PENGUMUMAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai tiga perkara utama dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti menepati jangkaan penulisan... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUMUMAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai tiga perkara utama dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti menepati jangkaan penulisan dalam kolum ini minggu lalu. Pengumuman itu dibuat di Dewan Negara ketika menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose.

Menurut Wan Junaidi, ahli Parlimen dianggap lompat parti apabila mengumumkan keluar parti politik asal dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain.

Kedua, seorang ahli Parlimen akan hilang jawatan itu jika dipecat oleh parti dan ketiga, ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya juga dianggap melompat parti.

Kemunculan idea RUU Anti Lompat Parti hanyalah untuk menangani perkara pertama iaitu tindakan sesetengah ahli Parlimen meninggalkan parti yang mereka wakili selepas menang pilihan raya umum (PRU).

Hujah bahawa pengundi memilih parti semata-mata, sebenarnya tidak relevan dalam senario sebenar dan dalam sistem demokrasi negara bersifat perwakilan kawasan dan majoriti mudah.

Malah, dalam sistem demokrasi kita, seseorang yang menang pilihan raya mewakili rakyat sama ada yang mengundi atau tidak mengundi beliau. Tidak ada konsep beliau hanya mewakili dan memberi khidmat kepada penyokong beliau sahaja.

Walaupun jelas cadangan itu datang daripada mereka yang mahu menjaga kepentingan parti politik melebihi kepentingan rakyat, namun ia masih di peringkat boleh dibahas dan dipersetujui.

Bagaimanapun, perkara kedua iaitu mereka yang dipecat daripada parti akan hilang kelayakan wakil rakyat jelas menunjukkan niat sebenar mereka yang menggubal RUU adalah untuk menjaga kepentingan pemimpin utama parti politik.

Umum mengetahui, parti-parti politik di Malaysia bersifat pemusatan kuasa kepimpinan (leader centric). Presiden-presiden parti seperti UMNO, PKR dan Pas mempunyai kuasa kawalan yang begitu kuat kepada badan disiplin mereka.

Justeru, RUU ini hanya menjadikan ahli Parlimen negara seperti lembu dicucuk hidung oleh presiden parti masing-masing. Fungsi mereka daripada menjaga kepentingan rakyat telah berubah kepada menjaga kepentingan pemimpin utama parti mereka. Ia tidak sewajarnya berlaku kepada sebuah negara yang mahu maju ke hadapan. Ahli Parlimen harus bebas membuat keputusan tanpa terikat dengan tekanan dan ugutan.

RUU akan mewujudkan Napoleon politik baharu dalam pentadbiran negara. Ketua-ketua parti akan mempunyai kuasa menekan dan mempengaruhi menteri daripada parti mereka untuk mendapat kelebihan dan keistimewaan tertentu. Dalam keadaan sekarang pun, ramai ahli Parlimen dan menteri akur dengan presiden parti kerana kuasa watikah, apatah lagi apabila parti mempunyai kuasa menghilangkan jawatan dan kedudukan mereka.

Jika RUU ini wujud sebelum 2018, maka nama-nama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal akan hilang jawatan apabila dipecat daripada UMNO.

Sama ada mereka benar atau salah, mereka telah menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dalam membawa isu-isu membabitkan kepentingan rakyat dan negara. Mereka dipecat kerana itu.

Adakah negara perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) setiap kali ahli Parlimen bertelingkah dengan presiden parti dan kemudiannya dipecat?

Sebenarnya, sistem perwakilan kita telah digubal dengan cantik kerana akhirnya undang-undang dan agama meletak tanggungjawab kepada individu, bukan parti atau organisasi.

Jika parti adalah perkara utama dalam sistem demokrasi negara, maka sistem demokrasi negara perlu dirombak dan mengangkat sistem perwakilan berkadar (PR) sebagai pilihan baharu. Setakat ini, draf RUU Anti Lompat Parti tampak menyesatkan dan akan memimpin ke arah ‘pembodohan’ ahli Parlimen dalam membuat keputusan.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca