SHAH ALAM - Parti-parti politik Sabah perlu bersedia menghadapi kemarahan rakyat negeri itu jika kemungkinan berlaku lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diluluskan pendaftarannya baru-baru ini tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti-parti politik Sabah perlu bersedia menghadapi kemarahan rakyat negeri itu jika kemungkinan berlaku lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diluluskan pendaftarannya baru-baru ini tidak disertai Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik merangkap Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, bagaimanapun percaya kerajaan campuran Sabah yang kini mahu dikenali sebagai kerajaan GRS-BN boleh mentadbir negeri di Bawah Bayu dengan stabil sebagaimana di peringkat Pusat.

Katanya, walaupun UMNO-BN mungkin mendapat 'semangat' ekoran kemenangan besar pada PRN Melaka dan Johor, namun tidak mungkin PRN berlaku lagi dalam masa terdekat kerana negeri berkenaan baru sahaja mengadakan PRN, kira-kira dua tahun lalu.

"Jika desas-desus Sabah bakal menghadapi satu lagi PRN dalam tempoh tidak sampai dua tahun, maka ini menunjukkan ketaksuban dan kegilaan sesetengah pemimpin untuk mendapatkan kuasa dan menjadi parti dominan di Sabah.

"Namun, mana-mana pemimpin parti seharusnya berfikir panjang dengan mempertimbangkan kepentingan dan masalah mungkin dihadapi oleh rakyat, kerajaan negeri dan Persekutuan yang sebelum ini sudah membelanjakan lebih RM130 juta untuk membiayai PRN Sabah, pada 26 September 2020 lalu," katanya kepada Sinar Premium.

TIDAK GILA KUASA

Jeniri berpandangan, walaupun UMNO-BN tidak bersama GRS tetapi parti itu tidak terlalu 'gila' kuasa dan berani untuk mengambil risiko mengadakan PRN demi kepentingan pemimpin tertentu dalam parti terbabit.

Malah, Jeniri berkata, beliau yakin masih ramai pemimpin UMNO masih rasional dan berfikir secara bijak untuk mengelak krisis dan pergolakan politik berlaku di Sabah, dalam masa terdekat.

"PRN bukan satu perkara yang boleh dibuat secara main-main kerana ia membabitkan kepentingan, kesan dan masa depan banyak pihak termasuk bagaimana kemasukan pelabur asing dan kedudukan ekonomi negeri.

"Walaubagaimanapun, Sabah memang pernah berdepan beberapa siri insiden pergolakan dan ketidaktentuan politik serta peralihan kuasa sejak dulu, namun, kita janganlah memburukkan imejnya dengan satu lagi PRN," katanya.

DR JENIRI AMIR

BERSATU SABAH GOYAH?

Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan bahawa Bersatu di Sabah goyah berikutan hubungan antara parti itu dengan UMNO yang dilihat sudah tidak sehaluan di beberapa negeri.

Sebaliknya, Wan Saiful berkata, Bersatu di Sabah semakin kukuh sejak diawal penubuhannya di negeri ini dan jentera parti dilihat terus bekerja bagi memenangkan parti dalam pilihan raya akan datang.

"Saya rasa suasana di Sabah tidak sama dengan di Sarawak, tidak sama dengan suasana di Semenanjung, suasana di Semenanjung pun di satu negeri dengan negeri lain berbeza.

"Jadi itu adalah keunikan-keunikan di negeri masing-masing, lebih baik untuk diuruskan oleh pemimpin setempat.

"Bagi saya persaingan politik ini perkara biasa, yang pentingnya persaingan politik tidak mengganggu usaha-usaha untuk menjaga kebajikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Kawasan Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said pada Rabu.

BN BUKAN DALAM GRS

Kerajaan negeri Sabah pimpinan Bersatu pada hujung Mac lalu menerima kejutan apabila Pengerusi BN Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan kerajaan negeri Sabah dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN).

Ia susulan pendaftaran GRS yang diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada pertengahan Mac lalu tidak disertai UMNO, BN dan Pas.

GRS hanya dianggotai parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) and Sabah Progresif Parti (SAPP).

Klik di sini untuk terus membaca