SEKARANG ini dibincangkan dalam pelbagai medium arus perdana dan media sosial mengenai penggubalan Akta Lompat Parti. Ia dikatakan salah satu syarat perjanjian antara parti kerajaan dan pembangkang bagi meneruskan Parlimen yang ada sekarang... Klik di sini untuk terus membaca

SEKARANG ini dibincangkan dalam pelbagai medium arus perdana dan media sosial mengenai penggubalan Akta Lompat Parti. Ia dikatakan salah satu syarat perjanjian antara parti kerajaan dan pembangkang bagi meneruskan Parlimen yang ada sekarang dan mengelakkan pembubaran. Kerajaan juga sudah mengumumkan mereka sedang mengkaji rang undang-undang ini untuk dibentang di Parlimen selepas didesak pembangkang.

Lama sudah dilaungkan wakil rakyat sama ada ahli Dewan Rakyat ataupun ahli Dewan Undangan Negeri yang bertukar parti hendaklah melepaskan jawatan mereka. Hal ini disebabkan semasa bertanding, mereka mewakili parti masing-masing dan pengundi mengambil kira parti yang diwakili semasa pengundian.

Saya bersetuju wakil rakyat yang dipilih perlu meletakkan jawatan mereka dan memberi ruang kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat baharu. Ini dilihat sebagai adil kerana rakyatlah atau pengundi secara khususnya perlu beri mandat yang baharu itu.

Namun begitu saya mendapati wakil rakyat yang melompat parti agak keberatan untuk melepaskan jawatan mereka atas beberapa faktor. Faktor paling utama pada pandangan saya ialah sekiranya seorang wakil rakyat melepaskan jawatan beliau di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, beliau tidak boleh bertanding dalam pilihanraya itu untuk tempoh lima tahun.

Oleh yang demikian, cakap-cakap yang menyatakan wakil rakyat yang melepaskan jawatan tersebut boleh menguji dalam pilihan raya kecil sama ada mereka masih mendapat sokongan atau sebaliknya tidak dapat direalisasikan.

Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat. Peruntukan serupa juga terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri yang terpakai kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan.

Oleh kerana peruntukan-peruntukan tersebut menghalang ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri bertanding semula dalam tempoh lima tahun, mereka agak keberatan untuk melepaskan jawatan. Malah mereka terpaksa menunggu sehingga lima tahun dari tarikh melepaskan jawatan itu barulah mereka layak bertanding semula. Oleh kerana pilihan raya lazimnya diadakan antara empat hingga lima tahun sekali, pada hakikatnya mereka mungkin terpaksa menunggu lebih daripada lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya.

Pasti di dalam pilihan raya kecil yang mereka lepaskan jawatan itu mereka terhalang dari menyertainya bagi dipilih menjadi wakil rakyat.

Oleh yang demikian di dalam menggubal Akta Lompat Parti yang dibincangkan sekarang ini, penting juga pada pandangan saya melihat kembali peruntukan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang sama di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri agar wakil rakyat tidak keberatan melepaskan keahlian mereka di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Jika peruntukan-peruntukan tersebut boleh dipinda bagi menghilangkan halangan bertanding semula, saya percaya pelepasan jawatan itu lebih mudah dilakukan oleh wakil rakyat terbabit.

Jika peruntukan-peruntukan yang disebutkan di atas kekal, mungkin suatu mekanisme perlu digarap di dalam Akta Lompat Parti yang ingin digubal tersebut bagi membolehkan bukan wakil rakyat terbabit yang melepaskan perwakilan mereka itu, tetapi pengundi atau pihak lain yang melucutkan keahlian mereka. Dengan cara tersebut halangan lima tahun bertanding itu tidak terpakai kepada mereka.

Mereka tidak hilang kelayakan sebagai ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri berdasarkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan ataupun peruntukan yang sama terdapat di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri.

Apapun kita tunggulah rang undang-undang yang akan dibentang kerajaan dalam masa terdekat ini sebagaimana dijanjikan. Bagi saya implikasinya positif bagi tidak menimbulkan kemarahan pengundi terhadap wakil rakyat yang melompat parti. Dalam masa yang sama undang-undang tersebut juga perlu menjamin hak wakil rakyat berkenaan untuk memilih mana-mana parti yang sesuai dengan mereka.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca