ISU penjualan barangan tiruan yang menggunakan jenama terkenal di negara ini bagaikan tiada kesudahan walaupun sering kali pihak berkuasa melakukan operasi. Biarpun penguatkuasaan tegas dilakukan, namun sindiket menjual barangan tiruan... Klik di sini untuk terus membaca

ISU penjualan barangan tiruan yang menggunakan jenama terkenal di negara ini bagaikan tiada kesudahan walaupun sering kali pihak berkuasa melakukan operasi.

Biarpun penguatkuasaan tegas dilakukan, namun sindiket menjual barangan tiruan bagaikan sudah kebal dan tidak takut untuk meneruskan kegiatan haram itu biarpun tahu ia menyalahi undang-undang negara ini.

Suatu ketika dahulu, kegiatan menjual dan mengedar barangan tiruan didalangi warga tempatan, namun Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin mendedahkan, sindiket barangan tiruan kini dipelopori oleh warga asing.

Ariffin berkata, trend penjualan barangan tiruan di negara ini berubah sejak dua tahun lalu apabila kebanyakannya didalangi warga asing terutama dari Bangladesh dan Pakistan.

"Faktor penyebab kepada keadaan ini ialah pasaran kerana barangan tiruan yang masuk ke negara ini kebanyakannya dari Bangladesh dan Pakistan.

"Hasil risikan mendapati, urusan jual beli stok barangan dari kedua-dua negara itu hanya boleh dijalankan oleh rakyat mereka atas faktor kepercayaan, sekali gus menyebabkan urusan jualan barangan tiruan di Malaysia dimonopoli oleh warga kedua-dua negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pada asalnya, warga asing tersebut hanya bekerja dengan sindiket menjual barangan tiruan di Malaysia.

"Atas faktor bagi memudahkan urusan pembelian dari Bangladesh dan Pakistan, warga asing ini mendapat kepercayaan daripada majikan mereka untuk menguruskan sendiri urusan jualan tersebut.

"Lama-kelamaan dengan menggunakan wang yang dikumpulkan serta dana yang diterima daripada pihak yang menjual barangan tiruan tersebut, warga asing yang sebelum ini hanya kuli, naik setapak demi setapak sehingga berjaya membuka perniagaan mereka sendiri di negara ini,” jelas beliau.

Menurutnya, kebanyakan barangan, contohnya stok baju yang diciplak daripada jenama-jenama terkenal datangnya dari kedua-dua negara tersebut.

Ariffin mendedahkan kegiatan menjual barangan tiruan kini dikuasai oleh warga asing.

"Sentimen lebih percayakan ‘orang sendiri' adalah satu bentuk elemen yang paling penting bagi mereka. Pihak di negara berkenaan sesekali tidak menerima ‘orang luar' untuk berurusan dengan mereka.

"Secara langsung, mana-mana warga mereka yang bekerja di Malaysia akan dijadikan sebagai orang tengah untuk berurusan. Atas faktor itulah, kita dapat lihat trend urusan jualan bagi barangan tiruan di negara ini kebanyakan sudah bertukar kepada warga asing daripada dua negara berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, kegiatan urus niaga barangan tiruan itu dijalankan tanpa modal, sebaliknya lebih kepada konsep membantu rakan senegara.

"Pengeluar barangan tiruan ini sanggup meletakkan modal mereka sendiri iaitu memberikan barangan tersebut tanpa cagaran kepada peniaga rakan senegara mereka di sini.

"Peniaga boleh ambil dahulu barangan yang dibekalkan, kemudian baru bayar kos barangan tersebut kepada pengeluar setelah terjual. Cara inilah menyebabkan aktiviti menjual barangan tiruan semakin berkembang di negara ini,” katanya.

GUNA NAMA WARGA TEMPATAN

Jelas beliau, menjual barangan tiruan merupakan antara kegiatan berisiko tinggi dan mereka yang terlibat berdepan tindakan serta peruntukan undang-undang yang berat di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, pulangan yang diperoleh peniaga adalah lumayan disebabkan faktor permintaan tinggi daripada warga tempatan.

Menurutnya, perkara itulah yang menyebabkan sindiket barangan tiruan terus bermaharajalela sehingga ada antara mereka berselindung di sebalik perniagaan berlesen.

Ariffin berkata, pihaknya mengesan ada sindiket menggunakan orang tempatan untuk mendapatkan lesen menjalankan perniagaan di negara ini.

"Antara kaedah yang digunakan ialah konsep ‘ali baba'. Warga asing ini mengeluarkan segala bentuk modal, sementara seorang rakyat tempatan akan digunakan namanya untuk mendaftar lesen perniagaan.

"Apabila pihak berkuasa melakukan serbuan, memang tiada nama warga asing tersebut, sebaliknya mereka berpura-pura sebagai pekerja dan menunjukkan lesen perniagaan yang tertera nama warga tempatan,” ujarnya.

Menurutnya, sindiket menjual barangan tiruan itu juga sanggup mengeluarkan belanja yang besar semata-mata untuk menggunakan nama warga tempatan bertujuan mendaftar perniagaan.

"Mereka (warga tempatan) hanya goyang kaki sahaja. Kos dari segi modal, kadar sewa dan sebagainya akan diuruskan oleh sindiket berkenaan.

"Setiap bulan warga tempatan ini akan menerima wang tanpa gagal. Jadi faktor ini antara penyebab sindiket berani menjalankan perniagaan menjual barangan tiruan ini tanpa rasa takut,” katanya.

Guna istilah ‘copy original’ Ariffin berkata, ramai yang terpedaya dengan helah sindiket atau peniaga apabila menggelarkan barangan tiruan yang dijualnya sebagai copy original.

Ariffin ketika ditemu bual Sinar Harian di pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, apa sahaja barangan yang dijual tidak mendapat kebenaran pemilik hak cipta, ia adalah tiruan.

"Barang tiruan ini sama ada dikatakan copy original atau yang sesetengah mempunyai gred tertentu didakwa sebagai barangan berjenama tapi berkualiti rendah, adalah tiruan.

"Pihak KPDNHEP kesal apabila ada peniaga sanggup menipu dengan memberikan pelbagai istilah untuk barangan yang mereka jual. Ada juga yang mendakwa barangan tersebut adalah tulen, namun berkualiti rendah,” katanya.

Beliau sehubungan itu berkata, tindakan penguatkuasaan akan segera dijalankan sebaik sahaja KPDNHEP menerima aduan daripada pemilik sesebuah jenama atau pemilik cap dagang itu sendiri.

Menurutnya, barangan yang dijual dan didakwa sebagai barang tulen perlu berdaftar dan mempunyai lesen.

"Dalam soal ini, peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menjual sesuatu barangan itu dan mendakwa ia adalah barang tulen. Perlu ada lesen dan berdaftar dengan sah.

"Apabila pemilik cap dagang membuat aduan, tindakan penguatkuasaan seperti sitaan serta tindakan lain akan diambil menurut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya.

GUNA MEDIA SOSIAL

Keadaan negara yang berhadapan dengan Covid-19 menjadikan urusan jual beli barang tiruan dijalankan dengan mudah.

Sindiket mengambil kesempatan memasarkan barangan tiruan menerusi platform media sosial.

Ariffin berkata, penjualan barangan tiruan secara dalam talian merupakan cabaran kepada KPDNHEP Kuala Lumpur.

"Helah melibatkan penjualan barangan tiruan secara online sedikit berbeza kerana penjual hanya bertindak sebagai ejen dropship dan tidak menyimpan stok barangan tersebut.

"Ejen bertindak sebagai orang tengah dan akan membuat tempahan dari luar negara, seterusnya barangan akan dihantar kepada pengguna,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, peniaga menggunakan nama samaran dan ia antara cabaran pihaknya dalam mengatasi masalah penjualan barangan tiruan dalam talian.

"Terdapat individu yang menjual barangan tiruan menerusi platform dalam talian menggunakan nama samaran serta telefon bimbit yang didaftarkan atas nama orang lain.

"Dalam soal ini, kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti pengendali platform dalam talian untuk mengatasinya,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP Kuala Lumpur sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi mengesan sekiranya terdapat aktiviti penjualan barangan tiruan di platform media sosial

Penguatkuasaan dijalankan KPDNHEP Kuala Lumpur dalam membanteras kegiatan menjual barang tiruan.

"Kita bekerjasama dengan lain-lain agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pengendali platform dalam talian seperti Lazada dan Shopee.

"Kaedah ini dijalankan bagi memastikan aktiviti menjual barangan tiruan menerusi platform dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau berkata, terdapat beberapa kaedah dilaksanakan dalam mengatasi isu melibatkan jualan barangan tiruan dalam talian.

"Antaranya adalah melaksanakan website blocking bagi pautan atau laman sesawang yang menjual barangan tiruan.

"Selain itu, kita turut melaksanakan penurunan kandungan (content removal) bagi iklan atau penjualan barangan tiruan selain bekerjasama dengan wakil pemilik cap dagang dalam mengenal pasti pemilik akaun atau penjual dalam talian,” katanya.

Beliau sehubungan itu mengingatkan mana-mana pihak yang menjual barangan tiruan agar menghentikan aktiviti tersebut.

"Sekiranya didapati mana-mana peniaga atau pelaku, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan, atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Selain itu, tindakan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, KPDNHEP akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas tanpa kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” tegas beliau.

HENTI SOKONG BARANG TIRUAN

Kegiatan penjualan barangan tiruan dapat dihapuskan sepenuhnya sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam membanteras kegiatan tersebut.

"Selagi ada permintaan, maka penawaran akan sentiasa berlaku. Penguatkuasaan sememangnya kita sentiasa jalankan, malah ditingkatkan dari semasa ke semasa.

"Apa yang paling penting, pengguna itu sendiri perlu ada kesedaran untuk tidak membeli barangan tiruan,” ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan agar tidak menjadi penyokong kepada sindiket penjualan barangan tiruan."Saya menggesa kepada mereka yang bertindak menjadi pelanggan tetap barangan tiruan supaya hentikanlah, jangan sokong barangan tiruan ini.

"Ingatlah, setiap dari kita mempunyai peranan tersendiri. Jadilah warga Malaysia yang sentiasa menghormati dan mematuhi peruntukan undang-undang ditetapkan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca