SEBULAN sudah tentera Rusia menceroboh Ukraine namun sehingga kini masih belum ada petanda bahawa konflik Ukraine-Usia akan selesai. Sehingga sekarang, seramai 23,000 orang telah terkorban dan 10 juta orang hilang tempat tinggal. Pada masa... Klik di sini untuk terus membaca

SEBULAN sudah tentera Rusia menceroboh Ukraine namun sehingga kini masih belum ada petanda bahawa konflik Ukraine-Usia akan selesai. Sehingga sekarang, seramai 23,000 orang telah terkorban dan 10 juta orang hilang tempat tinggal.

Pada masa sama Rusia mula merasai kesan negatif akibat daripada sekatan ekonomi yang dikenakan masyarakat antarabangsa. Timbul pelbagai spekulasi apakah tindakan Rusia dan Ukraine seterusnya? Oleh demikian persoalan utama adalah bagaimana konflik ini boleh diselesaikan?

Ukraine dan Rusia telah bersetuju untuk mengadakan rundingan. Turki telah memainkan peranan sebagai pihak ketiga dalam proses rundingan. Berkecuali atau neutrality merupakan kunci kepada penyelesaian kepada konflik Ukraine-Rusia. Ini bererti Ukraine mesti mengugurkan hasratnya untuk menyertai Perjanjian Atlantik Utara atau Nato.

Sebaliknya Ukraine perlu bersetuju untuk menerima prinsip-prinsip berkecuali dengan tidak memihak kepada Nato atau membuat sebarang perjanjian dengan negara Barat yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kelangsungan Rusia manakala Rusia perlu mengundurkan tenteranya dan menghentikan ugutan terhadap Ukraine.

Perlu ditegaskan bahawa konsep ‘berkecuali’ termaktub dalam Undang-undang Antarabangsa. Berkecuali, merujuk kepada status undang-undang di mana sesebuah negara tidak memihak dan menyertai dalam konflik antara negara lain.

Selain itu negara berkecuali bererti ia mesti berinteraksi dengan semua negara yang berperang secara adil dan saksama serta mengelak daripada memberikan bantuan ketenteraan dan bantuan lain kepada mana-mana pihak yang berperang.

Tujuan berkecuali adalah untuk menghadkan sesebuah negara daripada menggunakan peperangan sewenangnya. Berkecuali boleh dilaksana secara sukarela atau perjanjian. Sesebuah negara secara sukarela boleh memilih menjadi berkecuali dengan membuat deklarasi secara unilateral kemudian cuba mempengaruhi negara-negara lain untuk mengiktiraf status berkecualinya.

Manakala kaedah kedua adalah melalui perjanjian iaitu wujud suatu persetujuan antara negara-negara lain untuk mengiktiraf status berkecuali sesebuah negara. Negara berkecuali boleh juga memainkan peranan sebagai ‘negara penampan’ atau buffer state untuk memisahkan dua kuasa daripada bertembung. Maka kemerdekaan dan kedaulatan negara penampan dijamin.

Sejarah telah membuktikan pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 bagaimana kerajaan Siam telah memainkan peranan sebagai sebuah negara penampan antara dua kuasa penjajah yang sedang bersaing untuk memperluaskan pengaruh mereka di Asia Tenggara.

Dua kuasa penjajah yang dimaksudkan adalah British yang sudah berkuasa di Tanah Melayu dan Burma (Myanmar) manakala Perancis menguasai Indochina. Oleh demikian, British dan Perancis telah mengekalkan kemerdekaan kerajaan Siam dengan syarat Siam mesti berkecuali dan tidak memihak British mahupun Perancis.

Dalam era kontemporari, terdapat negara-negara Eropah yang berstatus berkecuali. Antaranya adalah Switzerland, Ireland, Sweden, Finland dan Austria. Walaupun Ireland, Sweden, Finland dan Austria merupakan anggota Kesatuan Eropah, namun mereka masih mempunyai kebebasan untuk mengamalkan berkecuali dalam isu-isu berhubung dasar luar dan pertahanan.

Ukraine harus memilih untuk berkecuali dalam persaingan antara Nato dan Rusia. Hakikatnya ialah sejak 2008 dan selepas Deklarasi Sidang Kemuncak Nato Bucharest, Rusia telah menegaskan kepada Barat bahawa Ukraine tidak harus menjadi anggota Nato dan akan kekal di bawah pengaruh Rusia.

Namun Nato masih mahu mengembangkan pengaruhnya ke Ukraine sehingga mencetuskan konflik hari ini. Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bukan bertujuan untuk menubuhkan semula Empayar Soviet 2.0 semula. Sebaliknya adalah Ukraine adalah dianggap penting untuk kepentingan strategik Rusia.

Jika kepentingan Rusia tidak diambil kira oleh Barat, Presiden Putin pasti akan mengambil tindakan drastik ke atas Ukraine, sepertimana yang sedang dilakukannya.

Rusia juga perlu sedar bahawa ia mempunyai kebatasan dan kemampuan yang terhad untuk menguasai Ukraine secara keseluruhan. Pengalaman pahit kekalahan tentera Kesatuan Soviet (USSR) ketika pendudukan di Afghanistan antara 1979-1989 harus menjadi pengajaran kepada Rusia pada masa kini.

Selain itu, ekonomi Rusia semakin tergugat akibat sekatan ekonomi dan imejnya juga tercalar sekiranya ia masih meneruskan usaha menyerang Ukraine.

Oleh demikian berkecuali adalah penawar untuk menyelesaikan krisis semasa. Sejarah dan pengalaman kerajaan Siam dan kini Switzerland ialah model yang menyediakan laluan yang munasabah ke arah perdamaian.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca