KIEV - Beberapa jam sebelum rundingan damai antara Moscow dan Kiev bermula melalui satu persidangan video pada Jumaat, dua buah helikopter Ukraine didakwa melakukan serangan udara ke atas sebuah depot minyak di pinggir bandar Belgorod yang terletak di dalam wilayah Rusia.
Dakwaan serangan itu dibuat oleh Gabenor Belgorod, Vyacheslav Gladkov menerusi aplikasi Telegram sebelum ia disiarkan di portal-portal berita dan agensi berita antarabangsa.
Moscow turut menuduh Ukraine melakukan serangan itu apabila Kementerian Pertahanan Rusia menyalahkan serangan itu ke atas tentera Ukraine.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Mejar Jeneral Igor Konashenkov pada satu taklimat berita berkata, depot minyak itu adalah kemudahan awam dan tidak mempunyai kaitan dengan tentera negara itu.
Beliau juga memperincikan kejadian itu dengan menyatakan bahawa dua helikopter Mi-24 Ukraine memasuki ruang udara Rusia dan terbang pada ketinggian yang sangat rendah sebelum melancarkan serangan peluru berpandu ke depot minyak awam yang terletak di pinggir Belgorod menyebabkan beberapa tangki minyak rosak dan terbakar, selain dua orang cedera.Belgorod terletak berhampiran bandar Kharkiv di Ukraine yang telah diserang oleh tentera Rusia sejak 24 Februari lalu.
Menerusi sebuah rakaman video, api besar yang marak dengan asap hitam dapat dilihat setelah lapan tangki minyak di kemudahan milik syarikat Rosneft menjadi sasaran hingga memaksa pemindahan kakitangannya.
Pada awalnya, Kiev tidak mengesahkan atau menafikan melakukan serangan tersebut.
Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Ukraine juga menyatakan bahawa ia tidak dapat memberi pengesahan sama ada Kiev mendalangi serangan itu.
Bagaimanapun, ia akhirnya menjelaskan Ukraine tidak melakukan serangan udara tersebut.
Sebarang dakwaan bahawa ia dibuat oleh tentera Ukraine adalah tidak benar, kata Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan negara itu, Alexey Danilov.
Presiden Rusia, Vladimir Putin juga dilaporkan telah dimaklumkan mengenai serangan berkenaan.
Justeru, pihak manakah yang sebenarnya yang melakukan serangan tersebut.
Serangan itu juga menimbulkan tanda tanya apabila Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy juga enggan mengulas sama ada beliau mengarahkan serangan ke atas depot minyak terbabit.
Dalam temu bual dengan saluran berita Fox News, Zelenskyy berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang arahan untuk melancarkan serangan tersebut.
Tetapi, jika dakwaan Moscow bahawa Ukraine yang melakukan serangan itu, ia akan menjadi serangan pertama Ukraine yang menyaksikan helikopter-helikopternya berjaya menembusi ruang udara Rusia.
Pada akhir bulan lalu, bunyi letupan kuat dapat didengar dari sebuah depot senjata di Belgorod tetapi pihak berkuasa Rusia tidak memberikan penjelasan yang jelas mengenai letupan tersebut.
Agensi berita rasmi Rusia, TASS melaporkan bahawa letupan itu mungkin berlaku disebabkan oleh serangan peluru berpandu dari Ukraine.
Ukraine bagaimanapun menafikan tenteranya melakukan serangan tersebut dengan Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk menyatakan bahawa letupan itu adalah akibat kecuaian tentera Rusia sendiri.
Beliau mendakwa kejadian tersebut adalah satu lagi contoh pengabaian protokol keselamatan oleh Rusia ketika mengendalikan peluru berbahaya era Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun, agensi berita Rusia, Interfax memberikan pencerahan tentang kejadian berkenaan dengan melaporkan bahawa letupan yang berlaku dekat Belgorod adalah akibat kebakaran yang terjadi di sebuah depot peluru.
Setakat ini, tiada lagi berita lanjut tentang letupan yang berlaku di depot peluru tersebut.
Serangan ke atas depot minyak yang didakwa Rusia dilakukan oleh Ukraine itu dijangka menjejaskan rundingan damai yang berlangsung antara Kiev dengan Moscow.
Sesi dialog antara kedua-dua pihak sebelum ini diadakan di Turki dengan kali terakhir diadakan akhir bulan lalu.
Rundingan dijangka memberi harapan untuk menamatkan pertempuran selama lebih dari sebulan di Ukraine.
Jurucakap Moscow, Dmitry Peskov bagaimanapun menyifatkan serangan ke atas depot minyak itu telah mewujudkan situasi ‘kurang selesa’ dalam rundingan damai dengan Ukraine yang bertujuan untuk meredakan konflik tersebut.
Sehubungan itu, bagaimanakah kemajuan rundingan damai berkenaan pada masa hadapan selepas serangan udara dilakukan ke atas depot minyak Rusia itu?
Klik di sini untuk terus membaca