[MUKADIMAH] Susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun 2022 melalui peristiwa Langkah Sheraton, keutuhan koalisi Pakatan Harapan (PH) dan pengaruhnya terhadap rakyat Malaysia semakin terhakis hari demi hari. Selepas... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun 2022 melalui peristiwa Langkah Sheraton, keutuhan koalisi Pakatan Harapan (PH) dan pengaruhnya terhadap rakyat Malaysia semakin terhakis hari demi hari.

Selepas dikhianati bekas rakan komponen, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sebilangan bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) membuktikan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap PH dan PKR.

Lebih malang, keputusan PRN Johor baru-baru ini mengesahkan bahawa PKR dan PH telah menjadi parti ketiga selepas UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pada saat kepimpinan PKR dan PH sedang mempertimbangkan formula mujarab memenangi semula hati rakyat termasuk cadangan khemah besar pembangkang, bekas 'panglima perang' PKR, Rafizi Ramli bertekad keluar daripada persaraan politik dan melakukan kemunculan semula pada saat-saat getir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagi menyelami luahan dan isi hati Rafizi terhadap masa hadapan PKR dan PH, ikuti wawancara khas wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI bersama bekas Naib Presiden PKR itu yang dikendalikan di pejabat Invoke Malaysia, Sungai Besi pada Selasa.

Rafizi (kiri) menjawab setiap persoalan dikemukakan wartawan Sinar Premium dengan tenang di pejabatnya di Sungai Besi pada Selasa.

SINAR PREMIUM: Keputusan YB comeback dalam kancah politik tanah air mendapat sambutan menggalakkan banyak pihak, terutama mereka yang menyokong PH. Bagaimana YB melihat penerimaan rakyat dan ahli politik?

RAFIZI: Saya ingat ia berbeza mengikut kumpulan berkepentingan masing-masing. Anggota parti terutamanya rakyat biasa amat menerima baik. Contohnya bila kempen 'Ayuh Malaysia' dilancarkan pada Sabtu lalu, jumlah crowdfunding dikumpulkan mencecah RM200,000 dan bilangan sukarelawan berjaya didaftarkan seramai 7,000 hingga 8,000 orang dalam masa 24 jam.

Itu dalam keadaan belum dipromosi sepenuhnya. Malah dalam keadaan saya mula kempen tahun 2016, sambutan orang ramai memang begitu baik. Namun senario sekarang jauh lebih baik dan harap semakin baik dalam dua, tiga minggu akan datang.

Kalau tengok UMNO, saya tidak pasti orang lain, tetapi (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak sudah banyak menaikkan hantaran Facebook menyerang saya. Beliau nampak menyedari platform media sosial PKR dan PH akan lebih berupaya menyampaikan maklumat yang boleh membidasnya.

Ini kerana selama ini beliau begitu bermaharajalela di media sosial tanpa sebarang ancaman utuh daripada pemimpin pembangkang lain.

Dalam PKR pula reaksi bercampur-baur, ada yang suka, ada yang tidak. Namun, secara keseluruhannya, mesej diberikan rakan-rakan parti dan dalam PH amat baik.

Berapa sasaran kutipan crowdfunding dan pendaftaran sukarelawan sempena kempen 'Ayuh Malaysia' sehingga Pilihan Raya umum Ke-15 (PRU15)?

Tengok tarikh hingga ke pilihan raya, kalau PRU15, mungkin masa yang tinggal lebih kurang tiga hingga empat bulan sahaja lagi.

Crowdfunding kalau berjaya capai dana RM1 juta, saya fikir sudah memadai untuk gerakkan kempen digital, isi kandungan dan jentera di bawah. Dalam PRU14, Invoke hanya belanja RM8 juta hasil kutipan crowdfunding untuk berkempen di 44 kerusi Parlimen.

Jadi, RM1 juta itu mencukupi dan saya agak positif boleh capai sasaran. Dari segi pendaftaran sukarelawan pula, daripada tahun 2016 hingga 2018, kita berjaya menerima penyertaan 44,000 dalam masa dua tahun. Jadi kalau 8,000 berjaya didaftar dalam tempoh 24 jam, insya-ALLAH untuk mencapai angka 44,000 hingga 50,000 sukarelawan dalam tiga, empat bulan boleh dicapai.

Angka pendaftaran sukarelawan dan kutipan crowdfunding kempen 'Ayuh Malaysia' mencatat sambutan luar biasa dalam tempoh sehari. Apa isyaratnya, YB?

Isyaratnya saya ingat sebelum ini orang bosan politik, terutama dalam kalangan penyokong PH. Mereka sekarang mungkin merasakan ada ruang yang cukup untuk mereka menyumbang.

Ini kerana sejak 2018 hingga 2020, walaupun PH ada kelompangan besar, tetapi sebahagian besar daripada gerak kerja dan kempen politik itu tertakluk kepada anggota-anggota parti. Itu pun bukan semua anggota, itu hanya sebahagian sahaja yang datang.

Jadi selepas beberapa siri kekalahan (PRN), saya ingat memang penyokong atau pengundi biasa yang mahukan isu politik dikembalikan kepada soal rakyat, memang ada keinginan tinggi untuk menyumbang.

Bagi saya, ia bukan soal tahap sokongan ataupun kita hendak tahu pola pengundian rakyat, sambutan itu menunjukkan bahawa kandungan mesej yang kami sampaikan kepada rakyat, ada sedikit penerimaan baik. Tarikan itu ada.

Besar kemungkinan sebelum ini mereka tidak dihidangkan dengan perkara-perkara yang ada kaitan dengan hidup mereka. Keseluruhannya, mereka lihat diskusi politik sejak dua hingga tiga tahun lepas adalah siapa hendak ambil alih kerajaan. Pemain politik tidak membincangkan soal pekerjaan, isu pendapatan mereka.

Sebab itu saya ingat sambutan baik selepas beberapa hari kempen 'Ayuh Malaysia' dilancarkan.

Adakah YB bersetuju kelompok penyokong PH yang 'merajuk' ini sedang menunggu pemimpin penyelamat yang bersesuaian untuk mereka kembali memainkan peranan masing-masing?

Hendak kata mereka ini anggap beberapa personaliti atau kempen dibuat sebagai pembangkit semangat, saya rasa tidak.

Dari segi rekod pencapaian saya dalam menggerakkan pengundi biasa dan aktivis luar parti untuk membantu pada PRU14, mereka ini agak kritikal. Jadi kalau ada anggapan kalau mereka menyokong bermaksud mereka taksub atau menghormati kita, itu tidak betul. Hari ini mereka sokong, esok mereka boleh maki kita.

Ini bukan soal mereka percaya pada personaliti saya atau (Ahli Parlimen Permatang Pauh) Nurul Izzah Anwar. Saya fikir ia soal kelompangan (naratif politik), sebab perkara itu lama berlaku setelah mereka merasakan politik itu tidak berkisah kepada keperluan hidup mereka.

Sebagai contoh, banyak orang jual nasi lemak tetapi tidak sedap. Tetapi bila muncul nasi lemak yang kena dengan selera kita, kita akan selalu datang beli. Bukan sebab penjualnya, tetapi produknya itu yang bagus.

Justeru, produk diketengahkan kami sebenarnya yang mendapat tempat. Kalau kempen kami nanti mula lari dari agenda asal, contohnya bertukar kepada agenda hendak menang pilihan raya semata-mata, maka saya akan kena maki. Kalau boleh, mereka hendak diskusi politik membantu mereka.

Sejak YB umumkan kepulangan semula dalam dunia politik tanah air, YB dilihat sangat agresif dalam menggerakkan kempen khas dan melakukan 'media blitz'. Ada juga berpandangan YB kembali dengan persediaan sangat rapi, walaupun dilihat seolah-olah sudah terlambat. Adakah YB bersetuju pandangan itu?

Saya setuju bab masa. Saya rasa masa itu singkat. Sebab itu saya tidak boleh hendak melengah-lengahkan masa, sebab kita kena cepat mendepani PRU15 yang sangat dekat.

Salah satu sebab mungkin ahli politik agak menyampah dengan saya adalah saya berpegang prinsip kalau hendak buat sesuatu, baik buat betul-betul.

Kalau betul hendak berpolitik, pastikan buat sesuatu sehingga meninggalkan kesan kepada rakyat. Kalau setakat sekali-sekala muncul, lepas itu adakan program tetapi tidak membantu sebab diadakan dalam kalangan kelompok kita. Jadi sebenarnya membuang masa.

Jadi, apabila saya buat keputusan, paling kurang sasaran saya adalah boleh menghidupkan balik pengundi atas pagar atau penyokong PH yang sebelum ini memutuskan enggan keluar mengundi.

Sebab mereka sudah bosan dan sebagainya. Untuk tujuan itu, saya hanya ada dua hingga tiga bulan sahaja kalau betul PRU15 diadakan segera.

Dalam keadaan sekarang, yang terbaik adalah untuk kita harap tarikh PRU15 pada hujung bulan Jun.

Jadi program harus diatur lebih efisien supaya kita dapat bergerak lebih cepat. Kalau hendak kata sudah bersedia itu tidak, kerana keputusan 'comeback' menyusahkan saya. Sebab saya masih ada syarikat untuk diuruskan dan 150 kakitangan yang perlu dibayar gaji tiap-tiap bulan.

Tetapi kalau contohnya kami tidak masuk dan berusaha betul-betul, ia seakan mencurah air ke daun keladi. Kalau begitu, baik tidak payah langsung. Memang amat memenatkan untuk dua hingga tiga bulan ini. Kalau itu bermakna mampu alihkan semula tiga hingga empat peratus pengundi atas pagar atau menaikkan peratusan keluar mengundi kepada PH dengan kadar sama, saya ingat itu sumbangan yang boleh ada kesan kepada kedudukan PH dan PKR.

Hakikatnya, ia bukan soal PH atau PKR menang. Saya sebenarnya agak realistik, saya rasa agak sukar untuk menang PRU15. Tetapi kita kena pastikan supaya imbangan blok-blok politik tidak terlalu berat sebelah.

Contohnya tidak boleh kalau UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar. Ini penting bagi mengelakkan kerajaan terus terpalit dengan skandal-skandal besar.

Kita kena pastikan kalau UMNO-BN mungkin akan menang PRU15, ada blok pembangkang yang boleh buat kerja dengan baik dan tidak memastikan tidak ada skandal-skandal besar bakal diciptakan UMNO-BN.

Saya ingat dua, tiga bulan itu, walaupun masanya pendek, tetapi kalau kita ada strategi betul, mungkin kita boleh capai anjakan tiga hingga empat peratus itu.

Rafizi

Adakah YB lebih melihat sasaran realistik yang mampu dicapai pembangkang ketika ini adalah dengan mengurangkan kemungkinan impak kekalahan pada PRU15 nanti supaya jurang di antara pembangkang dan kerajaan akan lebih rapat?

Sebenarnya, kalau kita ibarat main bola sepak. Kita sedar kita berdepan pasukan yang sudah menang empat perlawanan berturut-turut selain menjaringkan gol banyak dalam setiap perlawanan dimenangi itu. Kita pun kena tahu pasukan dalam keadaan moral rendah, ada pemain kena sakit kaki, jadi lebih realistik untuk kita bawa persiapan pasukan ke satu tahap yang tidak terlalu luar biasa.

Bila sasaran realistik sebegitu dibuat, rakyat pun boleh menerimanya setelah berfikir secara logik. Kalau mereka rasa pembangkang mustahil menang, tetapi kita terlalu yakin boleh menang, kekalahan empat PRN tidak menunjukkan sebarang isyarat yang kita boleh menang, itu mungkin akan menyebabkan orang rasa kita bermimpi di siang hari.

Lebih realistik untuk kita banci balik pasukan kita, perkuatkan dan pulihkan semangat mereka. Cara paling baik mencapai perkara itu adalah dengan bersikap realistik untuk kita bersedia berusaha menjadi pembangkang yang baik dan bermaruah.

Itu sebenarnya mungkin lebih diperlukan sekarang dalam keadaan yang seolah-olah BN terlalu yakin untuk menang. Kita kena pastikan BN tidak boleh menang besar.

Bagaimana pula dengan sebilangan pemimpin PH yang masih menganggap koalisi itu berpeluang menang PRU15? Mereka boleh menerima pandangan realistik YB?

Saya rasa majoriti pemimpin kurang bersetuju dengan saya dan kalau ada yang bersetuju pun, mereka mungkin mengambil pandangan sikap berterus-terang seperti ini tidak membantu kempen parti.

Tetapi kita kena ingat pengalaman UMNO-BN pada tahun 2018. Masalah besar mereka pada ketika itu adalah in denial. Rakyat tidak suka ahli politik berpura-pura dan tidak dapat menerima keadaan semasa. Lebih kita bersikap realistik, berterus-terang akan lebih meyakinkan lebih ramai pengundi bahawa kita bukan semata-mata syok sendiri untuk menang kerajaan.

Lebih realistik fungsi pembangkang atau parti politik adalah untuk menjaga amanah rakyat. Kalau amanah diterima adalah sebagai kerajaan, maka parti menjadi kerajaan kena buat yang terbaik. Tetapi kalau rakyat buat masa ini melihat kita lebih sesuai menjadi pembangkang, kita kena bersedia menjadi pembangkang berkesan.

Saya faham pandangan saya kemungkinan sangat minoriti dan tidak popular dalam kalangan penyokong parti dan PH. Tetapi bagi saya, gerak kerja politik ke arah PRU15 bukan libat anggota parti semata-mata. Yang kita perlu yakinlah adalah pengundi biasa kerana mandat mereka yang kita perlukan. Lebih baik kita jujur dan berterus-terang kepada mereka berbanding menawarkan tawaran yang dianggap tidak masuk akal bagi kelompok itu.

Atas sikap itu, saya rasa mungkin pandangan saya tidak popular, tetapi lebih baik ada dalam kalangan PH dan PKR yang berani bercakap sebegini kepada rakyat.

Dengan jumlah 12 juta pengundi atas pagar menjadi pertaruhan PRU15, apa bentuk manifesto pilihan raya terbaik yang PH dan PKR perlu tawarkan kepada rakyat agar tidak mengulangi kesan 'manifesto bukan kitab suci' selepas PRU14?

Saya tidak rasa masalah PH sekarang disebabkan kesan manifesto terdahulu. Jadi ia bukan soal manifesto itu dirasakan rakyat tidak realistik. Mereka sebenarnya menerima dan tahu manifesto dikemukakan PH sebelum ini adalah realistik. Yang menjadi masalah kepada PH, bila menjadi kerajaan, rakyat merasakan PH tidak bersungguh-sungguh mahu melaksanakan manifesto itu.

Sebenarnya PH menang PRU14 kerana rakyat sukakan manifesto pilihan raya ditawarkan. Jadi maksudnya rakyat tahu sebolehnya mestilah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu dikawal, usaha penghapusan tol lebuh raya perlu dihapuskan secara berperingkat-peringkat. Yang jadi isu selepas dua atau tiga tahun, kepimpinan kerajaan PH mungkin tidak berusaha sedaya upaya kerana terlalu terheret dengan soal politik dalaman.

Soal siapa hendak menjadi Perdana Menteri, isu wakil rakyat lompat. Berbalik perkara itu, sebab itu saya yakin kali ia tidak berkisar sangat soal manifesto pilihan raya. Ini kerana kelesuan politik yang berlaku sekarang adalah kerana rakyat keseluruhannya tidak percaya kepada mana-mana parti. BN tawarkan manifesto mereka, rakyat pun tidak percaya sangat...begitu juga Perikatan Nasional (PN) dan PH.

Kalau lihat di Johor, PRN negeri itu dimenangi UMNO-BN bukan disebabkan tawaran manifesto sebagai faktor utama. Soalnya lebih kepada penolakan pengundi atas pagar atau kelesuan pengundi atas pagar ke atas PH.

Kerana pengundi-pengundi yang sebelum itu menyokong PH, pada PRN sebelum ini mereka tidak keluar atau mengundi PN. Jadi isu lebih utama untuk memenangi hati pengundi atas pagar bukan sangat soal tawaran manifesto, tetapi lebih kepada soal keyakinan, keikhlasan dan keperluan untuk mereka kembali percaya proses dan tokoh-tokoh politik.

Sebab itu kami hanya menumpukan kepada lima perkara. Sebab lima perkara ini iaitu soal pekerjaan dan pendapatan mereka, sekuriti makanan, TVET, perumahan dan pertanian ditekankan kami dan akhirnya mendapat sambutan rakyat. Ini kerana orang muda faham semua ini. Perkara paling penting adalah bagaimana kita hendak meyakinkan rakyat bahawa anggota politik ini benar-benar ikhlas untuk bekerja demi mereka, bukan manifesto.

Parti yang menjayakan perkara paling penting itu akan memenangi undi atas pagar.

Apabila aplikasi CISTA dilancarkan, ia jelas menunjukkan YB sangat menekankan keperluan untuk memenangi perang persepsi politik di media sosial sebagaimana dicapai PH sebelum PRU14. Namun dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini mendominasi segmen itu dan sukar dicabar pemimpin pembangkang lain, adakah YB yakin mampu menamatkan dominasi beliau?

Sebenarnya kalau tengok kepada mutu penyelesaian atau cadangan masalah rakyat dikemukakan Najib melalui platform media sosialnya, ia tidak jauh daripada cadangan kedai kopi pun. Beliau tidak mengemukakan cadangan melalui satu kajian mendalam, sebaliknya lebih suka menyindir pihak lawan.

Cuma dalam keadaan dua atau tiga tahun lepas, tidak banyak pimpinan pembangkang yang menyuarakan perkara-perkara itu. Justeru, dalam keadaan lompong sedemikian, maka Najib mendapat manfaat. Tidak ada bangkangan dan pembentangan fakta berbeza terhadap beliau.

Ke arah 2018, dalam tempoh dua, tiga tahun sebelum itu, untuk membentangkan setiap perkara penting, kita menyediakan fakta, perincian yang baik dan mutunya jauh lebih baik daripada Najib bentang. Jadi perkara itu perlu dimulakan semula. Justeru, saya tidak bimbang langsung dengan ancaman media sosial Najib.

Insya-ALLAH dalam minggu akan datang, saya akan bentangkan jawapan-jawapan terhadap setiap solusi rakyat dikemukakan Najib yang sebenarnya 'indah khabar dari rupa'. Oleh kerana sebelum ini satu produk itu tidak ada saingan lain, maka produk itu terpaksa dibeli orang ramai walaupun kualiti teruk.

Cuma yang menjadi masalah apabila di pihak PKR atau PH, kandungan maklumat yang terperinci dan berfakta jarang ada. Kalau ada pun, isi kandungannya hanya berbaur politik dan menjurus 'aku lebih baik daripada kau'. Sebenarnya pengundi tidak suka perkara sebegitu.

Justeru, usaha meyakinkan rakyat bukan berkisar soal memberi persepsi politik, tetapi lebih kepada soal menyampaikan maklumat sepatutnya kepada golongan pengundi. Kalau itu tidak dibuat, maka apa yang dimainkan Najib akan dikira sebagai satu perkara diterima rakyat. Itu perkara perlu dibuat sekarang.

Saya pernah berada di kedudukan Najib sebelum ini dan ketika itu Najib selaku Perdana Menteri tidak berupaya untuk menjawab setiap pendedahan isu yang saya kemukakan. Masalahnya pembentangan maklumat kepada rakyat tidak dibuat PH dengan baik dalam tempoh dua, tiga tahun lepas. Kelompangan itu perlu diisi semula sekarang.

Kalau penerangan kita lebih baik dan berfakta, kita tidak perlu mengambil masa lama sebelum rakyat kembali menyokong PH. Jika perkara itu berlaku, maka moral penyokong PH di media sosial akan kembali membara dan akhirnya kita boleh tengok Najib yang akan berundur.

Rafizi

Adakah YB bersetuju usaha mengendurkan serangan media sosial Najib ke atas PH akan meningkatkan peluang kemenangan koalisi itu?

Sebenarnya kita tidak perlu layan pun platform media sosial Najib. Ini kerana serangan Najib terhadap PH hanya menyasarkan kehendak pengikut beliau semata-mata. Kalau kita teliti kandungan media sosialnya, beliau hanya bercakap dengan penyokong tegar BN dan UMNO yang tidak menerima hakikat bahawa sudah ada bukti 1MDB satu skandal besar. Najib sendiri sudah dijatuhkan hukuman berat.

Justeru, mereka yang mengikuti media sosial Najib ini cakap bagaimana pun, mereka hanya taksub kepada beliau. Jadi Najib hanya memegang pengundi atau menyokong UMNO. Sebab itu walaupun Najib didakwa berpengaruh di media sosial, tetapi jumlah pengundi UMNO pada PRN Melaka dan Johor tidak meningkat.

Maka, permainan media sosial Najib bukan sebenarnya dengan rakyat atau pengundi biasa sangat. Tetapi ia sebenarnya melibatkan dinamik sokongan dalam UMNO kerana beliau memegang anggota parti itu yang betul-betul taksub. Itu yang beliau perlukan untuk menjaga imbangan dan kedudukan beliau dalam UMNO, setelah beliau dijatuhkan hukuman mahkamah dan tidak lagi berjawatan tinggi.

Sebab itu saya tidak bimbang sangat kerana tidak nampak tanda-tanda pengaruh media sosial Najib memberi kesan kepada sokongan pengundi atas pagar. Cuma masalahnya, kalau PH tidak ada pembentangan tidak berfakta, pengundi atas pagar akan berasa lesu dan membawa senario politik seperti sekarang.

Tanpa solusi pembentukan khemah besar pembangkang, apa solusi terbaik bagi menjadikan PH sebagai sebuah pembangkang bermaruah yang mampu mencabar penguasaan UMNO-BN pada PRU15?

Fenomena berlaku sejak dua tahun lepas adalah bukan berlaku pertambahan undi dalam UMNO-BN, sebaliknya undi pengundi PH pada PRU14 beralih kepada PN. Itu perkara paling penting untuk diterima. Maksudnya selain daripada negeri-negeri tradisi mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah, kekuatan PN di semua tempat lain datang daripada penyokong PH yang balik terutamanya pengundi atas pagar.

Ada sebabnya mereka beralih kepada PH, mungkin sebab mereka kecewa dengan kepimpinan PH, ada sebahagiannya mungkin mereka kurang selesa dengan DAP jika pengundi atas pagar itu orang Melayu. Jadi ada sebab-sebab tertentu.

Kalau kita ambil kaedah khemah besar semata-mata dengan anggapan jumlah undi PN dengan PH, maka lebih besar daripada BN. Kita kena ingat bahawa undi PN dahulu adalah undi penyokong PH yang lari. Maka tentu ada sebab mengapa mereka lari. Kalau kita gabungkan, mungkin mereka akan lari terus daripada PH plus PN, dan menyokong UMNO-BN.

Itu sebab bagi saya, PH perlu berhati-hati dalam membicarakan soal menggabungkan jumlah pengundi. Ini kerana motivasi pengundi untuk mengundi sesuatu parti bukan dipengaruhi aspek lambang pilihan raya, logo parti dan sebagainya. Namun ia lebih kepada soal hati, keikhlasan, kejujuran politik.

Kalau kita betul-betul faham faktor pengundi atas pagar beralih kepada PN, maka kita perlu kembali kepada asbab mengapa mereka menyokong PH sebelum ini. Mereka menyokong PH kerana mahu melihat perubahan, pembentangan idea yang tuntas, mahu peningkatan kualiti hidup lebih berkisar keperluan mereka berbanding UMNO-BN hanya memikirkan soal pegang jawatan dan kuasa.

Jadi kalau kita berjaya bentangkan kempen atau maklumat meyakinkan mereka bahawa kita boleh bawa semula politik berkisar kepentingan rakyat, maka kita boleh dapat semula sebahagian besar pengundi yang telah beralih.

Berdasarkan analisis PRN Johor baru-baru ini, UMNO-BN dapat 43 peratus undi, PH campur PKR dan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) mendapat 29 peratus dan PN menerima 28 peratus. Katakanlah kita boleh dapat balik separuh atau 14 peratus daripada pengundi PN, itu sudah cukup untuk melonjakkan PH mengatasi BN.

Itu jauh lebih mudah dibuat berbanding meyakinkan pengundi PN pada saat ada sebahagian mereka bermasalah dengan DAP atau mereka pengundi Pas. Selain itu mungkin ada pengundi bukan Melayu tidak boleh terima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pengundi Pas tidak boleh terima DAP manakala pengundi PKR tidak boleh terima kem Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

Ia sangat rumit bila kita gabungkan, ia mungkin akan jadi kutub magnet sama yang akhirnya bersifat menolak berbanding menarik. Sebab itu saya ingat lebih praktikal dan pragmatik untuk kembali kepada resipi asal PH berjaya mendapat pengundi. Bukan melalui kaedah penggabungan PH-PN tanpa memahami motivasi mengapa mereka beralih arah.

Apa faktor utama pengundi atas pagar 'swing' kepada PN?

Jika melihat PRN Johor, kita melihat lebih khusus mengikut pusat daerah mengundi (PDM). Jadi, kita boleh nampak PDM yang dahulunya dimenangi oleh PKR dan PH, kini beralih kepada PN. Kita juga mengetahui mereka tiada keahlian di situ... Pas tiada, Bersatu pun tidak. Memang itu adalah kawasan dimenangi UMNO atau PKR, sebab dari dahulu pertembungan kebiasaannya melibatkan dua parti ini.

Jadi daripada hasil dapatan, ia sebenarnya adalah undi protes daripada bekas pengundi PH yang beralih kepada PN. Tetapi sebenarnya tidak beralih kepada UMNO, kerana undi UMNO kekal sebegitu. Jadi ia juga merupakan satu isyarat yang dihantar pengundi-pengundi atas pagar kepada PH. PH kena terima.

Ketiga-tiga gabungan iaitu BN, PN dan PH sebenarnya berada dalam keadaan tersepit. Ini sebab UMNO-BN tidak dapat sokongan Melayu, PH tidak cukup sokongan untuk menang dan PN pula tidak menjana sokongan baru daripada kekuatan mereka... sekadar mengambil undi protes bekas pengundi PH.

Sebab itu kita berada dalam keadaan di Johor, di mana jika mengambil kira undi popular, UMNO-BN tidak menang pun. Tetapi cukup membentuk kerajaan majoriti dua pertiga. Jika situasi sama berlaku pada PRU15, kita akan ada kerajaan UMNO-BN yang menang besar, tetapi sebenarnya ditolak oleh 60 peratus rakyat.

Ia bukan sesuatu yang baik untuk negara, bila parti menjadi kerajaan merasakan mereka kuat, tetapi sebahagian besar rakyat tidak menyokong mereka. Jadi tanggungjawab itu perlu diambil PH dan PKR.

Adakah YB menolak peluang parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan) untuk mencabar tiga gabungan lain pada PRU15?

Bagi saya, Pejuang, Warisan atau Parti Bangsa Malaysia (PBM) dijangka tidak memberi kesan pada PRU15. Kalau ada sekalipun, mungkin Muda tetapi hanya di kawasan tertentu. Tetapi hakikatnya Muda menarik sokongan daripada PH. Orang yang dahulu menyokong PH, tetapi mereka rasa PH tidak cukup agresif, jadi memilih Muda yang lebih agresif.

Namun, Muda juga gagal menambah bilangan pengundi baharu pada saat mereka mendakwa kewujudan parti berteraskan anak muda akan menarik minat segmen itu untuk keluar mengundi. Pandangan itu tidak tepat dan dibuktikan oleh PRN Johor. Biarpun banyak parti muncul selepas PRU14, pertembungan utama pada PRU15 masih berkisarkan BN, PN dan PH.

Adakah koalisi PH yang ideal perlu disertai Muda sebagai salah sebuah parti komponen baharu?

Soal Muda, saya ingat parti itu tidak boleh dibandingkan 100 peratus dengan Bersatu. Dahulu saya skeptikal terhadap Bersatu dan lebih mencadangkan PH hanya adakan kerjasama pilihan raya sahaja dengan parti itu. Ini kerana asas penubuhan dan perjuangan Bersatu itu sangat berbeza dengan PH sebab ia parti berteraskan kaum Melayu.

Jadi hala tuju perjuangan mereka 100 peratus berbeza dengan PH. Tetapi kalau Muda agak berbeza dari segi pembawaan, intipati penubuhan. Objektif perjuangan Muda mengangkat ideologi hampir sama dengan PH. Jadi saya nampak ada masalah ideologi atau dasar untuk mereka sertai PH.

Cuma pandangan saya begini, pada saat kita sudah begitu menghampiri PRU15 dan Muda masih terlalu baharu, tidak mempunyai jentera pilihan raya yang kuat. Dalam keadaan asasnya adalah Muda mampu membawa pengundi baharu yang sebelum ini tidak menyokong PH, sebaiknya Muda hanya ada kerjasama pilihan raya sahaja dengan PH.

Kalau Muda masuk PH dan asas mereka menarik sokongan pengundi baru sebab kelompok itu tidak menyukai PH, maka strategi itu tidak tepat. Cuma bila kerjasama pilihan raya hendak dicapai, rundingan kerusi kena realistik.

Muda mungkin mencari beberapa kerusi, tetapi mereka mesti menerima hakikat selepas PRN Johor, mereka perlu menilai kekuatan yang didakwa ada sebelum ini. Ini sebab tiada bukti jelas Muda boleh mewujudkan gelombang pengundi baru seperti diuar-uarkan sebelum ini.

Kalau Muda mengambil pandangan itu, maka Muda tidak ada masalah untuk berunding kerjasama politik dengan PH. Mungkin ada beberapa kerusi milik Bersatu yang Muda dilihat lebih berpotensi untuk diberikan. Tetapi Muda kena pastikan jangan terlalu ghairah mencari kerusi, sedangkan sokongan parti itu akhirnya bergantung kepada penyokong PH.

Adakah YB merasai tekanan untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti nanti?

Tidak juga. Kalau saya boleh imbau kembali saat berkempen dalam tempoh dua tahun sebelum PRU14, saya sudah umum tidak akan bertanding. Malah saya telah pun dijatuhkan hukuman ke penjara ketika itu. Jadi sebenarnya pengundi kita tidak memandang soal kepimpinan, jawatan parti. Mereka hanya mahu tengok kita buat kerja sahaja.

Sebab itu bagi saya ia tidak sangat penting sama ada menang atau tidak jawatan dipertandingkan dalam pemilihan parti nanti. Kalau sumbangan saya untuk menghidupkan kembali semangat pengundi atas pagar, mereka juga ingat saya sewaktu saya tidak ada sebarang jawatan. Dengan separuh kaki di penjara, tidak boleh bertanding dan tempoh perkhidmatan sebagai ahli Parlimen hampir tamat ketika tahun 2016.

Tetapi saya rasa intensiti saya untuk membantu walaupun tidak akan bertanding pilihan raya yang menyebabkan rakyat lebih dekat dengan saya. Bagi mereka, beberapa watak seperti ini yang tidak memegang jawatan penting, tetapi betul-betul mahukan perubahan demi mereka adalah kunci utama sokongan diberikan.

Dari segi itu, saya menang atau sebaliknya tidak akan mengubah kesan kepada kempen 'Ayuh Malaysia' dengan syarat rakyat atau pengundi terima dan faham mesej dasar yang kita hendak laksanakan. Kedua, mereka merasakan bahawa kumpulan pemimpin seperti saya dan Nurul Izzah berusaha membantu rakyat dan bukan sangat demi jawatan.

Kalau kita boleh dapat itu, saya yakin lonjakan sokongan pengundi atas pagar terhadap PKR akan berlaku, tidak kisah apa jua keputusan pemilihan parti yang keluar nanti.

Dengan YB perlu berdepan calon-calon pemimpin yang menguasai organisasi parti ketika ini, ada dalam kalangan mereka mempunyai dana besar, adakah YB tidak bimbang kemungkinan taktik lebih kurang sama dipraktikkan individu tertentu sewaktu pemilihan 2018 kembali diulangi pada pemilihan kali ini?

Saya tidak pernah bimbang hasil keputusan pemilihan parti nanti. Keputusan saya untuk bertanding pemilihan PKR dibuat selepas melihat keputusan PRN Johor. Keputusan itu tidak banyak didorong semata-mata oleh pemilihan atau kedudukan dalam parti.

Bagi saya, selepas empat PRN kita kalah berturut-turut, hasil analisis data diperoleh agak konklusif. Sebelum itu, bagi saya ada penjelasan dan penerangan mengapa rakyat mengundi sebegitu. Oleh kerana ia tidak sangat didorong oleh pemilihan parti, saya sendiri tidak ambil peduli sangat soal itu.

Kena faham beza saya dengan calon-calon pemilihan lain kerana saya bukan ahli politik sepenuh masa. Maksudnya menang atau kalah pemilihan parti, ia tidak akan mengubah hidup saya. Saya masih akan terus hidup begini, ada syarikat yang mahu dikembangkan. Berbeza dengan sebilangan ahli politik lain yang menjadi karier politik untuk cari makan.

Mereka lebih perlu menang dan mungkin sebabnya mereka kini menjadi lebih berwaspada atau terkesan dengan sebarang keputusan dalam pemilihan parti. Bagi saya, kemungkinan pisang berbuah dua kali adalah tidak penting.

Cuma kita sudah belajar daripada pemilihan tahun 2018. Sebab itu saya percaya Jawatankuasa Pemilihan PKR Pusat lebih teliti dalam soal sistem, cara pengundian dan sebagainya.

Adakah YB bimbang proses pemilihan diadakan sebelum PRU15 akan mengundang perpecahan dalaman PKR?

Saya rasa tidak. Sudah tentu bila masuk dalam pemilihan parti, pastinya setiap kem ada penyokong. Akan tetapi tanggungjawab menenangkan penyokong parti adalah bergantung kepada integriti calon-calon bertanding.

Ini sebab penyokong di bawah akan mengikut isyarat diberikan pemimpin yang disokong. Sudah tentu ada yang kurang beradab, menjalankan kempen sangat negatif. Contohnya saya belum buat apa-apa lagi sebelum ini, sudah diserang secara terbuka. Tetapi saya sudah lama dalam PKR.

Kalaupun calon bertanding baik saya atau Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR), tidak melayan perkara-perkara begini, kita hantar isyarat baik kepada penyokong-penyokong di bawah supaya mereka tidak terbawa-bawa dengan emosi.

Justeru, kalau orang lain serang, jangan layan. Sebab itu sampai sekarang saya langsung tidak memberikan sedikit pun reaksi terhadap serangan dibuat terhadap saya. Bagi saya, itu tanggungjawab untuk memastikan dalam pemilihan kali ini, janganlah diapi-apikan sangat dengan emosi.

Sebab semua pihak bertanding datang dengan tujuan sama iaitu memberi kemenangan kepada parti supaya PKR dan PH boleh memikul mandat rakyat. Cuma kaedahnya lain-lain. Contohnya saya tidak bersetuju dengan khemah besar pembangkang. Saya yakin kita kena kembali kepada pengundi.

Saifuddin pula merupakan kem yang menyokong pembentukan khemah besar pembangkang. Beliau merasakan bahawa untuk PH dan PKR menang, mestilah bekerjasama, sebelum ini dengan UMNO, kemudiannya dengan PN. Semua ini adalah contoh tawaran yang perlu dibentang dengan baik kepada ahli-ahli PKR dan pengundi.

Kena bincangkan perkara ini tanpa perlu beremosi, akhirnya kita serahkan kepada pengundi untuk memilih. Kalau anggota parti rasa perlu ke arah pembentukan khemah besar pembangkang, maka saya tidak ada masalah.

Jadi beri tanggungjawab itu kepada Saifuddin dan mereka yang percaya kepada strategi khemah besar pembangkang, jadi kita berdoa supaya strategi itu berkesan. Cuma saya hanya tidak bersetuju kerana saya percaya kita kena kembali kepada resipi kemenangan PRU14.

Siapakah potensi line up kem YB bagi menghadapi pemilihan PKR nanti?

Sebenarnya kita bincang pasal program Ayuh Malaysia lebih awal dan sebelum PRN Johor sudah ada keputusan akan berpihak kepada UMNO-BN dan PKR akan kalah teruk. Jadi selepas kita dapat data mestilah ada satu kempen platform untuk kita gerakkan balik pengundi.

Nama yang saudara sebutkan iaitu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Akmal Nasir (Ahli Parlimen Johor Bahru), Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim), G Manivannan (bekas Ahli Parlimen Kapar) dan Lee Chean Chung (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pahang) adalah mereka yang memang sehaluan dengan saya dari awal lagi dan percaya inilah kaedahnya untuk kita menghidupkan kembali dan menaikkan sokongan kepada PKR dan PH.

Mereka juga mempunyai sebab dan rapat dengan rakyat di peringkat bawahan misalnya Lih Kang dan Chean Chung memang mahir bertani. Kalau tanya adakah saya akan berkempen untuk mereka saya akan katakan 'ya'. Sebab mereka sepandangan dengan saya mengenai strategi untuk memasuki PRU15 iaitu kembali kepada kehendak rakyat bukannya khemah besar. Jadi kami bukan kem khemah besar, adakah kami berkempen sekali? Besar kemungkinan ya.

Bagi saya pemilihan kali ini adalah peluang untuk anggota dan penyokong PKR membuat pilihan strategi mana akan diguna pakai dalam PRU15 nanti. Di satu pihak saya dan Nurul Izzah mendokong soal kembali kepada rakyat, menjuarai semula isu rakyat manakala Saifuddin dan Farhash (Wafa Salvador) melihat perlunya kempen khemah besar atau bercaturan antara parti politik bukan soal kepentingan rakyat.

Jadi keputusan itu perlu dibentangkan kepada perwakilan parti dan pengundi. Kalau contohnya saya menang jawatan Timbalan Presiden PKR sudah tentu saya lebih senang berurusan dengan orang dan pemimpin PKR sepandangan dengan saya untuk menguruskan parti.

Begitu juga jika Saifuddin menang, dia sudah tentu akan lebih mudah bekerja dengan mereka mempunyai pandangan sama dengannya iaitu mestilah bekerjasama dengan UMNO, PN dan sebagainya.

Bagi saya pertembungan idea antara kumpulan Saifuddin dan saya dalam pemilihan adalah sesuatu yang baik. Akhirnya keputusan strategik parti ke arah PRU15 diputuskan oleh rakyat. Bagi saya memang bagus wujud pertembungan idea untuk kita masuk ke PRU15 tetapi bukan soal individu atau kepentingan peribadi dan sebagainya.

Adakah maksudnya pemilihan PKR kali ini akan menentukan hala tuju PKR sama ada membentuk khemah besar bersama parti lain atau kembali kepada matlamat perjuang dan penubuhan parti?

Kita memang ke arah itu sebenarnya. Ini kerana pertembungan saya dan Saifuddin adalah pertembungan pandangan mengenai cara kita membawa parti PKR masuk PRU15. Saya berpandangan PKR perlu berkempen seperti ini.

Cukuplah kita mengatur kerajaan dalam kalangan parti kerana ia tidak disukai oleh rakyat di luar sana.

Saifuddin berpandangan berdasarkan keputusan PRN sebelum ini adalah lebih baik ada kesatuan di mana PKR dan PH dapat bergabung dengan parti lain di bawah khemah besar untuk menewaskan UMNO dalam PRU15 akan datang. Ini bukan soal peribadi tetapi pandangan pendapat mengenai macam mana cara terbaik untuk memenangi hati rakyat.

Pada pandangan YB adakah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkecuali daripada berpihak kepada mana-mana kem pada pemilihan PKR nanti?

Itu terserahlah kepada kebijaksanaan Presiden untuk berbuat demikian dan menghadam pandangan, suara dan pilihan dibuat oleh perwakilan dan ahli PKR pada mesyuarat agung tahunan parti nanti. Kalau kita menjadi Presiden parti, jika ada pertembungan begini di mana kedua-dua pihak mempunyai matlamat membantu parti dalam PRU15.

Sebab itulah saya nampak Presiden PKR begitu berhati-hati dan tidak menunjukkan isyarat bahawa beliau menyokong kem saya mahupun kumpulan Saifuddin. Jadi akhirnya terserah kepada anggota parti di peringkat akar umbi untuk memberi mandat untuk memilih siapapun antara saya dan Saifuddin.

Adakah dua usul iaitu soal keperluan membentuk khemah besar pembangkang atau kembali kepada matlamat perjuangan parti dan rakyat akan dibincangkan, diputuskan secara tuntas dalam mesyuarat agung tahunan PKR nanti?

Saya tidak pasti mengenai perkara itu kerana tiada gerakan ke arah berkenaan. Ini berbeza dengan UMNO di mana ada kalanya mereka menyusun gerakan untuk menjayakan sesuatu usul. Saya juga tidak mengikuti secara dekat mesyuarat agung tahunan cabang (MATC) PKR setiap tahun namun ada sesetengah cabang mengemukakan usul supaya jangan bekerjasama dengan PN dan Pejuang.

Namun pertembungan Saifuddin dan saya kali ini adalah soal strategi untuk kita masuk PRU15 iaitu pembentukan khemah besar dan satu lagi seperti dicadangkan oleh saya dan Nurul Izzah iaitu berkempen dan kembali meneliti masalah dihadapi oleh rakyat.

Kalau anggota parti memilih PKR dan PH perlu menyertai khemah besar bersama parti pembangkang lain untuk menang PRU15, saya akan menerimanya secara terbuka. Saya berharap mereka yang berminat menyertai gagasan khemah besar dapat melakukan yang terbaik untuk memperoleh keputusan terbaik.

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli (tengah) bergambar bersama kru wartawan Sinar Premium selepas sesi wawancara eksklusif di pejabat Invoke Malaysia, Sungai Besi pada Selasa.

Adakah YB melihat naratif keperluan PH membawa satu parti Melayu seperti Bersatu untuk menyertai khemah besar bagi menarik sokongan orang Melayu dan Bumiputera, seperti berlaku pada PRU14 lalu masih relevan?

Saya daripada awal tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa PH perlukan sebuah parti Melayu seperti Bersatu untuk menarik sokongan orang Melayu dan bumiputera dalam PRU. Saya berpandangan isu berkenaan timbul kerana perbezaan generasi. Misalnya orang tua memandang perspektif berbeza.

Saya melihat sebahagian besar pengundi berkemungkinan menyokong PH adalah kerana mereka meletakkan soal ekonomi dan kehidupan harian terutama kos sara hidup paling utama.

Ini bukan soal pengundi yang membuat pertimbangan paling atas adalah Melayu Islam atau tidak. Ini kerana pengundi seumpama itu sudah pasti akan mengundi UMNO atau Pas. Jadi mereka yang ada kemungkinan akan mempertimbangkan nak undi atau tidak PH dan PKR adalah mereka yang sebenarnya mahu melihat apa tawaran boleh kita berikan.

Kalau kami undi PH-PKR apa yang anda boleh lakukan. Sebab itu saya dan Nurul Izzah berpandangan PH-PKR perlu kembali ke kerangka dasar sebelum tahun 2018. Sebab itulah kita di Invoke tidak berhenti melakukan pelbagai kajian untuk pelanggan terutama pandangan rakyat mengenai ekonomi dan keduanya kaum.

Malah, kajian Invoke daripada tahun 2016 hingga sekarang, mendapati secara purata antara 60 hingga 70 peratus pengundi ditemui mengatakan keadaan ekonomi adalah amat penting dan menjadi pertimbangan utama mereka untuk membuat keputusan pada PRU. Ini berbeza dengan individu yang mengatakan bahawa pertimbangan utama adalah soal kaum atau agama.

Pengundi yang meletakkan pertimbangan untuk mengundi berdasarkan kaum Melayu adalah di sekitar sembilan peratus sahaja. Masalahnya ialah walaupun pengundi atas pagar mahu bukan memilih berdasarkan kaum, namun mereka mahu melihat apa dasar yang bakal dilaksanakan oleh PH dan PKR jika kita kembali berkuasa nanti.

Kalau kita tidak berjaya meyakinkan mereka, maka mereka akan undi UMNO atau Pas kerana mereka ialah pengundi Melayu. Itulah yang berlaku di Johor, bukan kerana UMNO kuat, mereka sudah tahu corak pemerintahan UMNO, apa tawaran PH dan PN.

Ia umpama kita nak beli barang, mestilah ada tarikan cukup baik untuk kita memilih sesuatu jenama baharu, kalau tidak mereka akan membeli produk jenama sedia ada. Ini adalah gambaran mengenai situasi sebenar dihadapi pengundi terbesar di negara ini. Mereka yang suka pasal agama sudah pasti mereka akan undi Pas manakala individu membuat keputusan berdasarkan kaum Melayu mereka mesti memilih UMNO.

Sebenarnya pengundi mahu kita mendengar masalah dan luahan hati mereka, jadi saya tidak nampak kita perlu seorang tokoh atau terlalu menumpukan siapa boleh menarik minat pengundi. Kita hanya perlu membentangkan bagaimana PH dan PKR boleh membantu mempermudahkan kehidupan mereka dan pengundi Melayu paling banyak terjejas akibat kenaikan kos sara hidup, gaji dan sebagainya. Kalau kita fokus kepada penyelesaian, saya percaya pengundi lain akan tertarik.

Adakah YB bersetuju faktor kestabilan hubungan sesebuah gabungan parti antara BN dan PH memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan dalam mana-mana PRN atau PRU?

Saya memang mengakui bahawa kestabilan politik adalah suatu nilai tambah dan mendorong pengundi baharu untuk menyokong gabungan parti politik sama ada BN atau pun PH. Bagaimanapun, apabila nampak terlalu berkecamuk maka ia akan menolak pengundi kerana mereka melihat PH ini tiada kerja lain ke asyik berebut kuasa sesama sendiri. Itulah yang berlaku kepada PH sejak kebelakangan ini.

Jadi memang susah kita nak tarik pengundi baharu atau atas pagar. Mereka berasa lesu, bosan dan menyampah dengan pemimpin PH asyik berkecamuk dan bergaduh sesama sendiri.

Kita kena jaga pengundi atas pagar yang mengundi PH dalam PRU14 lalu supaya tidak bosan dan lari. Oleh itu bagi saya soal kestabilan, persamaan dan timbang rasa amat penting untuk memperkukuhkan blok pengundi PH sedia ada.

Adakah PH wajar mewujudkan kabinet bayangan bagi menarik minat pengundi supaya memilih PH pada PRU15 nanti?

Saya rasa keperluan diwujudkan kabinet bayangan kerana kita sudah dekat dengan PRU15 agak tidak realistik kerana belum tentu individu berkenaan akan menang nanti.

Kalau kita letak kabinet bayangan 20 orang tetapi yang menang hanya lima orang apa gunanya. Sebab itulah di luar negara biasanya kabinet bayangan ditubuhkan selepas parti menjadi pembangkang. Tetapi saya bukan meminta kita menjadi pembangkang ya.

Tetapi, saya setuju ada baiknya kita fikir secara serius untuk membentuk kabinet bayangan dalam Parlimen, hanya sekiranya PH dan PKR jadi pembangkang selepas PRU15 . Ini lebih praktikal. Kalau kabinet bayangan PH diumumkan sekarang, ia tidak akan dipandang serius oleh rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca