MELANGKAH masuk ke bulan April pasti mengujakan. Jika warga biasa sudah tentulah berharap peralihan negara ke fasa endemik akan membuka kembali kehidupan mereka seperti sediakala. Bagi beragama Islam, Ramadan yang jatuh bulan ini akan... Klik di sini untuk terus membaca

MELANGKAH masuk ke bulan April pasti mengujakan. Jika warga biasa sudah tentulah berharap peralihan negara ke fasa endemik akan membuka kembali kehidupan mereka seperti sediakala.

Bagi beragama Islam, Ramadan yang jatuh bulan ini akan disambut dengan berpuasa dan beribadat.

Sudah pasti dengan peralihan itu, Aidilfitri paling dinanti setelah dua tahun tidak diraikan.

Namun, bagi pemerhati politik, bulan ini amat mendebarkan.

Sidang Khas Parlimen akan diadakan 11 April ini bagi membahaskan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang telah disepakati dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang.

Mengapa mendebarkan? Ia selepas apa yang berlaku sebelumnya dalam kes kegagalan kerajaan mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat bagi meminda tempoh perlanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dilihat selepas kegagalan tersebut, naratif kestabilan politik yang sebelumnya membadai di peringkat negeri nampaknya mula naik ke peringkat Persekutuan.

Tambah meriah, ada spekulasi pembubaran Parlimen selepas pertemuan ‘sarapan pagi’ beberapa menteri UMNO di sebuah hotel di Putrajaya dikhabarkan membincangkan hal itu.

Di pihak pembangkang juga nampak menarik. Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dengan tegas menggesa ia disegerakan atau pembangkang akan kembali berdemonstrasi di jalan raya.

Daripada dua hal tersebut, jelaslah mengapa April mendebarkan untuk politik negara.Hakikatnya, Akta Anti Lompat Parti adalah satu keperluan.

Ia sepatutnya sudah lama diwujudkan. Walaupun lompat parti adalah sah dalam amalan demokrasi tetapi niat di sebaliknya yang membahayakan. Terbukti hal itu lebih membawa banyak keburukan berbanding kebaikan.

TUNGGU DAN UGUT

Namun, yang menarik sebenarnya adalah apa yang bakal berlaku semasa dan selepasnya. Isu lompat parti lebih banyak dipolitikkan berbanding diinstitusikan. Mungkin ramai setuju kedua-dua pihak seperti tidak bersungguh untuk membawanya.

UMNO dilihat lebih cenderung untuk membubarkan Parlimen dan segera mengadakan pilihan raya. Mereka dengan tegas menyatakan MoU sudah terbatal, maka secara tersirat Akta Lompat Parti sudah tidak menjadi isu.

Pembangkang pula cuba menghalangnya dengan menggesa Akta Lompat Parti didahulukan. Lebih ironi, di hujungnya masih ada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Sabah menyertai Warisan yang tidak banyak diperkatakan.

Sikap tunggu dan ugut yang dipertontonkan kedua-dua pihak hanya akan melengahkan kelulusan. Ia bukan sahaja merugikan semua, malah demokrasi negara secara keseluruhan. Akta Lompat Parti secara langsung menyentuh kepentingan mengundi dan perlunya menghormati mandat rakyat.

Kalau ia tidak dilaksanakan, jangan salahkan rakyat jika mereka malas keluar mengundi.

Isunya bukan MoU atau konsensus mana-mana pihak. Isunya adalah komitmen setiap ahli Parlimen untuk ia dilaksanakan bagi memastikan lompat parti tidak lagi berlaku dan menjejaskan demokrasi negara. Malah, ia patut diperluaskan bukan sahaja di peringkat Parlimen tetapi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Yang cuba disekat bukan sekadar wakil rakyat yang belot dan bengkok. Ia harus bertindak sebagai mekanisme melindungi undi dan mandat rakyat dengan membunuh hasrat untuk melompat dengan hukuman paling berat, sama ada secara individu atau berkumpulan.

Mungkin kita harus bersetuju dengan cadangan hilang hak bertanding seumur hidup kepada mana-mana katak politik. Segerakanlah Akta Lompat Parti kerana ia bukan soal parti atau majoriti tetapi tentang prinsip dan integriti. Yang pasti seluruh rakyat sedang memerhati, apakah para Yang Berhormat benar-benar berani atau sekadar mainan ilusi.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca