BARU-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah mengarahkan kerajaan Persekutuan negara itu untuk mengkaji tentang penggunaan dolar digital. Bagaimanapun, terdapat banyak risiko dan kesan yang perlu dipertimbangkan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah mengarahkan kerajaan Persekutuan negara itu untuk mengkaji tentang penggunaan dolar digital.

Bagaimanapun, terdapat banyak risiko dan kesan yang perlu dipertimbangkan oleh Washington sebelum ia melaksanakan dolar dalam bentuk digital bagi menggantikan penggunaan wang kertas dan syiling yang kini digunakan di AS dan dunia selain ia juga digunakan oleh institusi-institusi kewangan global.

Wang dolar digital itu akan dikeluarkan oleh Rizab Persekutuan AS yang dianggap sebagai Bank Pusat negara itu dan mampu digunakan oleh semua orang dan tidak terhad hanya kepada institusi-institusi kewangan serta mempunyai nilai sama dengan yang terdapat pada wang kertas.

Setakat ini masih tidak jelas sama ada penggunaan dolar digital tersebut akan berdasarkan kepada teknologi blockchain seperti bitcoin yang popular sebagai mata wang kripto pada masa kini atau jika ia bakal dihubungkan dengan penggunaan kad pembayaran.

Justeru, Biden telah meminta pelbagai jenis agensi kerajaan termasuk Jabatan Perbendaharaan AS untuk melakukan penyelidikan dan kajian terhadap pelbagai isu tentang penggunaan mata wang digital dolar AS yang mana beberapa buah negara di dunia sedang berusaha untuk melaksanakan versi digital mata wang masing-masing.

Sekiranya kerajaan memutuskan untuk menggunakan mata wang dolar digital itu, masa selama beberapa tahun mungkin diperlukan untuk merelisasikan penggunaannya dengan pihak berkuasa harus berusaha mencari teknologi mana yang akan digunakan untuk tujuan itu, kata Darrell Duffie iaitu pakar mata wang digital di Universiti Stanford, California, AS seperti dilaporkan AFP.

RIZAB PERSEKUTUAN

Tidak seperti wang yang disimpan dalam akaun bank atau dibelanjakan melalui aplikasi seperti Venmo dan Apple Pay, wang tersebut akan didaftarkan dalam akaun Rizab Persekutuan dan bukannya di bank-bank dan pada masa yang sama, dolar digital akan bernilai sama dengan wang kertasnya.

Penggunaan dolar digital itu juga jika dilaksanakan, ia akan dapat mengurangkan atau bahkan menghapuskan yuran transaksi dan ia tidak lagi perlu melalui bank, penggunaan kad bank atau aplikasi yang mengambil komisen bagi setiap pembayaran yang dilakukan.

Bagi yang menyokong penggunaan dolar digital itu pula menyatakan bahawa ia akan membantu penduduk yang tidak mempunyai akaun bank di AS selain dapat memudahkan kerajaan untuk membayar faedah. Namun terdapat beberapa risiko akibat daripada penggunaannya seperti kegagalan sistem atau serangan siber dan hak-hak privasi kerana kerajaan secara teorinya dapat mengakses semua jenis transaksi yang dilakukan.

Penduduk Amerika Syarikat kemungkinan menggunakan dolar dalam bentuk digital untuk membeli-belah. - Foto AFP

Sistem perbankan juga akan terjejas jika sistem dolar digital digunakan kerana bank-bank pada masa ini menggunakan deposit pelanggan untuk memberikan pinjaman kepada orang lain dan dengan penggunaan dolar digital itu juga, pihak perbankan akan mempunyai wang dalam jumlah yang tidak besar.

Bagaimanapun, tempoh masa pemindahan wang dolar digital itu di peringkat antarabangsa dapat dilakukan dengan segera.

Ketika ini ia kerap lambat dan menurut seorang pakar pertukaran mata wang asing untuk syarikat broker Bannockburn, Marc Chandler, tempoh selama dua hari diperlukan untuk tujuan pemindahan wang sebenarnya dapat dilakukan hanya dalam tempoh sejam sahaja jika dolar digital digunakan.

Beliau juga berpendapat bahawa peranan geopolitik AS dianggap tidak akan mengganggu pelaksanaan dolar negara itu.

Negara-negara lain di dunia sudah mengusahakan versi digital mata wang masing-masing iaitu dari zon euro sehingga kepada India tetapi tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa menjadi negara pertama di pasaran menggunakan mata wang digital akan memberikan kelebihan yang signifikan, kata Profesor Jamiel Sheikh iaitu pengasas kumpulan CBDC, Think Tank.

Namun, menurut Duffi, jika AS ingin terus mendapat keuntungan daripada status dolar sebagai mata wang dominan dalam rizab Bank Pusat dan pembayaran antarabangsa, adalah mustahak agar pihak kerajaan 'Uncle Sam' itu melaksanakannya dengan berhati-hati.

"AS perlu memastikan bahawa ia tetap berada di posisi terkehadapan di forum antarabangsa yang membincangkan tentang standard pembayaran rentas sempadan untuk mata wang digital," katanya seperti dilaporkan AFP.

LEBIH DISUKAI

Sekiranya dirancang dengan betul, dolar digital mungkin lebih disukai untuk kegunaan domestik daripada mata wang kripto, kata Duffie.

Namun, untuk pemindahan wang digital di peringkat antarabangsa, beliau skeptikal bahawa Bank Pusat yang besar seperti Rizab Persekutuan atau Bank Pusat Eropah, China atau Jepun akan membuka akaun kepada orang ramai di seluruh dunia.

Sekiranya AS melakukannya, katanya, ia boleh merosakkan sistem monetari negara-negara kecil yang rakyatnya lebih suka menggunakan dolar digital daripada mata wang tempatan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca