KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak bimbang dengan dakwaan pengaruh platform media sosial bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.
Sebaliknya, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjelaskan tidak nampak tanda-tanda pengaruh media sosial Najib memberi kesan kepada sokongan pengundi atas pagar, terutamanya berdasarkan keputusan kemenangan besar UMNO-BN pada PRN Johor.
Malahan, analisis data kajian 40,000 pengundi Johor yang dibuat pihaknya sebelum PRN Johor menunjukkan sebilangan besar pengundi atas pagar sebenarnya beralih kepada Perikatan Nasional (PN) atau tidak mengundi disebabkan protes terhadap PH.
"Kalau kita teliti kandungan media sosialnya, beliau hanya bercakap dengan penyokong tegar BN dan UMNO yang tidak menerima hakikat bahawa sudah ada bukti 1MDB satu skandal besar. Najib sendiri sudah dijatuhkan hukuman berat.
"Sebab itu walaupun Najib didakwa berpengaruh di media sosial, tetapi jumlah pengundi UMNO pada PRN Melaka dan Johor tidak meningkat.
"Maka, permainan media sosial Najib bukan sebenarnya dengan rakyat atau pengundi biasa sangat. Tetapi ia sebenarnya melibatkan dinamik sokongan dalam UMNO kerana beliau memegang anggota parti itu yang betul-betul taksub.
"Itu yang beliau perlukan untuk menjaga imbangan dan kedudukan beliau dalam UMNO, setelah beliau dijatuhkan hukuman mahkamah dan tidak lagi berjawatan tinggi," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di pejabat Invoke Malaysia, Sungai Besi.
Mengulas lanjut, Rafizi turut menyifatkan mutu penyelesaian atau cadangan masalah rakyat dikemukakan Najib melalui platform media sosialnya, tidak jauh beza daripada cadangan kedai kopi.
Tambahnya, bekas Presiden UMNO itu langsung tidak mengemukakan cadangan melalui satu kajian mendalam terhadap sesuatu isu, sebaliknya lebih suka menyindir pihak lawan.
"Cuma dalam keadaan dua atau tiga tahun lepas, tidak banyak pimpinan pembangkang yang menyuarakan perkara-perkara itu. Justeru, dalam keadaan lompong sedemikian, maka Najib mendapat manfaat. Tidak ada bangkangan dan pembentangan fakta berbeza terhadap beliau.
"Ke arah tahun 2018, dalam tempoh dua, tiga tahun sebelum itu, untuk membentangkan setiap perkara penting, kita menyediakan fakta, perincian yang baik dan mutunya jauh lebih baik daripada Najib bentang. Jadi perkara itu perlu dimulakan semula. Justeru, saya tidak bimbang langsung dengan ancaman media sosial Najib.
"Insya-ALLAH dalam minggu akan datang, saya akan bentangkan jawapan-jawapan terhadap setiap solusi rakyat dikemukakan Najib yang sebenarnya 'indah khabar dari rupa'," ujarnya.
Pada masa sama, Rafizi yang bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR Mei hadapan, menggesa pemimpin PH supaya kembali memfokuskan penyaluran maklumat politik lebih baik dan berfakta bagi menaikkan semula moral penyokong PH yang semakin merudum di platform media sosial.
Tambahnya, sejak beberapa tahun selepas kejatuhan kerajaan PH, usaha penyaluran kandungan maklumat terperinci dan berfakta jarang ada, sebaliknya kini lebih berbaur politik dan menjurus 'aku lebih baik daripada kau'.
"Sebenarnya pengundi tidak suka perkara sebegitu. Usaha meyakinkan rakyat bukan berkisar soal memberi persepsi politik, tetapi lebih kepada soal menyampaikan maklumat sepatutnya kepada golongan pengundi.
"Kalau itu tidak dibuat, maka apa yang dimainkan Najib akan dikira sebagai satu perkara diterima rakyat. Itu perkara perlu dibuat sekarang.
"Saya pernah berada di kedudukan Najib sebelum ini dan ketika itu Najib selaku Perdana Menteri tidak berupaya untuk menjawab setiap pendedahan isu yang saya kemukakan.
"Masalahnya pembentangan maklumat kepada rakyat tidak dibuat PH dengan baik dalam tempoh dua, tiga tahun lepas. Kelompongan itu perlu diisi semula sekarang," katanya lagi.
Rafizi turut berkeyakinan rakyat akan segera kembali menyokong PH sekiranya pemimpin koalisi itu mampu mengembalikan kaedah penerangan politik yang lebih baik dan berfakta.
"Jika perkara itu berlaku, maka moral penyokong PH di media sosial akan kembali membara dan akhirnya kita boleh tengok Najib yang akan berundur," tegasnya lagi.
* Baca wawancara penuh Rafizi di Sinar Ahad dan portal Sinar Premium esok.
Klik di sini untuk terus membaca