BUKAN rahsia lagi, hubungan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ibarat kaca berderai susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Ibarat ditikam dari belakang, negarawan yang membawa Pakatan Harapan (PH) ke Putrajaya tetapi dikhianati parti sendiri, kesannya kepada Dr Mahathir tentu sangat mendalam.
Jika sebelum ini Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tapi Langkah Sheraton mencalarkan reputasi dan imejnya dengan tempoh cuma 22 bulan.
Walaupun Muhyiddin dan Bersatu berpakat dengan sokongan UMNO-BN, Pas serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) seolah-olah mendapat 'kemenangan' menumbangkan kerajaan PH pada tahun 2020, namun kecairan politik negara menyaksikan tuah tidak berpihak lama kepada mereka.
Keengganan UMNO-BN bersama Bersatu, malah dengan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor menunjukkan Perikatan Nasional dan PH berputih mata, maka parti-parti politik di luar BN perlu membina naratif baharu dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-15.
Maka tidak hairanlah, Muhyiddin antara pemimpin pertama yang mengorak langkah bertemu dengan Dr Mahathir dalam perbincangan yang dikatakan berkaitan gabungan untuk menewaskan BN pada PRU15.
Tidak cukup dengan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga dikatakan bakal bertemu dengan Dr Mahathir untuk membincangkan perkara yang sama.
Persoalannya, mampukah mereka memujuk Ahli Parlimen Langkawi itu, dan adakah Dr Mahathir akan memaafkan individu yang telah mengkhianatinya?
"Saya tak tahu nak kata apa kepada Muhyiddin. Saya tak jadi Perdana Menteri sebab Muhyiddin. Dia tikam belakang saya. Sekarang orang yang dia tikam belakang itu tak mati lagi," kata Dr Mahathir dalam satu sidang media di Putrajaya, pada Jumaat menceritakan isi hatinya.
Walaupun nada Dr Mahathir kelihatan dingin, namun beberapa pemerhati politik melihat tidak mustahil beliau akan membuat pusingan-U demi misi utama mengalahkan BN.
Apatah lagi, kerjasama politik antara Dr Mahathir dan Muhyiddin bukan sesuatu yang janggal kerana mereka pernah berada dalam pasukan sama ketika menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri sekali gus menumbangkan UMNO-BN yang sudah memerintah negara selama 60 tahun.
Ia tidak pernah dapat dilakukan oleh mana-mana parti pembangkang dalam tempoh enam dekad itu.
Malah, perbalahan Dr Mahathir terhadap Muhyiddin tidaklah seteruk dendam dan perseteruan beliau dengan dua musuh ketatnya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang berlarutan berpuluh tahun.
Malah, bukan sahaja Anwar bahkan Kit Siang, kedua-duanya pernah meringkuk di dalam penjara dan kem tahanan semasa di bawah pentadbiran Dr Mahathir.
Bagaimanapun, segala dendam kesumat dan permusuhan antara mereka terlerai apabila Dr Mahathir sanggup menunggu berjam-jam untuk menemui musuh politiknya, Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 2016 bagi memohon maaf dan bersalaman dengan bekas orang kanannya merangkap Timbalan Perdana Menteri itu.
Dr Mahathir juga sanggup merendah diri dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Kit Siang yang sudah sekian lama menjadi seterusnya demi menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib.
Semuanya dilakukan demi menjatuhkan Najib dan BN pada PRU14.
Cuma bezanya kali ini, watak dipegang Dr Mahathir berbeza pada tahun 2016. Kini giliran beliau pula perlu memaafkan orang yang telah menikamnya.
Apatah lagi dengan kedudukan dan prestasi Pejuang ibarat 'hidup segan mati tak mahu' apabila semua 42 calon PRN Johornya bukan sahaja kalah, bahkan hilang deposit, tawaran naratif baharu Muhyiddin dan Hadi mungkin juga jalan survival Pejuang.
Cuma persoalannya apakah pula selepas itu? Adakah Mahathir akan menjadi 'orang tengah' menyatukan semua parti dalam khemah besar blok pembangkang.
MUSUH, SAHABAT BUKAN SELAMANYA
Menurut penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar, kemungkinan Dr Mahathir untuk kembali berbaik semula dengan Muhyiddin tidak mustahil kerana dalam politik musuh dan kawan tidak akan kekal selamanya.
Tambah Chandra yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), dalam politik segalanya boleh berlaku dan selepas beberapa PRN seperti di Melaka dan Johor memperlihatkan terdapat keperluan mendesak supaya blok parti pembangkang perlu bekerjasama antara satu sama lain jika tidak mereka akan tewas kepada BN.
"Kita boleh lihat jika setiap parti politik bertanding menggunakan logo, agenda dan kekuatannya sendiri tanpa berpakat dengan parti lain maka mereka akan tewas.
"Semua parti pembangkang perlu membina naratif baharu dan menggembleng jentera secara bersama kerana mereka sukar untuk menang jika bertanding bersendirian untuk menewaskan BN yang mempunyai penyokong tegar yang ramai," katanya kepada Sinar Premium.
Mengulas lanjut, Chandra berkata, biarpun jika dilihat dari satu sudut prestasi dan sokongan pengundi terhadap PN dalam PRN Johor dan Melaka adalah meningkat, namun mereka masih gagal menghalang BN daripada mencapai kemenangan dan kembali memerintah kedua-dua negeri terbabit.
Justeru itu, Chandra berkata, bagi meningkatkan lagi kekuatan dan meraih sokongan pengundi maka PN perlu memperluaskan lagi gabungan berkenaan dengan menjemput parti lain termasuk Pejuang mahu pun Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk jajaran baharu politik sebagai persediaan menghadapi PRU15 nanti.
Klik di sini untuk terus membaca