ke Mesir serta Arab Saudi.
Ketika itu, saya fikir lebih baik sambung belajar lepas SPM daripada bergelut dengan kerjaya sebagai penoreh getah yang terpaksa memanjat bukit hampir setiap hari dan berdepan dengan ular serta haiwan berbisa lain.
Pada tahun pertama ketika tinggal di asrama Meranti Cendana, maka berlakulah kejutan budaya hingga saya nyaris ‘ditendang’ daripada UiTM.
YURAN
Pointer cukup makan itu pun hasil bantuan beberapa orang pensyarah yang bersungguh-sungguh mengheret saya ke kelas dan memaksa dengan pelbagai cara supaya menyiapkan tugasan yang diberikan.
Pensyarah terlibat juga telah memanggil saya ke bilik mereka dan disampaikan syarahan perdana berserta kata-kata motivasi betapa peluang belajar di UiTM tidak wajar disia-siakan.
Kata mereka, pada waktu itu tiada universiti seperti UiTM yang bersungguh-sungguh mahu membela nasib orang Melayu dalam bidang pendidikan.
Ya, saya amat setuju kerana pada masa itu yuran pengajian satu semester sebanyak RM250 untuk penuntut miskin seperti saya.
Jika UiTM mengenakan yuran ribu-ribu ringgit, sudah pasti saya tidak mampu untuk belajar kerana kos sara hidup di Shah Alam amat tinggi bagi golongan bawahan.
Pada masa itu, hanya ada dua pengelasan manusia iaitu miskin dan kaya. Tiada kategori seperti sekarang iaitu B40, M40 dan T20.
Mungkin nasib saya, ALLAH aturkan untuk bertemu pensyarah dan kawan-kawan yang baik-baik belaka.
Kawan-kawan memang terbukti sahabat sejati kerana melalui saat sukar bersama-sama.
Kawan-kawan yang tergolong dalam kategori anak Datuk, Tan Sri dan ekspatriat pula tidak pernah sombong dan berasa diri mereka lebih hebat daripada kami.
Malah, mereka juga amat merendah diri, tidak menunjukkan kekayaan atau membangga diri walaupun mereka lahir dengan pinggan dan sudu emas.
Saya dan kawan-kawan yang miskin kerap dibawa ke rumah mereka untuk belajar bersama-sama. Ibu bapa mereka juga amat merendah diri walaupun berpangkat besar.
Banyak yang saya pelajari daripada sikap baik pensyarah UiTM yang bertanggungjawab dan sikap golongan kaya yang baik hati.
Walaupun sudah lama meninggalkan UiTM dan menamatkan pengajian sarjana di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain, UiTM tetap di hati.
Saya geram apabila ada orang menuduh UiTM tidak membantu penuntut miskin dan tidak setuju apabila semua orang kaya dikatakan tidak prihatin nasib orang miskin.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca