INSYA-ALLAH, esok kita akan menyambut bulan Ramadan. Selain bulan berpuasa, terdapat pelbagai gelaran diberikan untuk bulan Ramadan sesuai dengan keistimewaannya seperti penghulu bagi segala bulan, bulan keampunan, bulan keberkatan, bulan... Klik di sini untuk terus membaca

INSYA-ALLAH, esok kita akan menyambut bulan Ramadan. Selain bulan berpuasa, terdapat pelbagai gelaran diberikan untuk bulan Ramadan sesuai dengan keistimewaannya seperti penghulu bagi segala bulan, bulan keampunan, bulan keberkatan, bulan bersedekah, bulan kesabaran, bulan al-Quran, bulan kemenangan dan bebas daripada api neraka.

Justeru, ramai yang mengambil kesempatan untuk beramal pada bulan yang berkat ini.

Sesungguhnya, berpuasa pada bulan Ramadan adalah perintah ALLAH SWT menerusi firman-Nya: "Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, 2:183).

Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Tuntunan Puasa, Tarawih & Shalat Idul Fitri - "Perintah puasa seperti juga perintah-perintah ALLAH SWT yang lain, bukanlah suatu perintah yang kaku dan kering. Perintah puasa tidaklah sama dengan peraturan dan undang-undang buatan manusia, yang kuat atau lemahnya bergantung kepada kekuatan politik, kekuasaan dan kewibawaan pemerintah terhadap rakyat.

"Apabila hanya itu dasarnya, sebagaimana undang-undang dan peraturan, orang lain akan mencari seribu satu akal untuk melepaskan diri dari ikatannya. Perintah mengerjakan puasa yang diturunkan langsung daripada ALLAH SWT dengan perantaraan rasul-Nya, mengetuk hati, iman dan akidah orang-orang beriman.

Menyentuh akal dan perasaan, jiwa dan sanubari. Semuanya sekali gus.”Berkaitan dengan persediaan menghadapi Ramadan, saya cukup tertarik dengan ciapan Dr Omar Suleiman menerusi akaun Twitter beliau - "Tetamu yang sedang ditunggu-tunggu akan datang pada minggu ini. Pastikan rumah anda (iaitu hati) adalah bersih dan bersedia untuk menerima tetamu tersebut.

Sila atur jadual dari sekarang dan jangan biarkan tetamu tinggalkan rumah tanpa membawa segala dosa-dosa anda pada hujung bulan Ramadan nanti.”Yang jelas, pesanan beliau adalah selaras dengan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Rugi (celaka) orang disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya tetapi dia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua-dua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia) tetapi kedua-duanya tidak dapat menyebabkannya masuk syurga.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).

TIDAK PERLU TIPU DIRI

Selain melaksanakan ibadat, bulan Ramadan adalah satu institusi yang cukup ampuh untuk mentarbiahkan akal dan jiwa seseorang.

Sebetulnya, amat rugi jika tidak serius untuk memperbetulkan kemudi kehidupan kita pada Ramadan ini.

Sejajar dengan perubahan diri, terdapat hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

"Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi ALLAH, selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Persoalannya, di bahagian kemudi mana yang harus diperbetulkan? Sejujurnya, kita tidak perlu menipu diri sendiri terhadap segala kelemahan yang ada dalam diri selama ini. Malah, semua perkara walaupun sebesar zarah sekalipun, ALLAH SWT tahu dan kenal diri kita.

Justeru, berdamailah dengan ALLAH SWT pada Ramadan ini agar dibalikkan hati yang terlebih sifat ‘kehaiwanan’ kepada sifat insani atau pembentukan akal budi yang bersih serta berupaya mengatur kehidupan dengan sempurna tanpa ditakluki hawa nafsu.

Pada hemat saya, jika kita masih degil, ralit dan tidak serius memperbetulkan kemudi kehidupan pada bulan mulia ini, dikhuatiri laluan kita akan semakin miring dan tidak berada pada jalan lurus lagi.

Ingatlah, tiada siapa yang berupaya meluruskan jalan kehidupan di dunia yang sementara ini kecuali diri kita sendiri.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca