SHAH ALAM - Malaysia masih berdepan dengan kekangan untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik dan berstruktur sebagai usaha mempersiapkan pengguna ke arah sektor perbankan digital yang bakal dilaksanakan nanti. Pengarah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia masih berdepan dengan kekangan untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik dan berstruktur sebagai usaha mempersiapkan pengguna ke arah sektor perbankan digital yang bakal dilaksanakan nanti.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Jaapar berkata, infrastruktur telekomunikasi negara yang sedia ada kebanyakannya berfungsi dengan baik di lokasi strategik sahaja.

"Sebab itu, kerajaan tubuhkan juga Digital Nasional Berhad (DNB) kerana mereka nampak selama 20 tahun lalu, syarikat-syarikat telekomunikasi gagal menyediakan infrastruktur tersebut ke seluruh negara. Yang ada hanya tertumpu di bandar dan kawasan strategik.

"Ada di satu bandar, berebutlah semua lima, enam telco kongsi dalam satu menara untuk dapatkan klien yang sama, harga pula mahal. Jadi penembusan ke kawasan luar bandar tidak dapat.

"Adakah nak paksa penduduk bandar pergi berniaga di kampung untuk pastikan di sana ada infrastruktur yang mencukupi? Boleh berniaga, ada sistem pos, boleh buat pemasaran melalui internet di kampung. Boleh atau tidak?

"Kita keluarkan produk dahulu baru nak bina infrastruktur. Saya rasa tidak kena,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-334 yang bertajuk ‘Perbankan digital: Sudah bersediakah kita?’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.

Dari kiri Ismail, Nik Mod Amin dan Rizal semasa program Wacana Sinar edisi ke-334 yang bertajuk ‘Perbankan digital: Sudah bersediakah kita?’ yang berlangsung di Studio F Kumpulan Karangkraf.

Turut menjadi panelis, pakar perbankan, Datuk Nik Mod Amin Nik Abd Majid dan Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr Barjoyai Bardai manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan pemain ekonomi gig adalah antara golongan yang memerlukan pelaksanaan bank digital berkenaan.

"Tetapi adakah mereka mempunyai infrastruktur yang mencukupi untuk menyokong keperluan mereka? Jika tidak, nanti siapa yang akan isi? Itu yang kita risau.

"Nanti akan diisi juga oleh individu atau kapitalis sama yang selama ini dah nikmati pinjaman daripada bank konvensional, akhirnya dia pun nanti akan gunakan pelbagai cara yang kreatif untuk dapatkan juga pinjaman kecil-kecilan menggunakan lesen digital perbankan atau lesen digital perbankan Islam yang akan ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Ujarnya, setiap bank dalam sektor perbankan konvensional yang ada di Malaysia hari ini menawarkan produk tertentu.

"Ada bank yang hanya untuk eksport, pertanian, peruncitan dan harta benda di samping instrumen kewangan yang lain.

"Pada saya, boleh juga BNM berikan kepelbagaian dalam menyediakan lesen perbankan digital. Tidak semestinya nak kena beri kepada kategori seperti yang tidak diberi perkhidmatan dan kurang diberi perkhidmatan.

"Misalnya, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional semuanya sudah berpuluh tahun memberikan bantuan kepada usahawan. Kenapa tidak tambah baik supaya mereka boleh terus berikan bantuan kepada usahawan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca