SHAH ALAM - Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr Barjoyai Bardai berpendapat penggunaan mata wang kripto dalam sistem perbankan digital adalah lebih selamat.
Beliau berkata, ini kerana mekanisme itu sendiri mempunyai lapisan keselamatan yang tinggi, sekali gus menjadikan urus niaga lebih terjamin.
"Sebab itu penggunaan mata wang kripto dilihat lebih selamat kerana konsep kripto itu sendiri menjadikan ia satu kaedah kawalan yang sangat ketat.
"Ini yang kita nak tekankan kepada pengguna bahawa sebenarnya memasuki sistem perbankan digital menggunakan teknologi kripto ini lebih selamat berbanding perbankan konvensional hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-334 yang bertajuk ‘Perbankan digital: Sudah bersediakah kita?’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis, pakar perbankan, Datuk Nik Mod Amin Nik Abd Majid dan Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Jaapar manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Bagaimanapun, Barjoyai berkata, ketika ini masih belum ada keperluan untuk Malaysia menggunakan mata wang kripto dalam sistem perbankan secara serta-merta.
"Ini boleh dilakukan dalam fasa (perbankan digital) berikutnya, mungkin dalam lima atau enam tahun lagi. Yang pentingnya, kita perlu mendigitalkan urus niaga.
"Maksudnya kita masih menggunakan mata wang ringgit Malaysia tetapi kita akan menggunakannya secara digital, ini yang perlu ditekankan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca