KATA pepatah Melayu lama, mulut hang lebih dari gedembai, yang memberi maksud berkata-kata dengan tidak ada batasnya kerap mencelakakan diri sendiri. Begitulah maksudnya yang saya baca di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).
Mulut ini hendaklah kita menjaga dan mengawalnya sebaik mungkin. Selain menggosok gigi setiap masa supaya mulut kita berbau wangi, kita juga hendaklah mengawal mulut daripada berkata tanpa ada hadnya.
Seperti kata pepatah di atas, kadang-kadang ia boleh mencelakakan diri sendiri. Boleh jadi nanti ada orang akan marah disebabkan mulut kita. Boleh jadi juga, kita akan ditempeleng jika ada yang tidak dapat mengawal diri.
Ada orang bila menggunakan mulutnya untuk berkata-kata, menampakkan kesopanan dan kesusilaan. Ada juga yang lepaskan saja apa yang terbuku di hati. Selain itu ada juga yang apabila berkata, indah bahasanya.
Paling bahaya apabila yang pandai mengungkapkan kata-kata manis tetapi seperti kata pepatah, mulut manis jangan percaya, lepas daripada tangan jangan diharap. Eloklah berhati-hati.
Tetapi ada juga kata pepatah Melayu, mulut manis mematahkan tulang.
Mungkin ia bergantung kepada penerimaan orang itu sendiri. Ada yang apabila dimaki, barulah insaf dan bertaubat.
Ada orang sifatnya apabila dimaki dan dikutuk, tidaklah berubah-ubah perangainya. Makin keras dan ganas jadinya. Mungkin pendekatan itu bukan cara terbaik untuk mendidik orang begitu.
Seorang kawan saya, walau dimarahi oleh bos pun, dia tenang sahaja. Apabila bos membebel dan melontarkan kata-kata tidak sepatutnya, dia masih selamba. Besoknya dia akan ambil cuti sakit.
Apabila saya tanya: "Sakit apa semalam?”
"Sakit hati. Sekarang dah baik,” katanya.
KATA-KATA MANIS
Ada orang pula, hendaklah ditegur dengan pendekatan lemah lembut, kata-kata manis yang boleh mencairkan hati atau bercakap dengan nada memujuk.
Saya fikir cara memujuk boleh sahaja dilakukan oleh perempuan apabila hendak menegur lelaki.
Contohnya, seorang isteri apabila marah kepada suami yang pulang lewat. Janganlah ditengking tetapi dipujuk. Insya-ALLAH suaminya akan berubah menjadi suami mithali.
Saya terfikir, apa yang menyebabkan mulut ada ketikanya menjadi seperti mulut puaka dan boleh menjadi mulut manis seperti gula serta lembut seperti kapas sehingga boleh memberi kesan kepada yang mendengarnya.
Saya berpendapat, ia disebabkan oleh hati yang berperanan mengawal mulut kita. Dan hati juga boleh menjadikan akal tidak waras.
Seperti kata pepatah Melayu, hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang.
Apabila sudah hilang perasaan dalam diri, maka perkataan marah akan terkeluar daripada mulut seseorang itu.
Dan bagi yang mendengar, kata pepatah, tertarung kaki boleh diinai, tertarung hati susah ubatnya.
Akibatnya, mulutnya juga akan celupar dan terjadilah perbalahan antara satu sama lain.
Apabila hati sudah marah, akal tidak boleh berfikir, maka mulut akan menghamburkan perkataan tidak enak didengar atau boleh menggores hati dan perasaan orang lain.
Bercerita tentang akal, ia adalah anugerah Tuhan sangat berharga.
Bagaimana hendak menggunanya dengan betul, sebenarnya bergantung bagaimana cara kita mengawal hati.
Bak kata pepatah, terentak ruas ke buku, yang memberi maksud hilang akalnya, maka tidak adalah upayanya lagi diri ini.
Tidak dapat mengawal perasaan marah dan menyebabkan persekitaran akan menjadi buruk, malah boleh kehilangan kawan dan keluarga.
Selain itu, kita suka mengimbau kenangan silam. Kita suka bercerita bagaimana kita menghadapi kesusahan masa lalu. Biasanya kita akan beritahu penderitaan kita biasa-biasa sahaja.
Dan ada pula yang beritahu, generasi sekarang lembik.
Kadang-kadang saya lihat yang bercakap, umurnya masih muda jelita. Mungkin mereka sudah berasakan diri mereka kuat.
Anak-anak mereka nanti apabila besar akan berkata begitu juga kepada generasi selepasnya.
Seperti ayah kita mungkin pernah begitu kepada kita. Ia seolah-olah berulang-ulang.
Ada juga yang bercerita tentang alam pekerjaan yang sangat ganas dan boleh menyebabkan siapa yang mempunyai hati selembut tisu, mungkin tidak akan dapat bertahan dalam alam pekerjaan.
Masa yang akan membentuk kita untuk menjadi kuat atau lemah. Jagalah hati supaya akal berfungsi dengan betul, maka mulut sudah pasti akan berbau wangi.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca