SELEPAS tujuh bulan (21 Ogos 2021) mengambil alih teraju kepimpinan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden UMNO berjaya mengubah persepsi ke atas gaya pentadbiran beliau. Ada beberapa suara yang menyatakan Putrajaya tidak seiringan dengan suara Perhimpunan Agung UMNO (PAU), PWTC.
Kronologi bagaimana beliau dilantik menjadi Perdana Menteri barangkali menimbulkan polemik dan ia termasuk satu kerjasama politik luar biasa antara parti-parti dalam kerajaan dan pembangkang. Intraparti masih menimbulkan dilema dan persefahaman dengan pembangkang dipersoalkan, namun nada yang tenang dengan jelas menyatakan "saya orang parti; darah saya darah UMNO”.
Penggulungan selaku Naib Presiden memberi nafas baharu. Julung kali seorang Perdana Menteri membuat penggulungan sebelum Timbalan Presiden dan Presiden. Menarik untuk melihat beliau menyampaikan pencapaian tujuh bulan untuk menjawab persoalan perwakilan agar sebarang keraguan tidak menjadi polemik berterusan.
Antaranya isu kos sara hidup, bahasa Melayu, pendidikan Covid-19 dan fasa endemik dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pengumuman gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula 1 Mei merupakan kelulusan yang tertanggung sekian lama.
Keberanian untuk memperkenalkannya ketika rakyat sedang bergelut dengan sara hidup mesti diberikan pengiktirafan sewajarnya. Ini seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa ke seluruh pelosok negara memerlukan masa untuk memastikan dari fasa pemahaman boleh ditukar kepada fasa penerapan dan seterusnya amalan. Ini juga menjadi agenda beliau.
Soal kesaksamaan gender disentuh Ismail Sabri dengan membolehkan kelompok wanita yang kematian suami dibenar bekerja dari rumah sepanjang tempoh idah (4 bulan 10 hari). Di samping itu, dalam isu berkaitan dengan pasangan yang bercerai, akaun suami boleh dibeku jika gagal memberi nafkah kepada anak mereka.
Begitu juga dengan 370,000 peluang pekerjaan dengan pelaburan sebanyak RM32 bilion dalam usaha pembangunan Automative High-Technology Valley di Tanjung Malim. Bagi yang ada kepakaran, tetapi kehilangan pekerjaan sewaktu tempoh masa Perintah Kawalan Pergerakan, ini berita baik. Malahan ia akan menggiatkan pelaburan langsung asing serta operasi industri berat di peringkat serantau dan global.
Peningkatan kemajuan teknologi industri berat akan merancakkan ekonomi dan membantu kemahiran profesional dalam dan luar negara serta merapatkan jurang hubungan dua hala dengan negara lain.
Di samping itu, isu Muhammad Adib Mohd Kassim terjawab dengan bayaran pampasan kepada keluarga arwah dan laporan penuh dalam jangka masa terdekat. Isu berhubung Tan Sri Tommy Thomas, bekas Peguam Negara juga dinyatakan Perdana Menteri tidak akan diselindung.
Isu tuntutan Sultan Sulu yang banyak disiarkan kebelakangan ini ternyata tidak terlepas dari pandangan Ismail Sabri. Beliau tegas dalam soal kedaulatan, nasionalisme berdasarkan konsep ‘bela negara’. Sebagai seorang nasionalis bahasa, beliau mahu memartabatkan kedudukan bahasa Melayu dan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 bagi membolehkan pendakwaan diambil ke atas mereka yang menyalahgunakan bahasa.
Persoalan mengenai PRU15 akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri memberi jaminan akan berbincang dengan lima barisan pemimpin tertinggi parti (Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden). Persoalan pemilihan parti dilakukan sebelum PRU terhenti.
Kekusutan ini disimpulkan oleh Perdana Menteri dengan harapan sebagai seorang yang ‘berdarah UMNO’, beliau juga mahu UMNO menang dan tidak merasa terlalu selesa dengan keputusan PRN dan PRK. Kekuatan dalam parti mahu dinilai di samping bergantung kepada kelemahan lawan dan peratusan yang akan keluar mengundi. Walau apa pun, perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah bersifat mutlak untuk mewartakan pembubaran Dewan Rakyat.
Selepas tujuh bulan, Ismail Sabri akan dinilai bagaimanakah mampu membawa Malaysia keluar dari fasa pandemik kepada endemik. Kejayaan bergantung kepada kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat umumnya. Sama-sama kita nantikan fasa pasca tujuh bulan pentadbiran Perdana Menteri ke-9 ini.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca