ISRAEL telah lama berperang dengan para pejuang Palestin. Bagaimanapun, serangan Daesh yang berlaku pada 27 Mac lalu sehingga mengakibatkan kematian telah menimbulkan ketakutan akan ancaman keselamatan baru terhadap penduduk Yahudi. Dalam... Klik di sini untuk terus membaca

ISRAEL telah lama berperang dengan para pejuang Palestin. Bagaimanapun, serangan Daesh yang berlaku pada 27 Mac lalu sehingga mengakibatkan kematian telah menimbulkan ketakutan akan ancaman keselamatan baru terhadap penduduk Yahudi.

Dalam kejadian itu, dua lelaki bersenjata membunuh dua pegawai polis di bandar Hadera, utara Israel.

Kumpulan Daesh menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web Amaq kemudian mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Ia juga menyatakan bahawa dua anggotanya telah melepaskan tembakan di Jalan Herbert Samuel di bandar tersebut.

Pengakuan Daesh itu adalah yang pertama kali pernah dibuat mengenai serangan yang dilakukan ke atas wilayah Israel sejak tahun 2017.

Dua warga Arab Israel dikenal pasti oleh pihak perisikan Israel sebagai pelaku kejadian itu dibunuh oleh pasukan polis antikeganasan yang kebetulan berada di kawasan berdekatan.

Israel ketika ini memerangi pergerakan Hamas dan Jihad Islam di Gaza.

Namun, keganasan baru-baru ini dikaitkan dengan Daesh yang mana tidak ramai penduduk Palestin dan Arab Israel bergabung dengan Daesh sebelum kekalahan wilayah yang dikuasai kumpulan itu di Syria pada tahun 2019.

Ini adalah kerana ramai penduduk Palestin dan Arab Israel itu memilih untuk tinggal di rumah dan berjuang untuk Palestin.

Sejak terhapusnya sistem kekhalifahan Daesh, kumpulan itu telah dilemahkan dan pada bulan Februari lalu, tentera Amerika Syarikat (AS) pula membunuh pemimpinnya ketika itu, Abu Ibrahim al-Qurashi.

Sehubungan itu, Samir Mahamid iaitu Datuk Bandar Umm el-Fahm yang merupakan sebuah bandar di utara Israel berasa terkejut apabila mengetahui bahawa serangan itu dilakukan oleh dua penduduknya yang mempunyai kaitan dengan Daesh.

"Umm el-Fahm adalah kota keagamaan tetapi saya terkejut mengetahui bahawa Daesh juga wujud," katanya kepada AFP.

Ancaman Daesh ke atas penduduk Yahudi merupakan ancaman baharu di Israel. - Foto AFP

SIRI SERANGAN

Sementara itu, ketika polis menyerbu apartmen salah seorang lelaki tersebut, mereka menemui bahan-bahan tentang Daesh.

Sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa salah seorang penyerang telah ditangkap pada tahun 2015, ketika lelaki berkenaan merancang untuk pergi ke Syria.

Kejadian tembakan di Hadera itu berlaku selepas serangan di selatan Israel yang mana empat orang terbunuh selepas ditikam dan kejadian rempuhan kereta oleh seorang penduduk Arab Israel yang sebelumnya dipenjarakan kerana cuba bergabung dengan Daesh di Syria.

Agensi keselamatan Shin Bet mengenal pasti penyerang itu sebagai Mohammed Abu al-Kiyan yang merupakan seorang guru berusia 30-an dari pekan Badwi Hura di padang pasir Negev.

Mohammed ialah salah seorang daripada enam warga Badwi yang ditahan pada tahun 2015 kerana didakwa bersimpati dengan Daesh dan mengaku menyokongnya serta mengambil bahagian dalam mesyuarat penyokong kumpulan berkenaan di Hura.

Lelaki itu juga pernah menjalani hukuman penjara selama lima tahun.

Mohammed kemudian ditembak mati oleh orang awam yang bersenjata kerana lelaki tersebut enggan meletakkan pisaunya.

Pada 22 Mac pula, serangan ketiga telah menggegarkan Israel ketika seorang lelaki Palestin membunuh lima orang termasuk seorang pegawai polis dengan menggunakan senjata api di Bnei Brak iaitu di pinggir bandar raya Tel Aviv.

Dalam kejadian itu, dua warga Ukraine turut terbunuh.

Kedua-duanya berusia 23 tahun dan 32 tahun terbunuh ketika mereka duduk di luar sebuah kedai runcit di Jalan Bialik di bandar itu apabila Diaa Hamarsheh yang merupakan penduduk Palestin dan tinggal di Tebing Barat melepaskan tembakan.

Diaa yang berumur dalam lingkungan 20-an akhirnya mati ditembak ketika bertempur dengan polis Israel.

Walaupun tidak ada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu, kejadian tersebut mengingatkan corak serangan yang dilakukan oleh Daesh pada masa lalu.

Pembunuhan itu menyebabkan operasi tentera Israel dilakukan di Tebing Baratyang dijajah rejim Zionis dan berlaku menjelang permulaan Ramadan tahun ini. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca